Sejarah Halloween

Rencana

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 21 October 2019
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel

Halloween merupakan salah satu tradisi yang paling tua di dunia, memandangkan ia menyentuh perihal satu elemen penting dalam kehidupan manusia: iaitu hubungan antara yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. Setiap tamadun di dunia mempunyai amalan ritual yang menumpu pada perjalanan yang perlu diharungi oleh manusia sesudah mereka meninggal dunia, ke mana mereka pergi, dan bagaimana bentuk penghormatan yang wajar dilakukan oleh mereka yang masih hidup atau bagaimana mereka seharusnya bertindak balas terhadap roh-roh yang enggan berangkat ke alam kematian.

Hampir seluruh negara di dunia mempunyai versi Halloween yang tersendiri, bermula dari Hari Orang Mati (Día de Muertos) di Mexico hingga ke Hari Menyapu Kubur (Qingming Jie) di China. Walaupun sebahagian aspeknya dikembangkan pada tempoh yang lebih kebelakangan, sambutan Halloween di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada – tempat di mana ia paling diraikan – mempunyai beberapa elemen yang memiripi tradisi purba dalam tamadun-tamadun lain dan bahkan sejarahnya boleh dijejak kembali pada perayaan Samhain yang disambut oleh masyarakat Celt.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Jack-o'-Lanterns
Jack-o'-Lantern
macwagen (CC BY-NC-ND)

Tahun demi tahun, pelbagai kumpulan penganut Kristian cuba memperlihatkan amalan tersebut sebagai suatu amalan yang keji dan jelek, antaranya dengan berulangkali mendakwa Sam Hain sebagai dewa pelindung orang mati bagi masyarakat Celt dan Halloween pula adalah jamuannya. Kesilapan ini berpunca daripada seorang jurutera British dari kurun ke-18 Masehi, iaitu Charles Vallancey yang menulis tentang perayaan Samhain dengan berbekalkan kefahaman yang cetek tentang budaya dan bahasa bangsa tersebut dan semenjak itu, dakwaan menyeleweng tersebut diulang dan disebar secara tidak kritis. Walau bagaimanapun, Gereja sendiri yang bertanggungjawab memelihara tradisi Samhain di Barat dengan mengkristiankannya pada kurun ke-9 Masehi, sekaligus memulakan proses pengubahan tradisi keagamaan pagan Eropah Utara menjadi sebuah cuti umum sekular yang diraikan secara tahunan di seluruh dunia dengan begitu meriah – baik dari segi budaya mahupun komersial – dan hanya mampu ditandingi oleh perayaan Christmas.

Samhain

Tradisi Halloween di Barat boleh dijejak kembali akarnya pada perayaan Samhain (disebut 'Soo-when', 'So-ween' atau 'Saw-wen'), iaitu perayaan Tahun Baru Celtic. Nama Samhain membawa maksud 'penghujung musim panas' dan keraian tersebut menandakan berakhirnya musim menuai dan datangnya musim sejuk. Masa-masa sebegini dipercayai oleh masyarakat Celt sebagai detik di mana tirai antara alam nyata dan alam kematian tersingkap dan makanya, roh-roh si mati dapat pulang ke dunia dan mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilawati semasa ia hidup. Selain itu, roh-roh yang baru mati dan roh-roh yang masih enggan meninggalkan alam nyata mengambil kesempatan di waktu ini untuk berinteraksi dengan mereka yang masih hidup sebelum berangkat sepenuhnya ke alam kematian.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Sambutan Samhain antaranya merangkumi penyimpanan bekalan untuk mengharungi musim sejuk, penyembelihan haiwan ternakan, dan pembakaran tulang-tulang haiwan dalam pesta 'unggun temulang' (bone fires).

Setakat ini tidak banyak yang kita ketahui tentang ritual-ritual Samhain silam kerana pihak Gereja telah pun mengkristiankannya – sama seperti yang berlaku terhadap kebanyakan festival pagan lain – dan maklumat-maklumat yang dimiliki pada hari ini datangnya daripada rahib-rahib Ireland yang merekodkan sejarah masyarakat Celtic pada era pra-Kristian, di samping hasil tulisan penulis-penulis Kristian lain yang kebanyakannya cenderung untuk merendahkan amalan pagan itu. Apapun, sambutan Samhain silam antaranya merangkumi penyimpanan bekalan untuk mengharungi musim sejuk, penyembelihan haiwan ternakan, dan pembakaran tulang-tulang haiwan dalam pesta "unggun temulang" (bone fires) yang seiring perjalanan waktu, mula dikenali sebagai pesta unggun api (bonfires). Dalam keraian ini juga diadakan perkumpulan masyarakat bagi menikmati jamuan dan minum-minum. Apapun, elemen "tirai tersingkap" dan kunjungan roh-roh si mati semasa berlangsungnya keraian Samhain tetap menjadi antara ciri utama tradisi tersebut.

Roh-roh si mati yang dikasihi dinanti-nantikan – dan dialu-alukan – kedatangannya dan amalan menyediakan makanan kegemaran buat roh si mati juga mungkin berasal-usul dari sekitar waktu itu, iaitu kira-kira 2000 tahun yang lalu (tarikh sebenar tidak dikenal pasti). Apapun, banyak roh dan semangat lain – yang tidak pernah wujud sebagai manusia – turut hadir pada waktu tersebut. Antaranya seperti orang halus (elves), bunian (fairies), peri kerdil ("wee folk"), pari-pari (sprites), dan semangat-semangat jahat.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Begitu juga dengan roh si mati yang pernah dianiaya semasa ia hidup, di mana ia akan muncul mencari si penganiayanya. Demi memperdaya roh-roh jahat tersebut, kebiasaannya mereka akan menghitamkan wajah dengan abu yang diambil dari pesta unggun api (amalan yang kemudian disebut sebagai "penyamaran"), dan seiring peredaran masa, amalan ini berkembang menjadi pemakaian topeng. Dengan demikian, mereka yang hidup hanya akan mendedahkan identiti diri setelah mengecam kehadiran roh yang mereka kasihi sambil yang lain pula akan terus kekal selamat dari gangguan roh-roh jahat.

Malam Para Santo

Sejarahwan belum dapat mengenal pasti semenjak bilakah ritual-ritual tersebut terangkum dalam perayaan Samhain, namun sebahagian daripadanya sudah pun diamalkan sekitar era kedatangan agama Kristian di Ireland pada kurun ke-5 Masehi. Bukit Tlachtga (Bukit Jagaan) di Daerah Meath merupakan tapak di mana pesta unggun api dinyalakan pada atau sekitar tanggal 31 Oktober bagi mengisyaratkan bermulanya perayaan Samhain dan nyalaan unggun tersebut disambut oleh unggun yang lebih besar dari Bukit Tara, sebuah tapak Neolitik yang terletak di seberang. Ahli-ahli arkeologi dari Kolej Universiti Dublin meletakkan tarikh artifak-artifak yang ditemui di situ seawal 200 Masehi, namun kita perlu ingat bahawa ia adalah hasil perkembangan paling kemudian di tapak yang telah lebih 2000 tahun dijadikan sebagai tempat kelangsungan pesta unggun api.

Bukit ini dinamakan bersempena seorang pendeta wanita (druidess) bernama Tlachtga yang merupakan anak perempuan kepada seorang pendeta (druid) bernama Mug Ruith yang banyak berkelana bagi mengasah kemahirannya. Menurut legenda, Tlachtga menjadi mangsa rogol oleh tiga orang anak lelaki Simon Magus, yang namanya masyhur sebagai penentang St. Peter seperti yang termaktub dalam Book of Act: 8:9-24. Susulannya, Tlachtga melahirkan tiga orang anak kembar di Bukit Tlachtga sebelum meninggal dunia di sana. Pemasukan watak jahat dalam Bible ke dalam kisah Tlachtga jelasnya meletakkan garis masa legenda ini pada era Kristian dan menjajarkan beliau dengan St. Peter di mana mereka berdua berkongsi seteru yang sama. Sama seperti kebanyakan legenda Celtic, sejarahwan meyakini bahawa legenda Tlachgta telah dikristiankan sesudah kedatangan St. Patrick ke Ireland dan babak beliau dirogol oleh anak-anak Simon Magus merupakan penambahan terhadap kisah asal.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Stone of Destiny, Hill of Tara
Batu Takdir, Bukit Tara
Germán Póo-Caamaño (CC BY)

Pengkristianan simbol-simbol, kuil-kuil, festival-festival, legenda-legenda dan ikon-ikon keagamaan pagan telah pun dilakukan dan diterapkan ke dalam perayaan Samhain dan keraian-keraian lain. Pada kurun ke-7 Masehi atau tepatnya semasa kuil besar pagan, iaitu Pantheon di Rome ditahbiskan khusus buat Santo Mary dan para korban agama Kristian, Paus Boniface IV telah menetapkan tanggal 13 Mei sebagai Hari Para Santo (All Saint's Day atau All Hallow's Day), iaitu hari untuk meraikan santo-santo yang tidak mempunyai hari istimewa yang tersendiri. Walau bagaimanapun pada kurun ke-8 Masehi, Paus Gregory III memindahkan tarikh perayaan itu ke tanggal 1 November. Sehingga kini punca pemindahan tarikh tersebut masih diperdebatkan. Sebilangan sejarahwan berpendapat ia dilakukan bagi mengkristiankan perayaan Samhain dan mengubahnya menjadi sambutan Malam Para Santo, yang mana dakwaan ini agak munasabah kerana gerakan tersebut dilihat sejajar dengan satu paradigma Kristian berkenaan "penyucian" unsur-unsur pagan, di mana hal ini bertujuan untuk memudahkan proses penukaran agama masyarakat tersebut.

Sebelum ia dikristiankan, tanggal 13 Mei merupakan hari terakhir bagi perayaan Lemuria yang disambut oleh masyarakat Rom (berlangsung pada tanggal 9, 11, 13 Mei), di mana perayaan tersebut dikhususkan untuk menenteramkan roh si mati yang marah atau tidak senang ketika berada di alam kematian. Perayaan ini dikembangkan daripada dua buah keraian yang disambut lebih awal, iaitu Parentalia – yang bertujuan menghormati roh nenek-moyang (13-21 Februari) – dan Feralia – yang bertujuan meraikan roh orang-orang yang disayangi (21 Februari). Dalam keraian Feralia, mereka yang masih hidup dituntut supaya mengenang dan mengunjungi kubur mereka yang telah mati dan menitipkan hadiah berupa bijirin, garam, roti bercelup arak, dan kalungan bunga yang diiringi kelopak-kelopak berwarna ungu.

Pengaruh-Pengaruh Lain Terhadap Perkembangan Halloween

Sama seperti yang berlaku terhadap perayaan Parentalia, Feralia, Lemuria, dan keraian-keraian lain, begitulah juga yang berlaku terhadap Samhain. Sebelumnya, sambutan Samhain dikaitkan dengan roh-roh yang telah berangkat ke alam kematian, dengan bumi, dengan pertukaran tahun, dan kesemuanya ini ditandai dengan keraian dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Selepas ia dikristiankan, Malam Para Santo diubah menjadi malam untuk berjaga, berdoa, dan berpuasa sebagai persiapan bagi menyambut hari esok, di mana para santo diraikan dalam sambutan yang lebih ringan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Walau bagaimanapun, tradisi-tradisi lama tidak ditinggalkan dan pesta unggun api masih diamalkan – hanyasaja kini ia dilakukan atas nama wira-wira Kristian. Begitu juga dengan pertukaran musim yang masih diraikan – cuma kini atas nama Christ. Kebanyakan ritual yang mengiringi bentuk baru perayaan tersebut tidak diketahui asal-usulnya namun menjelang kurun ke-16 Masehi, amalan "memohon sumbangan" menjadi perkara utama. Amalan ini memperlihatkan golongan miskin di bandar atau pekan mengetuk pintu demi pintu lalu meminta sepotong kek-sumbangan daripada tuan rumah dan sebagai balasan, mereka akan mendoakan kesejahteraan buat seluruh penghuni rumah tersebut.

Amalan ini diyakini lahir daripada kepercayaan bahawa roh-roh si mati tergantung dalam keadaan terseksa selagimana ia tidak didoakan, dan seringkali juga, selagimana sejumlah wang tidak dibayar kepada Gereja. Selepas berlakunya Reformasi Protestan, amalan memohon sumbangan terus dihidupkan di Britain, cuma bezanya, golongan miskin dan belia Protestan mendoakan kesejahteraan buat penghuni rumah dan orang-orang yang mereka sayangi, bukannya roh-roh yang tergantung. Apapun, tradisi lama masih dikekalkan dalam kalangan penganut Katolik.

Bonfire on Guy Fawkes Day
Api unggun pada Hari Guy Fawkes
gardooney (CC BY-NC-ND)

Pada kurun ke-17 Masehi, Hari Guy Fawkes menambah satu komponen baru dalam perkembangan Halloween. Tepat pada tanggal 5 November 1605 Masehi, sekumpulan penentang Katolik cuba membunuh Raja James I dari Britain yang menganut fahaman Protestan. Cubaan ini dikenali dalam sejarah sebagai Rancangan Senjata Api. Cubaan tersebut gagal dan salah seorang ahli kumpulan penentang yang bernama Guy Fawkes ditangkap bersama bahan-bahan letupan yang dipasang di bawah Rumah Raja-Raja. Walaupun beliau mempunyai ramai rakan subahat, hanya nama Guy Fawkes seorang diabadikan dalam sejarah.

Hari Guy Fawkes diraikan oleh golongan Protestan di Britain sebagai hari kemenangan ke atas "pihak paus" dan tanggal 5 November dipilih sebagai hari peristiwa di mana ucapan-ucapan berbaur anti-Katolik disebarkan dan vandalisme ke atas premis rumah dan perniagaan Katolik dilakukan, walaupun secara rasmi, pihak kerajaan mendakwanya sebagai satu bentuk perayaan bagi menyambut Rahmat Tuhan buat raja. Pada malam sebelum sambutan Hari Guy Fawkes, pesta unggun api dirayakan dan tokoh-tokoh tak ternama – kebiasaannya Paus – digantung dalam patung sambil orang ramai bermabukan, berpesta, dan menyalakan bunga api. Kanak-kanak dan warga miskin pula akan berkunjung dari rumah ke rumah bagi meminta wang atau makanan sambil memakai topeng muka dan menolak patung Guy Fawkes dalam kereta sorong.

Menyebar Ke Amerika Utara

Ketika British datang ke Amerika Utara, mereka turut membawa bersama tradisi-tradisi tersebut. Warga Purita di New England yang enggan mengamalkan sebarang perayaan yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan pagan – termasuklah perayaan Christmas dan Easter – masih mengekalkan sambutan Hari Guy Fawkes pada tanggal 5 November bagi memperingati kemenangan moral mereka ke atas Katolik. Perayaan Guy Fawkes juga terus disambut sehingga Revolusi Amerika pada 1775-1783 Masehi.

Ritual-ritual Samhain tiba di negara tersebut kurang sekurun kemudian, berikutan pemindahan beramai-ramai warga Ireland pada 1845-1849 Masehi, yakni sewaktu berlakunya sebuah peristiwa yang dikenali sebagai kebuluran kentang. Masyarakat Ireland yang sebahagian besarnya merupakan penganut Katolik terus mengamalkan Hari Para Santo yang diiringi dengan amalan "memohon sumbangan". Namun pada hari ini, keraian tersebut sudah dicampur-aduk dengan tradisi-tradisi rakyat seperti lentera si jack (jack o' lantern).

Perkembangan-Perkembangan Lanjut

Lentera si jack dikaitkan dengan sebuah kisah rakyat Ireland yang berkisar tentang Jack Si Kedekut (Stingy Jack), seorang pemabuk dan penipu licik yang berjaya memperdaya syaitan sehingga mengusirnya dari neraka. Namun dek kerana beliau menjalani kehidupan dengan penuh dosa, Jack tidak dapat memasuki syurga. Oleh kerana itu, roh Jack pun berlegar di dunia sambil membawa sebentuk lentera kecil yang diperbuat daripada lobak putih dan diisi dengan arang dari neraka bagi menerangi jalannya. Sejarahwan berpendapat legenda tersebut lahir daripada penampakan will-o-wisp, paya dan wap marsh yang sememangnya menyala dengan terang pada waktu malam. Pada Malam Para Santo, menjadi tradisi bagi masyarakat Ireland untuk menebuk lobak putih dan mengukirnya sehingga menjadi bentuk muka lalu mengisinya dengan lilin. Kononnya, amalan ini bertujuan untuk memelihara mereka dari gangguan roh-roh jahat seperti Jack Si Kedekut semasa upacara "memohon sumbanga" dilakukan pada detik di mana tirai antara alam nyata dan alam kematian tersingkap.

Turnip Lantern
Tanglung Lobak
Culture Vannin (Public Domain)

Asas-asas sambutan Halloween kini digantikan dengan amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil meminta gula-gula dan membawa lentera si jack sebagai ganti bagi kek-jiwa. Tidak lama selepas amalan tersebut sampai ke Amerika Syarikat, warga Ireland menukarkan penggunaan lobak putih kepada labu kerana ia lebih mudah untuk diukir. Hari Guy Fawkes tidak lagi diraikan di Amerika Syarikat namun unsur-unsur sambutannya masih dapat dilihat dalam perayaan-perayaan Katolik pada bulan Oktober, khususnya unsur yang melibatkan vandalisme di mana ketika itu, ia dilangsungkan secara lebih sembarangan: sekitar tanggal 31 Oktober, kediaman atau premis perniagaan milik sesiapa sahaja boleh dirosakkan secara bebas.

Pada pagi Halloween tahun 1912 di kampung Hiawatha, Kansas, seorang wanita bernama Elizabeth Krebs kian berasa letih apabila kebunnya – dan seluruh pekannya – dirosakkan pada setiap tahun oleh segerombolan kanak-kanak yang memakai topeng. Maka pada tahun berikutnya, beliau mengeluarkan wangnya sendiri untuk mengadakan sebuah parti khusus untuk golongan belia dengan harapan mereka akan keletihan dan kehabisan tenaga sehingga tidak lagi berupaya merosakkan pekannya.

Namun ternyata, jangkaan beliau meleset dan vandalisme tetap dilakukan seperti biasa. Pada tahun 1914, beliau menyeru penglibatan seluruh warga pekan untuk membawa masuk sekumpulan pancaragam dan mengadakan beberapa aktiviti seperti pertandingan kostum dan perarakan – dan usahanya kali ini membuahkan hasil. Segenap lapisan masyarakat berhibur dengan keraian tersebut dan meninggalkan tradisi vandalisme Halloween. Berita tersebut kemudian tersebar ke pekan-pekan lain dan masing-masing mengadakan acara sambutan Halloween yang serupa, melibatkan pertandingan kostum, perarakan, persembahan pancaragam, jamuan makanan, acara tarian, dan penyediaan manisan serta ukiran-ukiran hantu yang menakutkan.

Perayaan yang lazim dilihat pada hari ini mula meraih bentuk akhirnya pada 1950an dan semakin lama ia semakin meraih tempat di negara-negara lain.

Walaupun adakalanya Puan Krebs dipanggil sebagai "ibu Halloween moden", kenyataan sebegitu tidaklah sepenuhnya tepat kerana beliau tidak bertanggungjawab mempromosikan tradisi berkunjung dari rumah ke rumah sambil meminta makanan yang sudah pun diamalkan sejak ratusan tahun yang lampau. Apapun, versi sambutan yang diperkenalkan oleh Puan Krebs sememangnya memberi impak terhadap cara sambutan Halloween dalam kalangan warga Amerika, dan perayaan Halloween Frolic di Hiawatha, Kansas terus diamalkan secara tahunan bersama perayaan-perayaan lain yang diilhaminya.

Walau bagaimanapun, konsep pesta-sebagai-pengalih-tumpuan dari aktiviti vandalisme tidaklah mendapat tempat di seluruh negara dan menjelang 1920an, "malam liar" tersebut semakin meninggalkan barah buat warga Amerika Syarikat dan Kanada. Apapun, sejarahwan tidak mengetahui secara jelas bagaimana amalan menghancurkan premis orang lain pada malam 31 Oktober boleh berubah menjadi amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil meminta manisan. Apa yang diketahui, ia sudah pun diamalkan di Kanada menjelang 1927 sebagaimana yang dibuktikan menerusi keratan akhbar dari Blackie, Alberta, Kanada yang menampilkan sebuah kisah tentang kanak-kanak yang mengunjungi dari rumah ke rumah dan penggunaan frasa "trick or treat" ("perdaya atau belanja") buat kali pertama dalam media cetak. Setelah kanak-kanak itu diberikan gula-gula, mereka akan beredar tanpa mengapa-apakan rumah tersebut.

Tradisi ini terus diamalkan di Amerika Utara sepanjang 1930an, sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan berlakunya pencatuan gula secara mendadak sekaligus menjejaskan pengeluaran manisan dan gula-gula. Keadaan hanya pulih seperti sediakala pada lewat 1940an. Perayaan yang lazim dilihat pada hari ini mula meraih bentuk akhirnya pada 1950an dan semakin lama ia semakin meraih tempat di negara-negara lain. Pada hari ini, Halloween tidak lagi dilihat secara umum sebagai sebuah perayaan yang mempunyai kaitan dengan mana-mana agama atau tradisi khusus, sebaliknya ia dilihat sebagai sebuah cuti umum sekular yang disambut khusus untuk golongan belia dan satu rahmat buat pengusaha manisan, dekorasi, dan industri hiburan yang mengeluarkan filem, rancangan TV, dan buku bertemakan paranormal.

Tema Utama

Bagi kebanyakan masyarakat Neo-Pagan dan Wicca, perayaan ini terus disambut sepertimana di zaman silam yang menjadikan penjelmaan sebagai tema utama perayaan Samhain. Antaranya melibatkan pertukaran tahun dari hari-hari terang ke hari-hari gelap; perkunjungan roh-roh si mati dari alam kematian ke alam nyata, dan keberangkatan penuh roh yang masih belum meninggalkan alam nyata ke alam kematian; mereka yang hidup menukar persona sebagai entiti lain dan entiti ghaib pula menjelmakan diri sebagai manusia; haiwan-haiwan dikorbankan dan dihidangkan sebagai makanan; bijirin, bebuahan, dan sayur-sayuran disimpan sebagai bekalan bagi mengharungi musim sejuk; manakala kayu-kayan dan tulang-temulang pula dibakar dalam pesta unggun api.

Penjelmaan juga masih dijadikan sebagai tema utama bagi perayaan Halloween. Misalnya, pemakaian topeng dan kostum semasa Hari Halloween bertujuan untuk memberi peluang kepada si pemakainya untuk menjelma sebagai persona yang berbeza berbanding hari-hari biasa. Untuk semalaman lamanya, seseorang boleh menjelma sebagai Darth Vader, zombie, atau Labu Besar. Begitu juga dengan kostum-kostum yang lazim dijadikan sebagai pilihan utama, seperti kostum serigala-jadian (manusia yang menjelma sebagai haiwan), kostum pontianak (yang berupaya menjelma sebagai asap atau kelawar), dan kostum hantu (yang mampu menjelma sebagai manusia).

Di Ireland pada zaman pra-Kristian, dewi yang sering dikaitkan dengan Samhain adalah dewi Morrigan si dewi perang dan takdir yang bertanggungjawab menentukan untung-nasib bangsanya, Tuatha de Danaan, dalam meraih kebebasan dalam peperangan menentang warga Formoria. Dalam setiap kisah yang menampilkan dirinya, Morrigan disifatkan sebagai satu karakter yang berupaya membuat perubahan dan dalam epik Cath Maige Tuired, beliau berjaya mengubah takdir masyarakatnya menjadi tuan pada diri sendiri dan bukannya hamba suruhan orang lain. Elemen penjelmaan dan penukaran sebegini adakalanya menggerunkan, namun ada juga yang mengujakan. Karakter serigala-jadian, misalnya, dikembangkan sebagai reaksi terhadap rasa gerun pada serangan haiwan, manakala pontianak pula dijelmakan sebagai reaksi terhadap rasa takut pada roh si mati yang kembali bagi menghukum mereka yang masih hidup. Walau bagaimanapun, dalam dua situasi tersebut – dan juga situasi-situasi lain – keupayaan untuk membunuh makhluk itu terletak pada diri manusia sendiri, justeru legenda-legenda sebegini dianggap mampu memberi kekuatan buat manusia untuk menghadapi saat-saat sukar.

Tema yang sama turut ditampilkan menerusi pemakaian topeng Halloween dan tradisi-tradisi moden yang terangkum dalam perayaan tersebut, di mana ia menyentuh aspek-aspek paling asas dalam kehidupan manusia dan amalan Samhain. Sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat silam, kostum dan topeng Halloween dipakai untuk menghindari gangguan roh jahat sambil menikmati saat-saat girang apabila berpeluang untuk berjumpa dengan roh insan-insan tersayang. Kebanyakan kostum yang dikenakan semasa sambutan Halloween mewakili rasa takut terhadap kematian dan ketidakpastian, yang apabila kostum itu dipakai untuk semalaman, ia seakan-akan membawa maksud si pemakai berjaya menguasai rasa takut tersebut dan berubah menjadi persona yang baru. Pada peringkat yang paling asas, perayaan Halloween adalah – atau mungkin adalah – simbol kemenangan manusia ke atas apa yang ditakutinya; yang mungkin begitulah jua keadaannya bagi masyarakat Celt purba ketika mereka menyambut Samhain sejak ribuan tahun yang lampau.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2019, October 21). Sejarah Halloween [History of Halloween]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1456/sejarah-halloween/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Sejarah Halloween." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai October 21, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1456/sejarah-halloween/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Sejarah Halloween." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 21 Oct 2019. Web. 07 Dec 2024.