Sundiata Keita, turut dikenali sebagai Sunjaata atau Sundjata (memerintah 1230-1255 M), merupakan pengasas Empayar Mali (1240-1645 M) yang berkuasa di Afrika Barat. Sebagai seorang putera dari suku Malinke, Sundiata tidak hanya bertanggungjawab menggulingkan kerajaan Sosso (c. 1180-1235 M) yang merupakan pewaris terbesar Empayar Ghana (kurun keenam-ketiga belas M), tetapi turut menakluki kerajaan-kerajaan jiran, membangunkan pentadbiran yang stabil di ibu kota Niani, dan memerintah empayarnya sehingga menjadi empayar yang paling besar dan paling kaya pernah disaksikan di Afrika Barat. Sundiata Keita, yang namanya membawa maksud 'putera singa', memainkan peranan yang sangat penting dalam penubuhan Empayar Mali dan sejarah Malinke hinggakan tradisi-tradisi lisan yang diwariskan oleh masyarakat-masyarakat tempatan menyifatkan beliau sebagai seorang pahlawan ulung dan pawang handal.
Kehidupan Awal & Legenda
Kisah hidup Sundiata Keita kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber lisan yang diperturunkan oleh para penghikayat Afrika (disebut sebagai kewel dalam bahasa Wolof) dari satu generasi ke satu generasi sebelum kemudiannya ditulis dan diterjemahkan oleh sejarahwan Eropah pada kurun ke-19 M. Menukil P. Curtin, “Kedudukannya [Sundiata] dalam kesusasteraan lisan di barat Sudan saling tidak tumpah seperti kedudukan Charlemagne di Eropah barat” (94). Selain sumber-sumber lisan, riwayat hidup Sundiata Keita juga dicatatkan dalam karya para penulis Arab zaman pertengahan, walaupun naratif kedua-duanya lazimnya tidak sepadan antara satu sama lain.
Menurut legenda, Sundiata merupakan seorang putera dari kumpulan etnik Malinke (Mandingo) dan namanya membawa maksud 'putera singa' atau 'singa lapar', iaitu haiwan yang menjadi simbol keluarga Keita. Beliau dilahirkan pada tahun 1210 M dalam sebuah keluarga kehormat. Namun, beliau mempunyai satu kekurangan di mana beliau tidak boleh berjalan dan dalam beberapa versi penceritaan, kecacatan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan ibunya yang bertubuh bongkok. Bagaimanapun, dek kerana kecacatan inilah beliau dibiarkan hidup oleh musuh ayahnya yang telah pun membunuh 11 orang saudara Sundiata demi menghindari kebarangkalian berlakunya pemberontakan terhadap pemerintahannya. Semasa beliau berusia sekitar 7 tahun, Sundiata memakai gelang kaki yang diperbuat daripada besi dan setelah berlatih berjalan selama beberapa tempoh, kecacatannya itu berjaya diatasi. Dalam sebuah penceritaan lain, beliau mengalami satu lagi cabaran dalam hidup di mana beliau dibuang negeri ke Kerajaan Mema sambil takhta Malinke dirampas oleh Dankaran Tuman. Namun beberapa tempoh kemudian, Sundiata dipujuk oleh warga Malinke untuk pulang menyelamatkan mereka dari pemerintahan yang zalim.
Kejatuhan Empayar Ghana
Empayar Ghana (tidak terkait secara geografi dengan Ghana moden) mula tumbang pada penghujung kurun ke-12 M setelah menguasai perdagangan di Afrika Barat, khususnya di lembah hulu Sungai Niger sejak kurun ke-6 atau ke-7 M. Empayar ini pada hakikatnya adalah sebuah gugusan kampung yang diperintah oleh seorang raja tunggal, di mana ia berupaya berkembang dengan makmur dan pesat berkat kehadiran pasukan tentera yang terlatih dan akses terhadap bahan-bahan mentah seperti bijih besi untuk menghasilkan senjata dan lombong-lombong emas untuk membayar gaji tentera. Penguasaan terhadap aktiviti perdagangan serantau merupakan sumber pendapatan yang lumayan buat raja-raja Ghana, di mana mereka menjual barang-barang dagangan seperti emas dan gading kepada kafilah-kafilah Muslim yang bermusafir dari Afrika Utara hingga ke selatan dengan merentasi Gurun Sahara sambil membawa garam yang jauh lebih berharga.
Kemunduran Empayar Ghana mula berlaku apabila jalan-jalan perdagangan lain diperkenalkan dan cuaca pula bertukar kering untuk tempoh yang panjang sehingga menjejaskan penghasilan tanaman. Raja-raja Ghana juga tidak mampu berbuat apa-apa lantaran empayar dilanda kekacauan perang saudara. Empayar Ghana tumbang dan empayar lain pula yang muncul sambil Sundiata Keita pula ditakdirkan untuk menduduki tempat tertinggi dalam pergulatan kuasa di Afrika Barat. Wilayah-wilayah Malinke sememangnya sukar dikawal oleh raja-raja Ghana. Sejak awal kurun ke-13 M, lagi, pemberontakan demi pemberontakan meletus di sana, khususnya apabila raja-raja terakhir Empayar Ghana, Sosso (Susu) mengenakan kawalan yang ketat ke atas aktiviti-aktiviti perdagangan di kawasan itu.
Bermula tahun 1230an, Sundiata melancarkan perang habis-habisan terhadap Sosso dan raja mereka, Sumanguru (Sumaoro Kante, memerintah dari tahun 1200 M). Sebelum itu, Sundiata terlebih dahulu membentuk pakatan dengan pembesar-pembesar lain yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Sumanguru. Beliau turut menerima bantuan berharga daripada saudara perempuannya, Nana Triban yang berkahwin secara paksa dengan Sumanguru. Nana berjaya membongkar rahsia di sebalik kekuatan Sumanguru, yang berpunca daripada tangkal (tana) berbentuk bulu ayam berwarna putih. Tangkal tersebut kemudian dicuri oleh Nana dan makanya, Sumanguru berada dalam keadaan lemah semasa turun ke medan tempur di Krina (Kirina) pada tahun 1235 M. Pertempuran tersebut dimenangi oleh Sundiata dan sekutu-sekutunya, sambil Sumanguru pula melarikan diri tanpa pernah muncul kembali.
Dengan dibantu oleh panglima-panglima cekap seperti Tiramaghan Traore dan Fakoli Koroma, Sundiata terus meraih kemenangan demi kemenangan sehingga akhirnya, beliau menakluki ibu kota Ghana pada tahun 1240 M. Beliau bukan sekadar menghadiahkan kemerdekaan buat rakyat Ghana yang telah sekian lama menderita, akan tetapi beliau turut menubuhkan kerajaannya sendiri yang kemudian dikenali sebagai Empayar Mali (1240-1645 M), yang bermaksud 'tempat menetap raja-raja'.
Pentadbiran & Empayar Mali
Menurut sumber lisan, Sundiata bertanggungjawab menghasilkan satu kod pentadbiran yang merangkumi aspek sosial dan politik dalam Empayar Mali. Pertamanya, sebuah majlis dibentuk dengan dianggotai oleh pembesar-pembesar suku yang secara rasminya menabalkan Sundiata sebagai pemerintah tertinggi. Sememangnya, Sundiata diberikan bermacam-macam gelaran sepanjang beliau memerintah. Antaranya seperti Maghan atau Mansa (Raja), Nfa Mansa (Ayahandaku, atau Tuanku), Simbon Salaba (Ketua Pemburu), dan Mari Diata (Raja Singa).
Pembesar-pembesar suku ini juga menetapkan bahawa raja-raja Mali perlu dipilih dalam kalangan keturunan Sundiata. Peranan kesemua suku turut diperkemas mengikut susunan pekerjaan. Ada juga yang diberi nama baru atau nama kedua bagi membentuk kesatuan yang lebih jitu. Majlis pemerintah ini juga menetapkan bahawa pekerjaan seperti tukang besi, tukang tenun, dan pembuat kasut perlu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dalam erti kata lain, Sundiata dengan penuh cermat mengaturkan setiap suku dan individu dalam empayarnya kepada satu peranan tertentu yang khusus.
Kota Niani, yang walaupun sudah tidak lagi wujud pada hari ini dan dipercayai terletak di sebuah lembah berhampiran Sungai Sankarani, dipilih sebagai ibu kota Empayar Mali. Dengan dilindungi oleh gunung-ganang dan berada hampir dengan dua sumber utama barang dagangan, iaitu hutan dan laluan sungai, kota Niani dengan pantas berkembang menjadi sebuah pusat kosmopolitan dan diisytiharkan oleh Sundiata sendiri sebagai wilayah diraja yang pintunya dibuka luas buat seluruh warga empayar. Pusat pentadbiran Sundiata di Niani ini secara khusus dihuni oleh ketua-ketua suku yang setia di samping sejumlah pedagang Arab yang sangat berperanan dalam memelihara hubungan komersial dan politik dengan negara-negara luar. Empayar Mali umumnya dibahagikan kepada bahagian utara dan selatan, dengan pentadbiran setiap bahagian diserahkan kepada seorang gabenor tentera. Untuk menjamin kepatuhan dan kesetiaan rakyat di setiap wilayah, kebanyakan pembesar tempatan dibenarkan memerintah seperti sediakala namun pada masa yang sama, mereka diberikan seorang gabenor-penasihat yang dilantik oleh pemerintahan pusat (farin). Adakala, pasukan pengawal kota yang dibiayai oleh kerajaan turut dibentuk di beberapa buah wilayah. Justeru, Empayar Mali secara intisarinya berfungsi seperti sebuah kesatuan kerajaan-kerajaan kecil.
Empayar ini kemudiannya berkembang menjadi empayar yang paling besar dan paling kaya pernah disaksikan di Afrika Barat, di mana ia mendominasi laluan-laluan perdagangan serantau baik laluan darat mahupun sungai, di samping memonopoli sumber-sumber seperti emas, tembaga, besi, dan gading. Masyarakat umum Mali kebanyakannya adalah golongan petani, manakala bangsawannya pula adalah pedagang yang bertindak selaku orang tengah antara para pedagang dari selatan dan kafilah-kafilah dari Afrika Utara. Sundiata berterusan menakluki wilayah-wilayah baru, dan menjelang penghujung pemerintahannya, Empayar Mali menguasai Ghana, Walata, Tadmekka, dan Songhai. Apa yang lebih utama, kawasan-kawasan ini menyimpan lombong-lombong emas seperti Galam, Bambuk, dan Bure sekaligus menyumbang kepada kekayaan empayar.
Sundiata & Islam
Para pengembara dan penghikayat Muslim yang masyhur seperti Ibn Battuta (1304 – c. 1369 M) dan Ibn Khaldun (1332-1406 M) mencatatkan bahawa Sundiata (kadangkala dipanggil oleh mereka sebagai Mari-Jata) memeluk Islam sama seperti kebanyakan pewarisnya, di mana agama tersebut tersebar di rantau berkenaan berkat kehadiran para pedagang Arab. Bagaimanapun, tradisi lisan Malinke menyatakan hal yang berbeza. Walaupun ia memperakui kehadiran agama Islam di Mali jauh sebelum era pemerintahan Sundiata, sumber-sumber tersebut menegaskan bahawa Sundiata sama sekali tidak mengesampingkan kepercayaan animisme malahan beliau sendiri merupakan seorang pawang yang handal. Namun tanpa dapat disangkal, Sundiata tentunya menyedari manfaat yang bakal beliau peroleh sekiranya memeluk agama Islam dan bersahabat baik dengan rakan-rakan dagangnya. Kita juga sedia maklum bahawa putera Sundiata, iaitu Mansa Uli (Mansa Wali atau Yerelenku) menunaikan haji ke Mekah pada 1260an atau 1270an. Walau bagaimanapun, hanya pada kurun ke-14 M atau tepatnya, semasa era pemerintahan Mansa Musa I (1312-1337 M) barulah agama Islam tersebar dengan penuh gemilang dalam kalangan warga kota Empayar Mali. Sementara itu, masyarakat di kawasan pinggir bandar pula terus berpegang teguh pada kepercayaan tradisional.
Kemangkatan & Para Penggantinya
Sundiata Keita mangkat pada tahun 1255 M, namun bagaimana dan apa punca kematiannya tidak dapat dipastikan. Sebahagian sumber menyatakan bahawa beliau mangkat akibat terkena panah sesat. Ada pula yang mendakwa beliau mati lemas di Sungai Sankarani. Lokasi makamnya juga tidak diketahui memandangkan tradisi suku Malinke melarang lokasi persemadian raja-raja mereka didedahkan. Apa yang kita ketahui secara pasti adalah legasi Sundiata dalam bentuk sebuah empayar yang cukup stabil untuk diperintah oleh para penggantinya, bermula daripada puteranya Mansa Uli (memerintah c. 1255-1270 M). Empayar Mali terus mengalami perkembangan, khususnya semasa era pemerintahan cucu Sundiata, iaitu Mansa Musa I yang bertanggungjawab memperluaskan empayar ke kemuncaknya, di samping menyebarkan agama dan seni bina Islam, serta berbelanja besar dalam kunjungannya ke Kaherah pada tahun 1324 M.