Raja Sejong Yang Agung

Inti Sari

Ben Griffis
oleh , diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman
diterbitkan pada 18 January 2021
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris
King Sejong the Great (by Republic of Korea, CC BY-SA)
Raja Sejong yang Agung
Republic of Korea (CC BY-SA)

Raja Sejong yang Agung (15 Mei 1397 - 8 April 1450) memerintah Korea dari 1418 hingga 1450 dan merupakan raja keempat Dinasti Joseon. Baginda adalah salah seorang daripada hanya dua raja Korea yang menerima gelaran "Agung". Raja Sejong memberikan impak yang besar terhadap negara dan bangsa Korea. Pencapaian baginda yang paling hebat ialah penciptaan Hangul iaitu sistem abjad Bahasa Korea. Bukan itu sahaja, bahkan sumbangan baginda dalam bidang sains, teknologi, sastera, dan perubatan, semuanya memberikan kesan besar kepada pembangunan dan perkembangan Korea.

Pertabalan

Laluan Raja Sejong ke takhta Joseon tidak seperti raja-raja lain. Baginda yang dilahirkan dengan nama Yi Do adalah putera ketiga Raja Taejong, daripada kelahiran yang ketiga. Bagaimanapun, Raja Taejong memilih menabalkan Raja Sejong sebagai putera mahkota, bukannya dua putera yang lebih tua iaitu Putera Yangnyeong dan Putera Hyoryeong. Putera Yangnyeong dilucutkan sebagai pewaris takhta sebelum itu lagi, namun para sejarahwan tidak dapat memastikan sama ada beliau turun secara sukarela ataupun atas titah ayahandanya.

Sisihkan Iklan
Advertisement
Raja Sejong membina legasi dalam hampir semua bidang – ketenteraan, sains, sastera, perubatan, pengiraan dan penetapan waktu, serta kartografi.

Putera kedua Raja Taejong iaitu Putera Hyoryeong pula menamatkan nyawa sendiri di sebuah biara selepas pelucutan Putera Yangyeong, lalu meninggalkan hanya Raja Sejong sebagai pewaris takhta. Pemilihan Raja Sejong ini dikukuhkan lagi apabila sekumpulan 15 pegawai istana mempersembahkan petisyen (Gongnon) kepada Raja Taejong, menuntut supaya ahli keluarga diraja yang paling berakhlak mulia perlu ditabalkan sebagai putera mahkota, bukannya putera sulung kepada Putera Yangyeong jika mengikut giliran keturunan.

Raja Taejong memperkenankan petisyen ini dan menabalkan Raja Sejong sebagai putera mahkota dan pewaris takhta. Raja Sejong kemudiannya ditabalkan sebagai raja apabila Raja Taejong berundur untuk memberi laluan kepada puteranya itu memerintah pada tahun 1418. Bagaimanapun, Raja Taejong terus mempengaruhi istana dan raja yang baru ditabalkan sehingga kemangkatannya pada 1422. Selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Sejong membina legasi dalam hampir semua bidang – ketenteraan, sains, sastera, perubatan, pengiraan dan penetapan waktu, serta kartografi (seni melukis peta). Sebagai pemerintah, Raja Sejong menetapkan setiap titah dan polisi berdasarkan pemikiran Confucius yang sekali gus membenamkan fahaman Buddha Korea dan Islam.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Kempen Ketenteraan

Raja Taejong dan ayahandanya Raja Taejo memperluaskan sempadan Dinasti Joseon yang baru dengan menyahkan penaklukan Mongol dari tanah semenanjung Korea, serta melawan lanun-lanun wako dari kepulauan Tsushima. Raja Sejong mengatur strategi mengukuhkan sempadan baru ini dan memantau Peluasan Gihae Timur (dinamakan Pencerobohan Ōei menurut sumber Jepun) dalam usaha mengusir lanun-lanun dari Tsushima sekali gus dan buat selama-lamanya.

Map of Medieval Japanese Trade & Wako Pirates
Peta Perdagangan Era Pertengahan Jepun & Lanun Wako
Jan van der Crabben (CC BY-NC-SA)

Peluasan Gihae Timur berjaya apabila pemerintah Sō di Tsushima menyerah kalah kepada Raja Sejong pada 1419. Tsushima atau dikenali sebagai Daemado dalam Bahasa Korea, kemudiannya menjadi wilayah Joseon, sebuah tuntutan yang dibuat oleh Korea sehingga 1951. Walaupun ancaman lanun tidak berhenti sepenuhnya, namun setiap serangan ke atas kapal-kapal dan tanah Korea berjaya ditumpaskan. Dengan kejayaan menghapuskan ancaman ketenteraan Korea, Raja Sejong beralih mengusahakan bidang yang lebih manusiawi.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Perkembangan Sains & Teknologi

Raja Sejong segera memutuskan keperluan mengadakan saintis residen di istananya. Selepas dua tahun ditabalkan sebagai raja, baginda mewujudkan Majlis Ilmu (Jiphyeonjeon). Majlis Ilmu bertindak sebagai penasihat raja, juga jentera kajian akademik. Kebanyakan ciptaan dan artikel saintifik dari era Raja Sejong dihasilkan oleh para saintis yang dilantik oleh baginda sebagai peneraju Majlis Ilmu.

Raja Sejong meneruskan teknologi percetakan huruf boleh alih yang diwarisi daripada ayahandanya dan mengembangkan kapasitinya menjadi negara Asia Timur yang utama dalam bidang percetakan pada masa itu. Sementara China mengabaikan teknologi baru ini, bangsa Korea Joseon memanfaatkannya dan meningkatkan kelajuan percetakan sebanyak 20 kali ganda sewaktu rekaannya dimuktamadkan pada tahun 1434. Kapasiti percetakan ini membantu Raja Sejong menerbit serta menyebarkan kemajuan sains dan perubatan yang lain ke seluruh ceruk pemerintahannya.

Satu lagi kemajuan teknologi yang ditunjangi oleh Raja Sejong ialah peralatan mengukur kejadian meteorologi. Raja Sejong memantau penciptaan penyukat hujan dan penanda air sebagai cara untuk mengukur dengan tepat dan merekodkan taburan hujan di setiap bahagian berbeza dalam negara. Penciptaan alat mengukur kelajuan dan arah angin menggunakan silinder fabrik menambahkan lagi lapisan data untuk para saintis era Raja Sejong.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Sejong-era Water Clock Replica
Replika Jam Air zaman Raja Sejong
InSapphoWeTrust (CC BY-SA)

Bagi memajukan ilmu astronomi, Raja Sejong menitahkan pembinaan platform pencerap di Istana Gyeongbok yang menyediakan perkakasan canggih untuk kegunaan para saintis. Ciptaan lain pada zaman itu termasuklah jam matahari mudah alih dengan kompas terbina dalam dan jam air yang tepat. Jam air itu dicipta oleh Jang Yeong Sil yang hanya bertaraf marhaen tetapi kreativiti dan kemahiran sainsnya diketahui oleh Raja Sejong. Lalu beliau dibawa ke istana sebagai jurutera yang dibayar untuk mencipta pelbagai peralatan.

Kartografi adalah satu lagi bidang sains yang disokong oleh Raja Sejong. Dengan tanah yang dirampas daripada Jepun dan Mongol oleh nenda dan ayahandanya, juga Peluasan Gihae, peta Korea perlu dikemas kini. Para ahli kartografi Raja Sejong menggunakan pencerapan astronomikal dan mengukur menggunakan pelbagai ciptaan baru untuk melakar peta yang tepat sehingga ke hari ini. Saintis juga memindahkan meridian utama dalam peta mereka ke Seoul, ibu negara Korea, bukannya Beijing ataupun Nanjing yang merupakan ibu negara China pada ketika itu. Ini menjadikan peta Korea lebih tepat berbanding sebelumnya.

Bidang utama terakhir yang dimajukan di bawah pemerintahan Raja Sejong ialah pertanian. Raja Sejong menitahkan para saintis untuk menghasilkan sebuah kitab pertanian iaitu Nongsa Jikseol. Kitab ini mengandungi penerangan material dan amalan terbaik dari seluruh wilayah Korea. Raja Sejong berhasrat membantu bangsanya mempelajari kaedah terbaik untuk memakmurkan hasil pertanian. Baginda malah meminda cukai ke atas para petani supaya mereka membayar lebih rendah pada tahun tanaman tidak menjadi. Ini membolehkan mereka fokus pada kerja-kerja membekalkan bahan makanan kepada negara.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Perkembangan Sosial

Raja Sejong memerintah dan menggubal undang-undang mengikut gagasan Confucius.

Dalam memperbaharui sistem cukai petani, (Gongbeop), Raja Sejong menggerakkan para pembantu dan menterinya ke seluruh Korea bagi mendapatkan pandangan rakyat tentang sistem baru itu sebelum dilaksanakan. Proses membuat survei dan berdebat dengan para menteri kanan ini memakan masa selama 17 tahun. Selepas rakyat dan menteri bersetuju bahawa sistem cukai baru yang progresif itu lebih baik berbanding sistem Jo-Yong-Jo yang digunakan 400 tahun sebelumnya oleh Dinasti Goryeo, akhirnya Raja Sejong melaksanakan pembaharuan itu. Survei dan debat yang berulang-ulang sebelum melaksanakan sistem cukai baru ini menunjukkan betapa Raja Sejong amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan menginginkan Korea yang lebih baik.

Pembaharuan cukai itu menggambarkan bahawa Raja Sejong memerintah dan menggubal undang-undang mengikut gagasan Confucius. Baginda percaya bahawa undang-undang perlu sesuai dengan kemampuan dan kepercayaan rakyat, dan tidak boleh dipinda ataupun dihapuskan tanpa didebatkan.

Perkembangan Perubatan

Pada mulanya, Raja Sejong menggunakan isu-isu dalam sistem perubatan Korea yang disediakan oleh ayahandanya. Kemudian baginda membangunkan pengajian perubatan dan penyebaran khidmat kesihatan kepada seluruh rakyat. Perubahan pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menyusun semula sistem kesihatan Korea. Baginda memperkenalkan jabatan-jabatan berbeza yang fokus pada satu kelas sahaja, berlainan daripada sistem lama yang bertugas menjaga kesemua kelas. Satu jabatan untuk penjagaan kesihatan keluarga diraja, satu untuk pegawai-pegawai tinggi, satu lagi untuk pegawai-pegawai lain. Rakyat biasa pula menerima khidmat kesihatan daripada jabatan setempat.

Sistem kesihatan yang diperbaharui ini mewakili sistem birokratik era Joseon, dengan raja dan kerabat diraja pada kedudukan tertinggi, diikuti oleh para penasihat dan menteri, kemudian para pegawai. Raja Sejong juga lebih menekankan tentang pembekalan ubat kepada rakyat berbanding raja-raja sebelumnya, dan menjadikan kesihatan lebih mampu dimiliki melalui program-program yang menggunakan ramuan tempatan sebagai sumber perubatan supaya kos membuat ubat dapat dikurangkan.

Raja Sejong juga mengubah suai kaedah latihan dan kajian perubatan. Baginda mengumpulkan cendekiawan yang dipilih daripada mereka yang lulus peperiksaan penjawat awam (Gwageo), khusus untuk mempelajari teks perubatan China. Pada 1433, Raja Sejong dan Majlis Ilmu menerbitkan Hyangyak Jipseongbang, manuskrip yang mengumpulkan semua ilmu perubatan Korea dengan penekanan terhadap ramuan tempatan berserta ilmu tentang kemampuan ramuan-ramuan berkenaan. Ini adalah gerakan memperkasakan ubat-ubatan asli Korea sebagai menentang pengimportan ubat-ubatan tradisional China. Pada 1445, sebuah ensiklopedia tentang ilmu perubatan dan resipi ubat-ubatan iaitu Uibang Yuchwi diterbitkan.

Hangul - Abjad Korea

Dalam begitu banyak ciptaan dan kemajuan, legasi terbesar Raja Sejong ialah penciptaan dan pengenalan abjad asli Bahasa Korea iaitu Hangul (dipanggil Chosongul di Korea Utara yang bermaksud "Tulisan Korea"). Para sejarahwan kurang pasti waktu sebenar Raja Sejong mula membangunkan abjad ini, namun baginda memuktamadkannya pada 1443 dan menerbitkannya pada 1446 dengan nama Hunmin Jeongeum.

legasi terbesar Raja Sejong ialah penciptaan dan pengenalan abjad asli Bahasa Korea iaitu Hangul.

Sebelum kewujudan Hangul, Bahasa Korea ditulis menggunakan karakter Cina Klasik yang diringkaskan, dengan catatan untuk mengenali perbezaan dua bahasa (Korea dan Cina, walaupun kedua-duanya bahasa Asia Timur, namun tidak berkaitan antara satu sama lain). Ini bermakna, hanya golongan yang mampu mendapatkan pendidikan iaitu para pemerintah dan bangsawan yang boleh membaca dan menulis. Raja Sejong mahu mengubah keadaan ini supaya rakyat paling miskin pun mampu belajar membaca dan menulis dalam beberapa hari sahaja, namun ditentang keras oleh golongan elitis.

Hangul ialah siri abjad yang mengandungi 28 (sekarang 24) huruf mewakili sama ada konsonan ataupun vokal. Raja Sejong mencipta konsonan dengan cara meniru kedudukan mulut dan lidah apabila menyebut sesuatu huruf, menjadikannya mudah untuk bangsa Korea belajar membaca dan menulis menggunakan Hangul. Bagi membentuk perkataan, huruf-huruf disusun dalam blok suku kata. Setiap blok suku kata boleh mengandungi dua hingga empat huruf.

Sebagai contoh, nama Sejong mempunyai dua suku kata; "Se" dan "jong". Huruf untuk nama baginda mengikut susunan ejaan ialah : ㅅ (s), ㅔ (e), ㅊ (j), ㅗ (o), ㅇ (ng, dikira sebagai satu huruf dalam Bahasa Korea). Maka, suku kata pertama bagi nama baginda ialah 세, dan suku kata kedua ialah 총. Apabila digabungkan, nama baginda ditulis dengan Hangul ialah 세총 (Sejong).

Hunmin Jeongeum
Hunmin Jeongeum
Jeremy Thompson (CC BY)

Hangul yang amat mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja, menjadikan para menteri kanan dan penasihat berasa takut. Kemampuan rakyat marhaen membaca dan menulis dirasakan akan mengancam kedudukan keluarga mereka di istana kerana jumlah kakitangan kerajaan yang berkelayakan akan bertambah. Selepas kemangkatan Raja Sejong, golongan elitis menyekat penggunaan Hangul. Bagaimanapun, ia tetap hidup melalui penulisan fiksyen, dan para wanita yang berkhidmat di istana menggunakannya untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga mereka di rumah semasa bercuti.

Selepas diharamkan oleh penjajahan Jepun pada awal 1900-an, kebanyakan penduduk Korea mengangkat abjad itu sebagai simbol kemerdekaan dan nasionalisme. Selepas merdeka daripada Jepun pada 1946, negara itu menerima dan menggunakan Hangul sebagai aksara rasmi Bahasa Korea, 500 tahun selepas kali pertama ia diterbitkan.

Legasi

Raja Sejong mangkat pada tahun 1450, selepas memerintah selama 32 tahun. Pemerintahannya menjadi saksi kepada kemajuan sains dan teknologi yang tiada tandingan, serta satu tempoh kestabilan politik. Raja Sejong dikenang sebagai salah seorang pemimpin paling penting dalam sejarah Korea di bawah pemerintahan Dinasti Joseon dari 1392 hingga 1897. Pencapaian baginda yang paling hebat ialah penciptaan Hangul, abjad Korea. Namun, naungan baginda dalam bidang sains, teknologi, sastera, dan perubatan ternyata memberi impak besar kepada negara dan bangsa Korea. Begitu hebat pengaruh baginda, sehingga pusat pentadbiran Korea Selatan yang baru dinamakan Bandar Sejong.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Daftar Pustaka

Ensiklopedia Sejarah Dunia adalah Associate Amazon dan memperoleh komisen untuk pembelian buku yang layak.

Darihal Penterjemah

Azzah Abdul Rahman
Azzah Abdul Rahman @ Azzah AR adalah penulis, penterjemah, dan editor bebas dari Malaysia yang mula meminati sejarah dunia sejak aktif mengembara.

Darihal Penulis

Ben Griffis
Saya ahli statistik yang menetap di Virginia Utara. Saya mempelajari Pengurusan Rantaian Bekalan dan Linguistik di Michigan State University sebelum menyambung pengajian PhD di Iowa State University. Hasil penyelidikan saya telah diterbitkan dalam jurnal logistik yang terkemuka.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Griffis, B. (2021, January 18). Raja Sejong Yang Agung [Sejong the Great]. (A. A. Rahman, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16389/raja-sejong-yang-agung/

Gaya Chicago

Griffis, Ben. "Raja Sejong Yang Agung." Diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai January 18, 2021. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16389/raja-sejong-yang-agung/.

Gaya MLA

Griffis, Ben. "Raja Sejong Yang Agung." Diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 18 Jan 2021. Web. 19 Apr 2024.