Xanadu

19 hari yang tinggal

Melabur dalam Pendidikan Sejarah

Dengan menyokong Ensiklopedia Sejarah Dunia, anda melabur dalam masa depan pendidikan sejarah. Sumbangan anda membantu kami memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memahami dunia di sekeliling mereka. Bantu kami memulakan tahun baru bersedia untuk menerbitkan maklumat sejarah yang lebih dipercayai, percuma untuk semua orang.
$116 / $10000

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 18 September 2019
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Bahasa Indonesia, Sepanyol, Turki
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Xanadu by Dmitri Smirnov. (by Philip Firsov, CC BY)
Xanadu oleh Dmitri Smirnov.
Philip Firsov (CC BY)

Xanadu (atau turut dikenali sebagai Shangdu, Shang-tu, dan Kaiping) merupakan ibu kota (1263-73 M) Empayar Monggol yang terletak di Monggolia Dalam, bahagian utara China, yang kemudiannya dijadikan oleh Kublai Khan (memerintah 1260-1294 M) sebagai ibu kota musim panas (1274-1364 M) bagi empayar berkenaan. Xanadu memperoleh kemasyhuran yang berpanjangan di dunia barat berikutan namanya tersisip dalam catatan seorang pengembara dari Venetia, Marco Polo yang berjudul Travels (c. 1298 M). Kepopularitinya dipicu lagi oleh Samuel Taylor Coleridge (1772-1834 M) yang menjadikan Xanadu sebagai tema utama dalam sebuah puisi garapannya. Bagaimanapun, kota tersebut telah lama hilang dan namanya kekal wujud sebagai representasi sebuah tempat yang dipenuhi misteri, kemewahan, dan kesenangan hidup. Walau yang tinggal pada hari ini hanyalah puing-puing runtuhannya sahaja, Xanadu diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia.

Ibu Kota Musim Panas

Pada kurun ke-13 M, jajahan takluk Empayar Monggol merangkumi hampir seluruh benua Asia. Memasuki tahun 1263 M, pusat pemerintahan mereka dipindahkan dari Karakorum (Qaraqorum) di Monggolia ke Xanadu yang terletak di timur laut China. Nama asal yang diberikan oleh Kublai Khan kepada ibu kota barunya itu adalah Kaiping. Namun semasa pusat pemerintahan empayar sekali lagi dipindahkan pada 1273 M yang kali ini ke Daidu (atau Khanbaliq, kini Beijing), nama Kaiping diubah menjadi Xanadu/Shangdu, yang boleh dimengertikan sebagai 'Ibu Kota Dataran Tinggi'. Pembangunan kota Daidu sebenarnya sudah pun dimulakan sejak tahun 1266-7 M lagi, sebagai simbol kekuasaan Monggol ke atas China dan penubuhan Dinasti Yuan (1271-1368 M).

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Keluasan kota Xanadu secara keseluruhannya mencecah 25, 000 hektar & pada masa-masa kemuncaknya, ia dihuni oleh kira-kira 200, 000 orang manusia.

Bagaimanapun, kota Xanadu tidaklah dikesampingkan. Bermula pada tahun 1274 M, kota tersebut dijadikan oleh Kublai Khan dan seluruh isi istananya sebagai istana singgah-singgah setiap kali musim panas memandangkan cuaca di sana jauh lebih sejuk jika dibandingkan dengan Daidu. Kefungsian Xanadu sebagai ibu kota musim panas terus berlanjutan hingga ke detik kejatuhan Dinasti Yuan pada tahun 1364 M. Sejarahwan bahkan memandang ciri-ciri yang ada pada kota Xanadu sebagai mewakili sistem pentadbiran baru yang bakal diperkenalkan oleh Dinasti Yuan; antaranya seperti percampuran budaya antara Monggol dan China sebagaimana yang dapat dilihat menerusi seni bina bangunan dan bentuk kuil-kuil Buddha, penggunaannya sebagai lapangan berburu (satu aktiviti yang amat digemari oleh warga Monggol), dan lokasinya yang terletak di hujung padang berumput steppe dan tanah-tanah pertanian China. Kesemua ciri ini menuding kepada satu simbolisme; iaitu pemerintahan Dinasti Yuan nanti bakal diwarnai dengan percampuran budaya masyarakat nomad dan masyarakat petani. Bagaimanapun, perrcampuran budaya sebegini tidaklah diterima oleh seluruh anggota masyarakat. Ramai warga Monggol malahan menganggap raja-raja mereka telah meninggalkan tradisi lama dan menukar identiti menjadi warga China yang terkenal sebagai sebuah bangsa bertamadun yang hidup senang-lenang. Lembaran sejarah turut menyaksikan betapa istiadat diraja tidak diterapkan secara ketat di Xanadu. Apapun, ibu kota musim panas itu tetap jua berdiri teguh walau setelah kejatuhan Dinasti Yuan. Namun setelah berlalu beberapa tempoh waktu, ia mula dikesampingkan dan menjelang 1430 M, ia ditinggalkan secara total.

Map of Yuan Dynasty China
Peta Dinasti Yuan China
Arab Hafez (Public Domain)

Susun Atur Kota & Bangunan

Kublai Khan sendiri mengambil pendirian untuk menjarakkan diri daripada tradisi leluhurnya yang mengamalkan gaya hidup nomad. Tidak seperti datuknya, iaitu Genghis Khan si pengasas Empayar Monggol (memerintah 1206-1227 M), beliau enggan lagi hidup di dalam khemah yurt dan sebaliknya, mahi mendiami istana mewah lagi indah. Reka bentuk kota Xanadu dihasilkan secara khusus oleh seorang pegawai penasihat Kublai Khan yang berwarga China, iaitu Liu Bingzhong (1216-1274 M). Kota tersebut dibangunkan mengikut seni bina kota klasik China, dengan dinding luarnya berketinggian 3.5 hingga 5.5 meter (12-18 kaki) dan dilengkapi dengan enam buah pintu gerbang – dua di timur, dua di barat, satu di utara dan satu lagi di selatan. Pada setiap sisi kota juga didirikan enam buah menara peninjau. Secara keseluruhan, luas kota Xanadu mencecah 25, 000 hektar dan pada masa-masa kemuncaknya, ia dihuni oleh kira-kira 200, 000 orang manusia. Bekalan airnya juga cukup ampuh berikutan terdapat banyak mata air semula jadi di sana. Bangunan-bangunan dan rangkaian jalannya pula dibina dengan penuh teliti selaras prinsip Feng Shui, khususnya apabila ia diselarikan dengan kedudukan gunung di utara dan sungai di selatan. Secara asas, kota Xanadu boleh dibahagikan kepada tiga buah kawasan berbeza: iaitu bahagian dalam kota, bahagian luar kota, dan kawasan berburu yang tertutup.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Tepat di bahagian barat laut kota ditempatkan sebuah kawasan berburu yang dicirikan oleh padang menghijau, pepohonan yang rimbun & tasik-tasik indah.

Bahagian luar kota merupakan tempat permukiman warga kota, justeru ia dipenuhi dengan rumah yang diperbuat daripada lumpur mahupun papan. Bahagian dalam dan luar kota dipisahkan oleh tembok batu-bata setinggi 3-5 meter (10-16 kaki) yang turut dilengkapi dengan empat buah menara. Di bahagian dalam kota inilah berdirinya istana kediaman Kublai Khan dan seluruh isi istananya, di mana istana tersebut dibina di atas pelantar platform yang diperbuat daripada tanah mampat dan diperkukuh oleh bebatuan dan kayu alang. Sementara itu, istana dan bangunan-bangunan lain seperti kuil-kuil utama dibina daripada kayu-kayuan, batu-batuan, marmar, dan jubin kaca. Tepat di bahagian barat laut kota pula ditempatkan sebuah kawasan berburu yang dicirikan oleh padang menghijau, pepohonan yang rimbun, tasik-tasik indah, dan dihuni oleh haiwan-haiwan separa-jinak seperti rusa. Kawasan berburu ini juga dimanfaatkan sebagai tempat pemeliharaan dan latihan helang pemburu, dan tempat penternakan kuda-kuda putih dan lembu-lembu yang susunya diperuntukkan khusus untuk khan dan golongan bangsawan. Sebagai ciri keselamatan, seluruh kawasan berburu ini ditutupi dengan parit dan tembok tanah.

Tempat Berlangsungnya Upacara-Upacara Penting

Kota ini juga lazim mengadakan jamuan besar dan pesta memburu, di samping menjadi tuan rumah bagi beberapa acara lain. Pada tahun 1260 M misalnya, Xanadu dijadikan sebagai tempat berlangsungnya kurultai atau pertemuan antara ketua-ketua suku Monggol yang bertujuan untuk mengisytiharkan secara rasmi Kublai Khan sebagai Khagan Empayar Monggol. Sebuah lagi kurultai diadakan di Xanadu pada tahun 1275 M, kali ini untuk menentukan perjalanan kempen ketenteraan terakhir Kublai Khan ke atas Dinasti Song di selatan China (960-1279 M). Sebagai makluman, kerajaan China tersebut tumbang sepenuhnya hanya empat tahun selepas berlangsungnya pertemuan tersebut. Xanadu turut memainkan peranan yang signifikan dalam penyebaran agama di rantau berkenaan, khususnya apabila ia menjadi tuan rumah kepada perbincangan hangat tentang agama Buddha dan Tao yang kemudiannya mendorong kepada penyebaran Buddhisme-Tibet ke seluruh timur laut Asia. Lebih daripada itu, kota tersebut juga merupakan antara destinasi pilihan ramai pengembara yang berhasrat melihat kemegahan tamadun-tamadun di Asia, antaranya seperti Marco Polo, seorang pengembara dari Venetia.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

An Audience with a Chinese Emperor
Penonton dengan Maharaja Cina
Jacques Gabriel Huquier (Copyright)

Catatan Marco Polo

Marco Polo (1254-1324 M) berkelana ke Asia dan berkhidmat di istana Kublai Khan sekitar tahun 1275 hingga 1292 M. Dalam perjalanan pulangnya ke Eropah, beliau sempat mencatatkan segala pengalamannya itu ke dalam sebuah buku yang diberi judul The Travels of Marco Polo atau Travels (Description of the World) yang kali pertama diterbit dan disebarkan sekitar tahun 1298 M. Dalam buku pertama pada bab ke-57, Marco Polo ada memerihalkan tentang Xanadu, yang dipanggil oleh beliau sebagai Shandu. Petikan bab tersebut adalah sebagaimana berikut:

Setelah berangkat dari kota terakhir yang saya sebutkan sebelum ini [Changanor] dan berjalan ke arah timur laut selama tiga hari, anda akan tiba di sebuah kota bernama Shandu, yang dibangunkan oleh Kublai si Khan Agung yang sedang memerintah pada ketika ini. Di kota tersebut, beliau mendirikan sebuah istana yang diperbuat daripada marmar dan bebatuan indah. Terbukti juga menerusi binaannya itu kemahiran pandai-pandai tukangnya. Ruang dewan dan kamar-kamarnya semua disepuhi emas… Dalam perkarangan taman istananya terdapat tumbuh-tumbuhan yang memesonakan, diairi oleh banyak anak sungai kecil. Di sana juga ada pelbagai macam rusa dan kambing, yang diternak untuk dijadikan makanan buat helang dan burung-burung pemburu yang lain… di tengah-tengah perkarangan yang dipenuhi pepohonan indah ini, beliau mendirikan sebuah astaka diraja yang disokong oleh tiang-tiang yang cantik lagi berkilat dek disepuhi emas… Kota ini dipilih oleh beliau sebagai tempat beristirehat memandangkan cuacanya sederhana dan udaranya pula nyaman. Dalam setahun, beliau pasti akan singgah di istana ini selama tiga bulan, iaitu pada bulan Jun, Julai, dan Ogos.

Samuel Taylor Coleridge

Pada hari ini, karya seorang ahli puisi dan ahli filsuf Inggeris bernama Samuel Taylor Coleridge yang dianggap paling masyhur ialah Rime of the Ancient Mariner (1798 M). Bagaimanapun, beliau juga mempunyai karya masyhur lain seperti Kubla Khan (yang dikarang pada tahun 1797 dan disiarkan pada 1816 M), di mana di dalamnya beliau turut memerincikan keindahan kota Xanadu (walau bukanlah digarap daripada pengalaman peribadinya sendiri). Menerusi puisi beliau yang satu inilah juga lahir frasa 'pleasure dome' yang membawa maksud 'kemuncak kebahagiaan'. Puisi penuhnya boleh dibaca di sini, sambil terjemahan bahagian pembukanya adalah sebagaimana berikut:

Di Xanadu, Kubla Khan merehatkan diri,

sambil titahnya mensyukuri nikmat syurgawi:

Di sana mengalir Alph si sungai sakti,

merentasi gua-gua yang tiadapat manusia selusuri,

lalu turun ia ke lautan tanpa matahari.

Syahdan berganda lima batu luasnya tanah yang subur,

dengan dikelilingi nian tembok dan menara yang bulat membujur;

juga taman bebunga yang adiwarna

diapit dek anak-anak sungai yang ribu liku halanya.

Tumbuh mekar di taman itu pepohonan yang raksinya mewangi,

dan belantaranya langka selangka bebukitan yang telah lama berdiri,

menyelimuti bumi hijau yang malar segar disinari mentari.

Cardinal Turtle & Dragon from Xanadu
Kardinal Turtle & Dragon dari Xanadu
BabelStone (CC BY-SA)

Warisan Pusaka

Runtuhan kota Xanadu telah pun menerima pengiktirafan daripada UNESCO sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia. Di sana, kita masih boleh saksikan runtuhan batu asas istana, kuil, tembok, makam, terusan, dan saliran air. Bagaimanapun, kewujudan Xanadu mungkin lebih malar hidup di dalam imaginasi dan khayalan berbanding realiti, lebih-lebih lagi kerana kota itu sendiri biasa dikaitkan dengan kemisterian, kemewahan, dan ketenteraman. Kemasyhuran namanya banyak disumbang oleh sentuhan karya Marco Polo dan Coleridge, bahkan pada era kebelakangan, nama Xanadu diambil sebagai nama rumah agam misteri dalam filem Citizen Kane (1941 M) dan juga nama sebahagian permukaan Titan, bulan planet Zuhal yang paling besar.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2019, September 18). Xanadu [Xanadu]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18478/xanadu/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Xanadu." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 18, 2019. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18478/xanadu/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Xanadu." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 18 Sep 2019. Web. 12 Dec 2024.