Amaterasu Omikami (‘Dewi Agung yang menerangi syurga’) merupakan dewi matahari dan tuhan paling penting dalam agama Shinto. Amaterasu ialah ketua kepada Takama No Hara (Alam Syurga Tertinggi), tempat diduduki oleh kami dan semangat-semangat. Kuil Shinto paling penting di Jepun, Kuil Ise atau Jingu didedikasikan kepada Amaterasu.
Juga dikenali sebagi Oho-hir-me-no-muchi atau Amaterasu-oho-hiru-me, Amaterasu merupakan puteri kepada Izanami dan Izanagi yang menobatkan anak mereka sebagai pemerintah langit. Setelah Izanagi kembali daripada perjalanannya ke dunia selepas kematian, beliau perlu melakukan upacara penyucian di Sungai Woto. Pada saat itulah Amaterasu dilahirkan daripada mata kiri dewa tersebut.Beliau juga merupakan kakak kepada Susanoo (atau Susanoo-no-wo) dewa ribut. Amaterasu sering bertelingkah dengan adiknya yang nakal itu sehingga akhirnya beliau mengusir dewa ribut tersebut dari alam syurga.
Amaterasu dan gua
Mitos paling terkenal berkenaan dewi matahari ini ialah kisah Amaterasu mengunci dirinya sendiri di dalam gua akibat perkelahian dengan adiknya, Susanoo. Kisahnya terjadi kerana Susanoo menakutkan Amaterasu dengan membawa seekor kuda tanpa kulit yang ketika itu Amaterasu sedang menenun kain bersama adiknya, Waka-hiru-me. Akibat penguncian Amaterasu di dalam gua tersebut, dunia jatuh ke keadaan gelap-gelita dan semangat-semangat jahat berkeliaran liar di atas permukaan bumi. Dewa-dewi mencuba pelbagai kaedah untuk memujuk Amaterasu keluar namun tidak membuahkan usaha. Omohi-Kane kemudiannya menasihati untuk meletakkan ayam jantan di luar gua dengan harapan kokokan ayam itu akan membuatkan sang dewi di dalam gua berfikir bahawa hari sudah masuk waktu subuh. Dewa-dewi juga meletakkan sepohon pokok sakaki (Cleyera Japonica) yang besar berdekatan pintu gua dan dihiasi dengan batu permata berkilauan (magatama), pakaian bersih berwarna putih dan cermin di tengah-tengahnya. Tambahan dengan itu, dewi Amenouzume (atau Ama-no-Uzume) menari dengan sungguh bersemangat (atau cabul dalam beberapa versi) sehingga menyebabkan dewa-dewi di situ ketawa terbahak-bahak. Amaterasu, yang ingin mengetahui keadaan di luar, membuka pintu gua sedikit untuk melihat tarian itu. Namun, dia terkejut apabila melihat bayang wajahnya sendiri di dalam cermin. Pada saat itu, dewa yang kuat, Ame-no-Tajikara-wo, menarik sang dewi keluar dari pintu gua. Tuto-tamu kemudian memegang sebatang tiang yang diperbuat daripada jerami anyaman di belakang sang dewi dan dengan tegas menyatakan bahawa dewi itu tidak lagi boleh bersembunyi. Sejak itu, dunia kembali disinari oleh matahari yang gemilang.
Putera Amaterasu ialah Ama-no-Oshiho-mimi, yang dikerahkan oleh bondanya untuk memerintah kerajaan di bumi. Namun, ketika dia berdiri di Ama-no-Hashidate, jambatan yang menghubungkan langit dan bumi, dan melihat kekacauan dalam kalangan dewa-dewi duniawi, dia dengan perasaan merajuk menolak peranan tersebut. Lalu Amaterasu meminta nasihat Taka-mi-Musubi, dan satu persidangan para dewa diadakan. Keputusan majlis itu ialah menghantar Ama-no-Hoki untuk menilai keadaan dengan lebih teliti. Namun, setelah beberapa lama, masih tiada khabar daripada Ama-no-Hoki, maka persidangan kedua pun diadakan. Kali ini, Ame-Waka-hiko dihantar dengan dilengkapi set panah suci. Walau bagaimanapun, misi itu juga gagal apabila Ame-Waka-hiko terlupa akan tugasan asalnya dan mengahwini Shita-teru-hime, puteri kepada Oho-kuni-nushi. Selepas lapan tahun berlalu tanpa sebarang berita, para dewa menghantar burung kuang Na-naki-me untuk mencari Ame-Waka-hiko. Namun, apabila melihat burung tersebut, Ame-Waka-hiko menganggapnya sebagai petanda buruk lalu memanah burung malang itu dengan salah satu anak panah sucinya. Akan tetapi, kerana anak panah itu bersifat suci, ia menembusi burung tersebut dan terus meluncur naik ke langit sebelum akhirnya jatuh di kaki Taka-mi-Musubi. Sang dewa yang tidak begitu menghiraukan panah itu melemparkannya kembali ke bumi, dan malangnya anak panah itu menembusi dada Ame-Waka-hiko, membunuhnya serta-merta
Memerintah dunia selepas kematian
Peristiwa ini memerlukan diadakan persidangan ketiga para dewa, dan diputuskan untuk menghantar Take-mika-zuchi, dewa petir, serta Futu-nushi, dewa api, yang bersenjatakan pedang, untuk berunding dengan Oho-kuni-nushi, penguasa dunia ketika itu. Tujuan mereka adalah untuk meyakinkan beliau tentang kebijaksanaan mengiktiraf tuntutan Amaterasu terhadap kedaulatan langit dan bumi. Oho-kuni-nushi, yang sememangnya enggan menyerahkan kuasanya tanpa bantahan, merujuk perkara itu kepada dua orang anak lelakinya. Anak sulungnya, Koto-shiro-nushi, menasihati ayahnya supaya menyerah dengan aman, tetapi adiknya, Take-minakata, pula menyarankan supaya menentang. Anak bongsu itu kemudian dengan bodohnya mencabar Take-mika-zuchi, tetapi tidak mampu menandingi dewa petir tersebut dan dikalahkan serta-merta. Melihat kedudukannya yang tidak berdaya, Oho-kuni-nushi akhirnya dengan hati terbuka menyerahkan kekuasaannya ke atas bumi kepada Amaterasu, dan memilih untuk memerintah dunia selepas kematian.
Alat Kebesaran Di-raja Jepun
Setelah segala urusan di bumi akhirnya diselesaikan, Amaterasu sekali lagi meminta puteranya, Ama-no-Oshino-mimi, untuk memerintah bumi. Untuk kali kedua, dia menolak, tetapi mencalonkan puteranya, Ninigi-no-Mikoto, sebagai pengganti. Amaterasu bersetuju dengan cadangan itu dan mengurniakan Ninigi tiga hadiah untuk membantunya dalam perjalanannya. Hadiah-hadiah tersebut ialah Yasakani, sebutir permata (atau mutiara) yang menjadi punca pertelingkahan lama antara Amaterasu dan Susanoo; Yata, cermin daripada peristiwa gua; dan Kusanagi, pedang yang pernah dicabut oleh Susanoo daripada seekor raksasa. Ketiga-tiga alat ini menjadi lambang kuasa Ninigi (sanshu no jingi) dan kemudiannya menjadi alat kebesaran diraja bagi keturunannya, iaitu para maharaja Jepun. Malah, maharaja Jepun yang pertama, Maharaja Jimmu (memerintah sekitar 660–585 SM), yang mengasaskan negara Jepun pada tahun 660 SM, dikatakan sebagai keturunan langsung Amaterasu. Kepercayaan ini membolehkan maharaja-maharaja berikutnya mendakwa asal-usul ketuhanan dan seterusnya memerintah dengan kuasa mutlak.
Amaterasu dan golongan bangsawan
Golongan bangsawan Jepun juga mendakwa keturunan mereka berasal daripada dewi matahari ini. Sebelum peristiwa di dalam gua, Amaterasu mengambil pedang Susanoo, memecahkannya kepada tiga bahagian, lalu memuntahkan semula sebagai tiga orang dewi perempuan. Begitu juga, Susanoo mengambil kalung kakaknya yang mempunyai 500 permata, memakannya dan memuntahkannya semula sebagai kabus yang kemudiannya membentuk lima orang dewa lelaki. Secara keseluruhannya, lapan orang dewa ini dipercayai sebagai nenek moyang kepada golongan bangsawan Jepun.
Penyampaian Amaterasu dalam seni
Dalam seni Jepun, sang dewi digambarkan sebagai sosok yang berpewatakan baik, biasanya duduk membelakangi antara satu sama lain dengan saudara kandungnya, Tsukiyomi-no-Mikoto, dewa bulan. Ayam Jantan dikaitan dengannya kerana ia melambangkan terbitnya matahari, begitu juga burung gagak (yata garasu) yang dipercayai sebagai utusan sang dewi. Kuil Ise atau Jingu iaitu kuil Shinto paling penting di Jepun didedikasikan kepada Amaterasu. Dewi tersebut diwakili di sana oleh salah satu simbolnya yang lain, iaitu sebuah cermin berbentuk oktagon (yata kagami).
