Tokugawa Ieyasu (1543-1616) merupakan seorang panglima tentera Jepun yang menyatukan negara tersebut pada awal abad ke-17, selepas tempoh perang saudara yang panjang, dikenali sebagai Zaman Sengoku atau Zaman Negara-Negara Berperang. Beliau menubuhkan kerajaan baharu yang dikawal oleh keluarga Tokugawa dan memerintah Jepun sehingga tahun 1868.
Pendakian Kuasa
Ieyasu, yang nama sebenarnya Matsudaira Takechiyo, lahir pada 1543 di Istana Okazaki berhampiran bandar moden Nagoya. Keluarga Matsudaira merupakan keluarga pahlawan yang susur galurnya kembali kepada puak Minamoto, yang pernah memerintah Jepun ketika Zaman Kamakura (1185-1333). Abad ke-16 dirujuk sebagai Zaman Sengoku kerana tempoh ini menyaksikan perang saudara di mana pemimpin tempatan, daimyo bersaing untuk kuasa dan meluaskan wilayah masing-masing. Pengkhianatan sering berlaku, bukan sahaja antara keluarga yang berbeza, malah dalam keluarga sendiri. Bagi mengukuhkan pakatan, keluarga-keluarga ini akan bertukar-tukar tebusan, dan disebabkan itu, Ieyasu sebagai kanak-kanak jarang meluangkan masa bersama keluarganya.
Selepas pertempuran pertamanya pada 1558, Ieyasu secara berperingkat mengukuhkan kedudukan keluarganya melalui pakatan bersama Oda Nobunaga (1534-1582), seorang pahlawan terbilang yang berusaha menyatukan semula Jepun. Ieyasu menyertai beberapa siri kempen menentang pesaing utama, keluarga Takeda, yang akhirnya ditewaskan pada tahun 1582. Pada tahun yang sama, Oda Nobunaga dibunuh oleh salah seorang pengikutnya, dan ketika kekacauan tersebut, Toyotomi Hideyoshi (1537-1598) muncul sebagai panglima tentera paling berkuasa di Jepun. Walaupun pada awalnya bermusuhan dengan Hideyoshi, pada tahun 1590 Ieyasu membentuk pakatan dengannya untuk melancarkan serangan ke atas keluarga Hojo, satu puak berkuasa yang mengawal wilayah luas di Kanto, bahagian timur Jepun.
Berikutan kekalahan Hojo, Hideyoshi menawarkan kepada Ieyasu lapan wilayah di kawasan Kanto sebagai pertukaran kepada lima wilayah miliknya di Jepun Tengah. Pertukaran ini boleh dilanggap sebagai ganjaran kerana ia meningkatkan jumlah tanah yang dikuasai Ieyasu, tetapi pada masa yang sama ia turut melemahkan kedudukannya. Wilayah baharu itu lebih jauh dari ibu kota Kyoto (Heiankyo), dan keluarga Ieyasu kurang berpengaruh di kawasan tersebut. Namun, jika tawaran ditolak, ia akan membawa kepada peperangan dengan Hideyoshi, justeru mendesak Ieyasu untuk menerimanya. Beliau kemudian menubuhkan ibu pejabat di sebuah perkampungan nelayan bernama Edo, dan memulakan pembinaan istananya di sana. Pada tahun 1590-an, ketika kekuatan tentera Hideyoshi semakin berkurangan akibat kegagalan dua kempen ketenteraan di Korea, Ieyasu memperkukuhkan kawalan dan penguasaannya di wilayah Kanto.
Pada tahun 1598, Hideyoshi jatuh sakit dan menjangkakan kemangkatannya, menubuhkan majlis lima pemimpin untuk mentadbir sehingga anaknya, Hideyori yang ketika itu berumur lima tahun, dewasa. Ieyasu merupakan anggota paling berpengaruh dan selepas kemangkatan Hideyoshi, beliau menggunakan kedudukannya untuk merampas kuasa demi kepentingan diri sendiri. Lama-kelamaan, daimyo utama berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan di barat Jepun yang menyokong Hideyori manakala di sebelah timur menyatakan sokongan kepada Ieyasu. Pada Oktober 1600, tercetus pertempuran besar antara kedua-dua pihak di Sekigahara, berhampiran Tasik Biwa di Jepun Tengah. Ieyasu muncul sebagai pemenang dan menjadi pemerintah de facto Jepun.
Kerajaan Baharu
Ieyasu mengambil kesempatan daripada kemenangan tersebut untuk mengagihkan semula tanah secara radikal. Beliau merampas tanah milik para daimyo yang dianggap menentangnya. Sebahagian diambil untuk dirinya, selebihnya dianugerahkan kepada para pengikutnya. Beliau juga melemahkan pengaruh daimyo lain dengan memindahkan mereka jauh dari kawasan asal masing-masing ke wilayah baharu. Anak Hideyoshi, Hideyori dibenarkan tinggal di Istana Osaka, namun wilayah kekuasaannya dikecilkan dengan ketara.
Pada tahun 1603, Ieyasu mendesak maharaja untuk melantik beliau sebagai shogun. Gelaran ini telah digunakan oleh Minamoto no Yoritomo (1147-1199) ketika menubuhkan pemerintahan tentera pertama di Kamakura pada akhir abad ke dua belas. Di Jepun, pemerintahan tentera ini dipanggil bakufu, yang bermakna “kerajaan khemah”. Selepas puak Minamoto digulingkan pada 1333, keluarga Ashikaga menubuhkan bakufu baharu di Muromachi, Kyoto, yang bertahan dalam keadaan lemah sehingga 1573 apabila dijatuhkan oleh Oda Nobunaga. Ieyasu kemudian menubuhkan pemerintahan tentera ketiga dalam sejarah Jepun, dikenali sebagai Tokugawa atau Edo bakufu.
Walaupun zaman pemerintahan pahlawan di Jepun sering disebut sebagai feudalisme, istilah ini kadangkala mengelirukan. Di Eropah, feudalisme terbentuk selepas kejatuhan Empayar Rom, tetapi di Jepun, sistem beraja yang dibentuk sejak zaman Nara (710-794) tidak pernah berakhir. Walaupun keluarga diraja jarang memiliki kuasa politik sebenar, penganugerahan gelaran seperti shogun memberi keabsahan politik kepada pemimpin tentera seperti Ieyasu. Ia memeberikan beliau kuasa untuk membentuk kerajaan yang bertahan lebih 250 tahun.
Selepas pertempuran Sekigahara, Tokugawa menguasai hampir 30% negara, manakala selebihnya ditadbir oleh keluarga daimyo tempatan. Ieyasu mengiktiraf hak keturunan keluarga-keluarga ini untuk mentadbir wilayah masing-masing sebagai pertukaran kepada pengiktirafan mereka terhadap kuasa Tokugawa di peringkat nasional. Para sejarawan moden menyebut wilayah daimyo sebagai han. Saiz han diukur bukan melalui keluasan tetapi jumlah hasil padi yang dikeluarkan, iaitu dalam unit koku. Seseorang hanya layak menjadi daimyo jika wilayahnya menghasilkan lebih daripada 10,000 koku.
Ieyasu membahagikan keluarga daimyo kepada tiga jenis:
- keluarga shinpan – mempunyai pertalian langsung dengan Tokugawa
- keluarga fudai – bersekutu dengan Tokugawa sebelum pertempuran Sekigahara.
- keluarga tozama – bukan sekutu kepada Tokugawa.
Kawasan pemerintahan daimyo fudai kebiasaannya kecil tetapi terletak di lokasi yang penting dan strategik sepanjang jalan-jalan utama. Wilayah milik daimyo tozama lebih besar dengan beberapa mencecah jutaan koku namun terletak jauh daripada pusat politik di barat dan utara Jepun. Pahlawan dari keluarga fudai layak memegang jawatan dalam bakufu, tetapi keluarga tozama tidak. Selain pengagihan semula tanah, Ieyasu turut melaksanakan dasar bagi mengehadkan kuasa daimyo. Saiz tentera mereka dihadkan, mereka hanya dibenarkan membina satu istana, dan segala pembaikan kubu memerlukan kebenaran rasmi. Sistem empat kelas turun-temurun juga dicipta dengan pahlawan memimpin, diikuti petani, seniman dan peniaga. Para sejarawan menamakan struktur ini sebagai sistem bakuhan kerana ia merupakan gabungan bakufu dan han. Ieyasu dengan mahirnya membina sistem yang mengekalkan keseimbangan kuasa memihak kepada keluarga Tokugawa.
Pada 1605, Ieyasu melepaskan jawatan shogun dan menyerahkan kepada anaknya, Hidetada, atas dua sebab. Pertama, bagi meneguhkan prinsip bahawa Tokugawa berhak mewarisi jawatan shogun. Kedua, untuk membolehkannya melepaskan urusan pentadbiran harian dan memberi tumpuan mengukuhkan kuasa keluarganya. Selepas persaraan, beliau berpindah ke Sunpu di wilayah Shizuoka, di mana beliau menubuhkan kerajaan bayangan dan terus mempengaruhi pentadbiran negara.
Pembangunan Edo
Tempoh penyatuan nasional dari 1573 hinggan 1600 dikenali sebagai Zaman Azuchi-Momoyama. Azuchi ialah lokasi istana besar yang dibina Oda Nobunaga berhampiran Tasik Biwa, manakala Momoyama merujuk kepada istana yang dibina Toyotomi Hideyoshi berhampiran Kyoto. Ieyasu turut terlibat dalam projek pembinaan istana berskala besar. Istana Edo merupakan yang paling hebat antara semuanya. Ketika Ieyasu tiba di Edo pada 1590, kawasan itu hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil berhampiran runtuhan era abad ke-15. Beliau mengawasi pembinaan istana baharu, melibatkan kerja meratakan bukit, menimbus paya, serta menggali terusan untuk tujuan pengangkutan dan bekalan air. Selepas diangkat sebagai shogun, beliau memilih untuk mengekalkan pusat pentadbiran di Edo berbanding berpindah ke Kyoto. Ieyasu mengarahkan pelbagai daimyo menyediakan tenaga kerja dan bahan untuk pembinaan istana yang besar dan dikelilingi dua lapisan parit.Tindakan ini bukan sahaja menyediakan kediaman yang megah untuk kedudukannya, tetapi juga melemahkan daimyo pesaing. Bandar Edo berkembang pesat di sekeliling istana, dan pada 1605, jumlah penduduknya mencecah 150,000 orang.
Golongan daimyo membina kediaman mewah di kawasan tanah tinggi sekitar istana, manakala orang biasa tinggal di kawasan tanah rendah berhampiran Sungai Sumida. Selepas Tokugawa digulingkan pada 1868, Edo menjadi ibu negara Jepun dan dinamakan ‘Tokyo’, yang bermaksud “ibu kota timur”. Istana Edo dijadikan kediaman keluarga diraja dan dinamakan semula kepada Istana Diraja. Istana Diraja kini masih gah berdiri di tengah-tengah Tokyo dengan dinding batu dan parit menjadi peringatan akan kekuasaan keluarga Tokugawa walaupun kawasan sekarang ini hanya meliputi satu pertiga saiz asal istana. Ieyasu juga menyelia pembinaan Istana Nijojo di Kyoto, yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran Tokugawa di bahagian barat jepun.
Walaupun Ieyasu mewajibkan daimyo membiayai pembinaan istana dan projek besar yang lain, beliau tidak mengenakan cukai terus ke atas pendapatan wilayah mereka. Akibatnya, perbelanjaan kerajaan pusat begantung kepada pendapatan dari tanah milik Tokugawa sendiri. Kebanyakannya datang daripada cukai ke atas petani, namun perlombongan menjadi semakin penting pada masa itu. Ieyasu mengambil alih hampir semua lombong perak di Jepun. Beliau juga memupuk hubungan perdagangan dengan negara luar memandangkan perdagangan antarabangsa merupakan antara sumber kekayaan utama. Aktiviti dagangan dilakukan bukan sahaja dengan China dan Korea malah juga pelbagai negara-negara di Eropah. Kedatangan orang Eropah sejak 1540 turut membawa budaya baharu seperti senapang dan agama Kristian. Walaupun Ieyasu menghargai perdagangan antarabangsa, beliau berhati-hati kerana bimbang pesaing domestik menerima sokongan luar.
Tahun-tahun akhir
Ketika Ieyasu memperkukuhkan penguasaannya, anak kepada Hideyoshi, Hideyori, terus menetap di Osaka. Pada 1614, Ieyasu menggunakan alasan tertentu untuk menyerang Istana Osaka yang baru sahaja siap dibina oleh Hideyori. Kempen awal tidak menentu, tetapi selepas rundingan berterusan, Hideyori bersetuju menimbus parit luar istana sebagai syarat perdamaian. Namun pada tahun berikutnya, Ieyasu melanggar perjanjian tersebut dan melancarkan serangan kedua. Dalam pertempuran seterusnya, Hideyori terbunuh dan Istana Osaka dimusnahkan. Ini merupakan pertempuran terakhir Ieyasu sebelum beliau meninggal dunia pada 1616 pada usia 75 tahun. Selepas kematiannya, makam megah dibina di Nikko (wilayah Tochigi moden, utara Tokyo) dan semangatnya dikuilkan di sana.
Ieyasu merupakan salah satu tokoh paling penting dalam sejarah Jepun. Beliau bukan sahaja seorang pahlawan yang hebat, tetapi juga seorang ahli politik yang bijaksana, yang membentuk sebuah sistem politik yang bertahan selama lebih 250 tahun.

