Zaman Kamakura

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 18 June 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
The Close-up of the Great Buddha of Kamakura (by James Blake Wiener, CC BY-NC-SA)
Gambaran dekat Buddha Besar Kamakura
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Zaman Kamakura atau Kamakura Jidai (1185-1333 M) bermula apabila Minamoto no Yoritomo (1147-1199 M) menewaskan klan Taira dalam Pertempuran Dannoura pada tahun 1185 M. Zaman ini dinamakan bersempena Kamakura, sebuah bandar pelabuhan yang berjarak 48 km (30 batu) arah barat daya dari Tokyo yang digunakan sebagai pangkalan klan Minamoto. Bermula tahun 1192 M, Yoritomo menabalkan dirinya sebagai shogun sekaligus buat pertama kalinya mewujudkan kuasa tertinggi yang menggantikan peranan maharaja dan istana diraja. Zaman Kamakura menyaksikan berlakunya banyak perkembangan dalam sektor kerajaan, pertanian, dan keagamaan. Zaman ini juga memperlihatkan Jepun berjaya menangkis serangan Monggol pada lewat kurun ke-13 M. Zaman Kamakura berakhir dengan kejatuhan Keshogunan Kamakura pada tahun 1333 M, di mana kedudukan shogun Jepun diambil-alih oleh klan Ashikaga.

Minamoto no Yoritomo & Taira

Pada zaman Heian (794-1185 M) yang mendahului zaman Kamakura, kedudukan maharaja Jepun masih dianggap penting. Namun, ia kian dikesampingkan dek keberadaan golongan bangsawan yang kesemuanya berasal dari sebuah keluarga yang sama; iaitu klan Fujiwara. Menghampiri penghujung zaman Heian, muncul dua kumpulan lain dalam politik Jepun, iaitu klan Minamoto (atau Genji) dan klan Taira (atau Heike). Kebanyakan anggota kedua-dua klan tersebut mempunyai hubungan dengan maharaja. Berbekalkan pasukan samurai masing-masing, klan Minamoto dan Taira menjadi alat penting yang dimainkan oleh anggota-anggota klan Fujiwara yang saling bercakaran sehingga mencetuskan Kekacauan Hogen pada tahun 1156 M dan Kekacauan Heiji pada 1160 M. Klan Taira yang dipimpin oleh Taira no Kiyomori kemudian melangsaikan kesemua seterunya dan mendominasi pentadbiran Jepun selama dua dekad. Namun, kemenangan berjaya direbut semula oleh klan Minamoto dalam Perang Genpei (1180-1185 M) dan dalam pertembungan terakhir, iaitu Pertempuran Dannoura, Tomamori si ketua Taira dan Antoku si maharaja muda bertindak membunuh diri. Dengan demikian, ketua klan Minamoto, iaitu Minamoto no Yoritomo secara efektif menjadi pemimpin tentera paling berkuasa di Jepun.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Kedudukan shogun adalah yang pertama menghadirkan sistem pentadbiran alternatif kepada pentadbiran diraja Jepun.

Minamoto no Yoritomo merupakan anak kepada Minamoto no Yoshitomo (1123-1160 M) dan cucu kepada Minamoto no Tameyoshi (1096-1156 M). Kedua-duanya merupakan figura penting dalam klan Minamoto, dengan Tameyoshi pernah menyandang kedudukan sebagai ketua klan pada pertengahan kurun ke-12 M. Selepas menewaskan kesemua pesaing dan menghantar adiknya, Minamoto no Noriyori dan beberapa anggota penting dari klannya sendiri ke tempat-tempat lain, Yoritomo secara tunggal menduduki pucuk kepimpinan klan Minamoto.

Keshogunan Kamakura

Minamoto no Yoritomo menabalkan dirinya sebagai shogun pertama Jepun pada tahun 1192 M dan terus menyandang kedudukan tersebut sehingga tahun 1199 M. Beliau adalah shogun pertama bagi Keshogunan pertama Jepun, iaitu Keshogunan Kamakura (1192-1333 M). Kedudukan Shogun adalah yang pertama menghadirkan sistem pentadbiran alternatif kepada pentadbiran diraja Jepun. Gelaran shogun atau 'pelindung ketenteraan' sememangnya pernah digunakan pada era-era sebelumnya (seii tai shogun), namun ia terhad sebagai gelaran yang diberikan kepada komander-komander tentera yang berkhidmat dalam kempen memerangi Ezo/Emishi (Ainu) di utara Jepun. Bagaimanapun, bagi Yoritomo, gelaran tersebut mempunyai makna baru yang jauh lebih luas sebagai hasil persetujuan yang dicapai antara beliau dan maharaja Go-Toba (1183-1198 M). Persetujuan tersebut melibatkan pengurniaan gelaran shogun kepada Yoritomo dan sebagai imbalan, beliau perlu memberikan perlindungan ketenteraan kepada maharaja. Di atas kertas, kedudukan maharaja berada lebih tinggi berbanding shogun. Namun hakikatnya, ia tidak berlaku sedemikian kerana sesiapa yang memegang kepimpinan tentera maka dia jugalah yang memegang tampuk pemerintahan negara. Peranan maharaja masih diperlukan khususnya dalam upacara-upacara rasmi, dan sokongan mereka masih ditagih oleh shogun bagi mengabsahkan pemerintahan shogun tersebut.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Minamoto no Yoritomo Painted Wall-hanging
Gantung dinding dicat Minamoto no Yoritomo
Unknown Artist (Public Domain)

Walau bagaimanapun, Yoritomo tidak sempat menikmati kedudukannya sebagai shogun untuk tempoh yang lama kerana beliau mengalami kemalangan semasa menunggang kuda yang meragut nyawanya pada tahun 1999 M. Kedudukan beliau digantikan oleh putera sulungnya, Minamoto no Yorie (memerintah 1202-1203 M). Namun, ia tidak berlaku tanpa didahului oleh perebutan kuasa. Sejurus selepas Yoritomo meninggal dunia, isterinya, Hojo Masako (1157-1225 M) dan bapanya, Hojo Tokimasa, berhasrat mahu mengambil-alih pemerintahan, justeru mereka menggubal suatu jawatan yang dikenali sebagai pemangku shogun. Tidak cukup dengan itu, mereka turut memperkuatkan pengaruh klan Hojo. Percaturan sebegini sememangnya sering mewarnai sejarah zaman Kamakura, di mana shogun hanya berfungsi sebagai boneka sambil kuasa sebenar dipegang oleh pemangku shogun. Setelah kemangkatan suaminya, Hojo Masako berkurung di sebuah tokong. Namun dalam masa yang sama, beliau turut melibatkan diri dalam hal-ehwal politik sehingga meraihkannya gelaran 'shogun biarawati'. Masako disifatkan sebagai seorang yang kuat berambisi, cekap, dan kejam. Beliau merupakan seorang ahli politik yang terampil dan sama sekali tidak memberi muka kepada sesiapa sahaja yang menghalang laluannya, walau bapanya sendiri yang dibuang negeri oleh beliau sewaktu hubungan antara mereka berdua renggang.

Pada tahun 1203 M, Minamoto no Sanetomo ditabalkan sebagai shogun dengan ibunya, Hojo Masako dan datuknya, Hojo Tokimasa bertindak selaku pemangku. Sanetomo merupakan putera kedua Yoritomo dan saudara kepada Yorie. Beliau yang memerintah selama 16 tahun menemui pengakhiran yang tragis pada tahun 1219 M apabila dibunuh oleh anak saudaranya sendiri, Kugyo, putera Minamoto no Yorie. Kugyo sendiri kemudiannya dibunuh, sekali gus membuatkan jalur keturunan Yoritomo terputus dan kesemua jawatan penting dalam pentadbiran dirampas oleh keluarga Hojo.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Keadaan ini mendorong Maharaja Go-Toba untuk melancarkan rampasan kuasa pada tahun 1221 M, di mana peristiwa tersebut dikenali sebagai Kekacauan Jokyo. Namun, kekurangan dari segi bilangan tentera membuatkan beliau gagal menggugat kedudukan Hojo Masako dan akhirnya, Maharaja Go-Toba dibuang negeri ke Kepulauan Oki. Sepanjang berada dalam buangan, beliau menghabiskan 18 tahun baki hayatnya dengan mengarang puisi.

Major Temples and Shrines of Japan circa 1200 CE, Kamakura Shogunate
Kuil dan Kuil Utama Jepun sekitar 1200 M, Kamakura Shogunate
Stone Chen (CC BY-ND)

Semenjak itu, sejarah Keshogunan Kamakura memperlihatkan senario yang hampir serupa di mana shogun boneka diangkat sambil kuasa sebenar dipegang oleh pemangku shogun. Shogun Kamakura yang terakhir ialah Hojo Moritoki (1327-1333 M). Walaupun klan yang memegang gelaran shogun sering silih-berganti, kefungsiannya kekal wujud sehinggalah berlakunya Pemulihan Meiji pada tahun 1868 M. Sepanjang tempoh tersebut, Jepun didominasi sepenuhnya oleh golongan pahlawan, sebagaimana yang dicerminkan menerusi karya-karya sasteranya. Zaman Kamakura menyaksikan banyak karya sejarah bertemakan-kepahlawanan dan cerita-cerita pendek dihasilkan. Antara yang paling masyhur ialah Hikayat Heike (Heike monogatari) yang muncul buat pertama kali sekitar tahun 1218 M, menceritakan tentang pancaroba yang dihadapi sepanjang penubuhan Keshogunan Kamakura.

Pentadbiran Kamakura

Pentadbiran shogun turut dikenali sebagai bakufu, yang membawa maksud 'pentadbiran khemah'. Ia merujuk kepada asal-usul gelaran tersebut yang digunakan oleh komander tentera di medan peperangan dan menjurus kepada hubungan antara raja dan orang bawahannya. Dalam hubungan sebegini, raja kebiasaannya memberikan tanah – yang dirampas daripada mana-mana musuhnya – kepada orang bawahannya demi meraih khidmat dan kesetiaannya. Bagi shogun atau raja yang mempunyai tanah yang banyak, beliau lazimnya menyerahkan pengurusan tanah tersebut kepada seorang wakil (jito) – jawatan yang terbuka buat kaum lelaki mahupun perempuan. Antara tugas jito yang lain adalah mengurus dan mengutip cukai. Kedudukan jito kebiasaannya dikurniakan sebagai ganjaran kepada mana-mana pegawai yang menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Ramai jito yang kemudiannya mengumpulkan pengaruh sendiri dan seterusnya membentuk kedudukan daimyo. Selain jito, terdapat juga shugi atau gabenor-gabenor tentera yang bertanggungjawab memantau wilayah yang ditugaskan kepada mereka.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sememangnya, sejak mula lagi shogun atau pemangku shogun menyedari betapa mereka tidak mampu menang tangan untuk memerintah seluruh negara secara sendirian tanpa mempunyai sebarang sistem pentadbiran yang jelas. Justeru pada tahun 1184 M, Kumonjo atau Jabatan Dokumen-Dokumen Awam ditubuhkan. Jabatan tersebut kemudian diperluaskan fungsinya dan diubah namanya menjadi Mandokoro (Lembaga Pentadbiran) pada tahun 1191 M. Selain hal-ehwal pentadbiran, jabatan tersebut turut dipertanggungjawabkan ke atas perbendaharaan negara. Sambil itu pada tahun 1184 M, Mochujo ditubuhkan bagi menyelia hal-hal perundangan. Satu jawatan baru yang dikenali sebagai rensho (pembantu kepada pemangku shogun) turut dibentuk pada tahun 1225 M. Pada tahun sama, Hyojoshu atau Majlis Negara ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai tinggi, golongan pahlawan, dan cerdik-pandai. Pada tahun 1232 M pula, sebuah kod perundangan baru yang dikenali sebagai Joei shikimoku (Kod Joei) diperkenalkan. Kod perundangan ini mengandungi 51 artikel dan menggariskan secara jelas siapakah pemilik sesebuah tanah dan bagaimanakah hubungan antara raja-raja, orang bawahan dan samurai. Ia turut membataskan peranan maharaja dan membenarkan kehakiman diputuskan berdasarkan keutamaan. Memasuki tahun 1249 M, Hikitsukeshu atau Majlis Tertinggi ditubuhkan bagi menangani sebarang permasalahan tanah dan cukai.

The Great Buddha of Kamakura
Buddha Besar Kamakura
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Kamakura

Kamakura adalah sebuah kota pesisiran yang terletak di Teluk Sagami, berjarak kira-kira 48 km dari Tokyo (Edo). Kota ini berfungsi sebagai pangkalan klan Minamoto dan dijadikan sebagai ibu kota setelah Minamoto no Yoritomo memutuskan hubungan dengan ibu kota lama di Heiankyo (Kyoto) serta kesemua pegawai sivil yang masih setia terhadap pemerintahan lama. Bagaimanapun, istana diraja masih kekal berada di Heiankyo dan di sana jugalah sebarang gelaran dikurniakan, cukai-cukai dikutip, dan perundangan sivil diselesaikan.

Kuil Kotokuin yang dibina pada 1252 M masih terus menggamit pengunjung yang ingin menyaksikan kemegahan tugu gangsa Amida Buddha di sana.

Kamakura dilindungi sepenuhnya oleh gunung-ganang dan lautan sekali gus menjadikannya sebuah kota yang sempurna khususnya dari sudut ketenteraan. Pertahanannya diampuhkan lagi oleh pembinaan tembok tanah dan dua buah kubu-istana kayu: iaitu Sugimoto dan Sumiyoshi. Kesemua elemen pertahanan ini membuktikan keampuhannya semasa Kamakura dikepung pada penghujung zaman Kamakura, iaitu pada tahun 1333 M. Bagaimanapun, pasukan tentera Nitta Yoshisada (1301-1337 M) memanfaatkan kawasan tanjung yang airnya sedang surut lalu menyerang kota dari arah pantai. Semenjak Keshogunan Kamakura tumbang, kota tersebut mengalami kemunduran. Namun, Kuil Kotokuin (dibina pada 1252 M) masih terus berdiri dan menggamit kehadiran pengunjung yang mahu menyaksikan kemegahan tugu gangsa Amidha Buddha yang berketinggian 11.3 meter (33 kaki, tidak termasuk batu foundasinya).

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Ekonomi

Zaman Kamakura secara umum menyaksikan ekonomi Jepun berada dalam keadaan yang baik. Aktiviti perdagangan dengan China masih berterusan, di mana barangan seperti emas, raksa (merkuri), kipas, pedang, kayu, dan barangan lakuer ditukar dengan kain sutera, kain broked, wangian, porselin, teh, dan syiling tembaga China. Dalam transaksi perdagangan, syiling lebih kerap digunakan. Akan tetapi, terdapat juga urusan perdagangan yang melibatkan hutang atau bil kredit. Bagaimanapun, ia kadangkala memberikan kesan buruk buat masyarakat, khususnya samurai, di mana ia menyebabkan mereka mempunyai di keliling pinggang kerana berbelanja lebih dari kemampuan.

Shogun-shogun Kamakura turut melaksanakan beberapa pembaharuan berkaitan pemilikan tanah. Mereka menggalakkan pengusahaan tanah-tanah pertanian yang telah lama terbiar. Sektor pertanian turut dibantu oleh perkembangan-perkembangan teknologi baharu, seperti pengenalan beras China yang lebih tahan lama pada lewat kurun ke-12 M. Begitu juga dengan amalan penanaman-berganda dan penggunaan baja (kompos, pukuk kandang, dan abu) secara lebih meluas. Petani-petani Jepun pada Zaman Kamakura turut memanfaatkan peralatan yang jauh lebih baik. Tanah-tanah rang semakin berkurangan, lebih-lebih lagi apabila kaum wanita dibenarkan memiliki tanah sendiri dan mengetuai keluarga jika tiada pewaris lelaki yang layak. Dalam erti kata lain, mereka dibenarkan mewarisi dan menyimpan harta sendiri tanpa mengira keadaan suami atau saudara-saudara lelaki mereka.

Fragment of a Japanese Bodhisattva Head
Serpihan Kepala Bodhisattva Jepun
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Sementara itu, di kawasan bandar pula menyaksikan banyak persatuan pedagang (za) ditubuhkan bagi membantu karyawan dan para pedagang memperoleh sokongan dan tajaan dari biara atau penguasa tempatan. Persatuan-persatuan ini kebiasaannya dianggotai oleh 10 hingga 100 orang pekerja atau syarikat. Kewujudan za menyumbang kepada peningkatan piawai dan kemahiran khusus para karyawan dan pedagang Kampung-kampung juga kian lama kian membangun dan rangkaian jalan ditambah baik. Tidak dapat dinafikan, pembangunan-pembangunan sebegini berlaku kerana wujud dua buah ibu kota yang berfungsi secara efektif (iaitu Kamakura dan Heiankyo). Berikutan keadaan aman dan makmur yang menyelubungi Zaman Kamakura, populasi Jepun mengalami peningkatan dari 7 juta orang kepada 8.2 juta orang sejak bermula hingga berakhirnya zaman tersebut.

Agama

Pada zaman Kamakura, dua aliran baru dalam Zen Buddhisme dibentuk: iaitu aliran Jodo (Tanah Suci) yang diasaskan oleh sami Honen (1133-1212 M) sekitar tahun 1175 M, dan aliran Jodo Shin (Tanah Suci Sejati) yang diasaskan pada 1224 M oleh Shinran (1173-1263 M), anak murid Honen. Kedua-dua aliran tersebut meringkaskan amalan keagamaan dan menekankan bahawa dengan menyebut nama Buddha (nembutsu) – disebut berkali-kali bagi aliran Jodo dan sekali sebutan bagi aliran Jodo Shin – sudah memadai untuk membolehkan seseorang itu dilahirkan semula di Tanah Suci Amida Buddha. Di samping itu, pencerahan agama dan kemasukan ke syurga ini turut dibuka kepada semua penganutnya tanpa mengira status sosial.

Kuil Zen yang dianggap paling signifikan ialah Kencho-ji di Kamakura. Ia dibina oleh Hoji Tokiyori (1227-1263 M) pada tahun 1253 M. Prinsip-prinsip kesederhanaan dan kawalan diri dalam zen mendapat tempat yang khusus dalam kalangan samurai. Penekanannya terhadap wabi – iaitu prinsip yang merangkumi nilai estetika, kesederhanaan, dan menjauhi hiruk-pikuk dunia – mempengaruhi golongan bangsawan untuk menjadikan Upacara Teh Jepun sebagai aktiviti masa senggang. Nilai kesederhanaan yang ditekankan oleh Zen juga mempengaruhi lukisan dan kaligrafi dakwat Jepun, dengan lukisan potret secara khusus semakin realistik. Bagaimanapun, pengaruh Shinto masih terus hidup seperti pada zaman-zaman sebelumnya, di mana Zaman Kamakura memperlihatkan pembinaan Kuil Suci Tsurugaoka Hachiman.

Kublai Khan Statue
Patung Kublai Khan
A. Omer Karamollaoglu (CC BY)

Serangan-Serangan Monggol

Zaman Kamakura juga diwarnai oleh dua serangan Monggol yang dilancarkan oleh Kublai Khan pada 1274 dan 1281 M. Ia dianggap sebagai antara ancaman terbesar terhadap kedudukan Jepun. Sebelum berlakunya serangan tersebut, Kublai Khan (memerintah 1260-1294 M) mengutus sepucuk surat kepada kerajaan Jepun yang menuntut mereka membayar ufti. Namun, shogun dan maharaja Jepun masing-masing tidak mengendahkan tuntutan tersebut. Tuah juga seakan-akan memihak Jepun apabila kedua-dua serangan Monggol dipatahkan oleh ribut taufan yang menenggelamkan sebahagian kapal Monggol dan mengusir sebahagian yang lain dari pantai Jepun (rombongan serangan kedua sempat berlabuh di pantai Kyushu). Ribut kencang tersebut dipanggil sebagai kamikaze atau 'angin suci'. Bagaimanapun, kedua-dua serangan tersebut berserta jangkaan terhadap serangan ketiga benar-benar membahayakan kedudukan Jepun, lebih-lebih lagi apabila pasukan tenteranya perlu sentiasa dipersiapkan. Hal ini mengakibatkan berlaku masalah pembayaran upah tentera yang amat membimbangkan. Sektor pertanian juga terjejas teruk kerana hasil-hasil tuaian disalurkan untuk tujuan pertahanan. Keadaan sebegini membuka peluang kepada seteru klan Hojo untuk tampil mencabar kedudukan politik mereka.

Kemunduran & Keshogunan Ashikaga

Demi merebut kembali kedudukannya yang hilang sejak Minamoto no Yoritomo memperkenalkan kedudukan shogun, Maharaja Go-Daigo (memerintah 1318-1339 M) melancarkan dua cubaan merampas kuasa – cubaan pertama pada tahun 1324 M dan cubaan kedua pada 1331 M. Namun, kedua-duanya berakhir dengan kegagalan dan beliau terpaksa lari menyelamatkan diri. Sepanjang tahun 1333 hingga 1336 M, berlaku peristiwa yang dikenali sebagai Pemulihan Kammu. Kemudian, Go-Daigo kembali dari persembunyiannya dan cuba mendapatkan bantuan raja-raja feudal yang bermusuhan dengan Keshogunan Kamakura. Antara rakan sekutu yang berjaya didapatkannya ialah Ashikaga Takauji dan pasukan tenteranya yang pada asalnya dihantar oleh shogun untuk menangani Go-Daigo. Takauji menyerang Heiankyo manakala seorang lagi sekutu Go-Daigo, iaitu Nitta Yoshisada menyerang Kamakura. Setelah berhasil meraih kemenangan, Takauji berhasrat mahu menjadi shogun namun Go-Daigo enggan mengurniakan gelaran tersebut kepadanya. Lantas, Takauji pun menewaskan penyokong kuat Go-Daigo, iaitu Yoshisada dalam sebuah pertempuran dan menakluk Heiankyo pada tahun 1336 M. Sekali lagi, Go-Daigo terpaksa bersembunyi (namun kali ini beliau menubuhkan istana sendiri di Yoshino). Ashikaga Takauji seterusnya menjadikan Komyo sebagai maharaja boneka dan menabalkan dirinya sebagai shogun pada tahun 1338 M sekali gus memulakan era Keshogunan Ashikaga (atau Keshogunan Muromachi, 1338-1573 M). Beliau terus menyandang kedudukan tersebut selama 20 tahun dan era baru dalam sejarah Jepun ini dikenali sebagai Zaman Muromachi (1333-1573 M).

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, June 18). Zaman Kamakura [Kamakura Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15865/zaman-kamakura/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Zaman Kamakura." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai June 18, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15865/zaman-kamakura/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Zaman Kamakura." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 18 Jun 2019. Web. 31 Oct 2024.