Ratu Himiko

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 01 May 2017
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Queen Himiko (by Xapaga tocnxnpo, CC BY-SA)
Ratu Himiko
Xapaga tocnxnpo (CC BY-SA)

Ratu Himiko, yang juga dikenali sebagai Pimiko atau Pimiku (183? – 248 Masehi), merupakan seorang pemerintah dari kurun ke-3 Masehi yang memerintah sebuah daerah Jepun purba yang dikenali sebagai Hsieh-ma-t'ai atau Yamatai, yang kemudiannya dikenali sebagai Yamato. Beliau dianggap oleh masyarakat China sebagai pemerintah seluruh kepulauan Jepun atau Wa berikutan pengaruh negaranya yang sangat besar, dan beliau sendiri kerapkali bertukar-tukar perutusan diplomatik dengan Dinasti Wei. Sebagai seorang tokoh separa-legenda, nama Himiko dengan aneh luput daripada catatan-catatan sejarah Jepun namun pemerihalan tentang beliau dapat ditemui secara ringkas dalam rekod-rekod China. Ratu ini disifatkan sebagai seorang dukun sunti dan hidup di sebuah istana yang dilayan oleh 1000 orang dayang.

Yamatai

Dalam bahasa Jepun arkaik, nama Himiko membawa maksud Anak Matahari atau Puteri Matahari, di mana ia mungkin merujuk kepada jalur keturunannya yang mempunyai kaitan langsung dengan Amaterasu si dewi matahari Shinto. Sememangnya, kesemua raja Jepun didakwa mempunyai hubungan darah dengan dewi tersebut. Setakat ini, sejarahwan masih tidak mencapai kata sepakat tentang lokasi sebenar Hsieh-ma-tai/Yamatai yang diperintah oleh Ratu Himiko. Sebilangan kecil sejarahwan memposisikannya di utara Kyushu, namun ramai yang menamakan daerah Nara sebagai lokasi yang paling sesuai. Pada era pemerintahannya, iaitu sekitar kurun ke-3 Masehi, kepulauan Jepun ditadbir oleh kira-kira 100 buah kerajaan berbeza. Kerajaan Himiko dianggap sebagai yang paling berkuasa antara semua dan, kedudukannya itu mendorong kepada terbentuknya sebuah federasi yang terdiri daripada 30 buah kerajaan sebagaimana yang diperakui oleh masyarakat China. Dakwaan ini secara efektif mengangkat Himiko sebagai penguasa seluruh kepulauan Jepun.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Penampilan Dalam Catatan-Catatan Sejarah

Sejarahwan masih terus memperdebatkan tentang identiti Himiko, di manakah letaknya wilayah pemerintahan beliau & di manakah lokasi persemadiannya yang melegenda. Namun, kata sepakat tentang ketiga-tiga persoalan tersebut belum pernah dicapai.

Pengenalan Ratu Himiko sebagai seorang pendeta tinggi atau dukun wanita bukanlah suatu perkara yang pelik bagi golongan pemerintah di tamadun-tamadun awal Asia Timur. Dalam buku sejarah China berjudul Wei Chih ('Sejarah Kerajaan Wei') yang dikarang pada tahun 297 Masehi, dikisahkan bahawa Ratu Himiko “memenuhkan waktunya dengan aktiviti perdukunan dan ilmu ghaib, serta menjampi rakyat jelata” (Henshall, 152). Buku-buku sejarah dinasti Jepun seperti Kojiki ('Catatan Hal-Hal Silam') yang disusun pada tahun 712 Masehi dan Nihon Shoki ('Hikayat Jepun' atau turut dikenali sebagai Nihongi) yang disusun pada tahun 720 Masehi hanya memerihalkan tentang Ratu Himiko tanpa menyebut namanya. Dicatatkan dalam Nihon Shoki bahawa pada tahun 238 Masehi, Ratu (tanpa disebut nama) menghantar sebuah delegasi pembawa ufti kepada Kerajaan Wei di China:

Pada bulan keenam tahun ketiga Ching-ch'u (238 Masehi) di waktu pemerintahan Maharaja Ming Ti, ratu dari Wa menghantar paduka Nashonmi dan paduka-paduka lain; mereka mengunjungi sebuah wilayah dan memohon perkenan untuk melanjutkan perjalanan menuju ke istana bagi mempersembahkan ufti ke penghadapan maharaja. Gabenor wilayah ketika itu, iaitu Teng Hsia, kemudiannya mengutus seorang pegawai bagi mengiringi rombongan mereka ke istana. (Keene, 72)

Melalui perutusan tersebut, kerajaan China mengurniakan gelaran kehormat 'Ratu Wa, Sahabat Wei' dan sebentuk mohor emas kepada Himiko. Persembahan ufti berupa sepersalinan pakaian dan sejumlah hamba sahaya oleh Himiko buat maharaja China dibalas dengan kurniaan manik-manik manikam, 100 bentuk cermin gangsa, dan beberapa bilah pedang, yang sebahagiannya dijadikan sebagai alat kebesaran diraja Jepun. Himiko sempat menghantar lagi dua buah rombongan delegasi ke China, masing-masing pada tahun 243 dan 247 Masehi. Jalinan hubungan antara dua buah kerajaan ini berlangsung mesra sehinggalah era Dinasti Sui pada kurun ke-7 Masehi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Three Kingdoms Period of China and the Rise of Xianbei in the year 229 CE
Tempoh Tiga Kerajaan China dan Kebangkitan Xianbei pada tahun 229 M
Stone Chen (CC BY-NC-SA)

Untaian Kisah Hidup

Menurut Wei Chih, Ratu Himiko diangkat oleh masyarakatnya sebagai pemerintah setelah berlaku satu tempoh kehuru-haraan yang berpanjangan sehingga 70 atau 80 tahun lamanya, yang diwarnai dengan pelbagai bentuk pemberontakan dan peperangan. Walaupun era pemerintahannya diselimuti kemakmuran, Himiko disifatkan sebagai seorang sunti yang tidak pernah berkahwin dan beliau menjalani kehidupan bertapa dalam sebuah istana ampuh yang bahagian luarnya dikawal ketat oleh 100 orang lelaki. Himiko sememangnya mempunyai seorang pelayan lelaki yang bertugas menghidangkan makanan dan bertindak selaku wakilnya dalam berurusan dengan kerajaannya sendiri dan kerajaan-kerajaan lain. Beliau turut menyerahkan hal-ehwal kerajaan, atau setidaknya menguruskannya secara bersama dengan adik lelakinya sambil beliau sendiri mengabadikan diri dalam aktiviti perdukunan.

Terdapat kemungkinan bahawa pemerincian tentang gaya hidup bertapa dan polisinya yang menyerahkan hal-ehwal kenegaraan kepada adik lelakinya ini adalah garapan bias yang dilakukan oleh penulis sejarah – ini kerana menjadi kelaziman bagi para pemerintah Jepun untuk tidak menerima kunjungan duta dari negara-negara lain, di mana hal ini berkemungkinan mendorong perwakilan China untuk menganggap raja yang memerintah sebagai seorang yang lemah, di samping turut mempengaruhi para penulis (lelaki) di zaman terkemudian untuk hanya merekodkan tentang raja-raja Jepun yang berjantina lelaki.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Ketika Himiko mangkat pada tahun 248 Masehi, jasadnya dipercayai disemadikan di sebuah makam yang berukuran 100 'langkahan kaki' (bersamaan 150 meter) dan kira-kira 100 orang hamba sahaya dikorbankan sebagai menghormati pemergiannya. Dengan kemangkatan beliau, Jepun pun beralih dari Zaman Yayoi (c. 300 SM – c. 250 M) ke Zaman Kofun (c. 250-538 M).

Legasi

Sehingga kini, sejarahwan masih terus memperdebatkan tentang identiti Himiko, di manakah letaknya wilayah pemerintahan beliau, dan di manakah lokasi persemadiannya yang melegenda. Namun, kata sepakat tentang ketiga-tiga persoalan tersebut belum pernah dicapai. Ratu silam ini juga terus-menerus hadir dalam ingatan masyarakat awam Jepun dan namanya pula merupakan nama yang paling dikenali dalam kalangan pelajar-pelajar sejarah di Jepun. Dengan pertandingan-pertandingan ratu cantik yang dinamakan bersempena namanya, kad-kad Tarot yang menampilkan gambarnya, dan komik-komik manga yang dibintangi oleh wataknya yang muncul dalam pelbagai jenis karakter, daripada erotis hingga ke simbol pemerkasaan wanita, legenda Himiko tentunya bakal hidup buat beberapa tempoh waktu lagi.

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2017, May 01). Ratu Himiko [Queen Himiko]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15957/ratu-himiko/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Ratu Himiko." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai May 01, 2017. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15957/ratu-himiko/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Ratu Himiko." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 01 May 2017. Web. 03 Dec 2024.