Tamadun Tairona

Inti Sari

Prapti Panda
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 05 December 2016
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa-bahasa lain: Bahasa Inggeris
Tairona Pendant (by Jastrow, Public Domain)
Loket Tairona
Jastrow (Public Domain)

Tamadun Tairona – salah satu suku penutur bahasa Chibcha – berkembang pesat di bahagian utara Colombia pada tahun 200 hingga 1600 M. Sama seperti Muisca dan Cundinamarca, Tairona dikenali menerusi kemahiran mereka dalam bidang pembuatan dan penempaan logam, terutama penempaan emas. Mereka secara umumnya menghuni wilayah Sierra Nevada de Santa Marta di Magdalena moden, dan meninggalkan banyak bukti arkeologi yang memberikan gambaran terhadap gaya hidup mereka. Agak mengejutkan, gaya hidup mereka agak maju walaupun kedudukannya agar terpinggir jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun lain yang lebih membangun.

Tinjauan Sejarah

Tidak hanya mahir dalam sektor penempaan logam, tamadun Tairona juga menguasai sektor pertanian dengan baik. Penemuan-penemuan arkeologi seawal 200 M mendapati bahawa mereka mempunyai kepakaran dalam pertanian teres, pembinaan terusan dan pembinaan tapak-tapak asas daripada batu. Namun, kemasyhuran mereka tidaklah disumbangkan oleh faktor-faktor ini. Sebaliknya, mereka lebih dikenang sebagai suku yang gagah dalam medan tempur di mana hal ini menjadikan mereka sebagai salah satu suku yang paling sukar ditundukkan oleh conquistador Sepanyol yang sebelum itu telah pun berjaya menggulingkan empayar Inca, Aztec dan Maya tanpa menghadapi banyak kesukaran. Peperangan antara Tairona dan conquistador berlangsung selama lebih 75 tahun.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Justeru tidaklah mengejutkan apabila ramai tentera Sepanyol yang mengagumi tamadun tersebut dan mencatatkan perihal suku yang gagah lagi misteri ini. Ramai penghikayat yang mencatatkan tentang gaya hidup masyarakat Tairona, sistem perdagangan mereka, kepercayaan agama dan kekurangan minat mereka terhadap nilai wang ringgit pada barangan logam berharga. Oleh hal yang demikian, tidaklah begitu mengejutkan jika Tairona dipercayai mempunyai kaitan dengan suku Muisca, kerana kedua-dua tamadun ini berkongsi sistem pembahagian kuasa dan idea signifikasi spiritual emas yang sama.

Tapak-Tapak Penting

Masyarakat Tairona terpaksa meninggalkan petempatan mereka sekitar pertengahan kurun ke-17 M, dan hutan belantara menyelimuti hampir kesemua kesan tinggalan mereka. Apapun, sebahagian daripadanya masih kekal bagi memperingati kebudayaan mereka yang mengagumkan.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Pre-Columbian Tribes of Northern South America
Puak-puak Pra-Columbia Amerika Selatan Utara
Cookie (GNU FDL)

Salah satu petempatan mereka yang paling masyhur ialah Ciudad Perdida (Kota Yang Hilang). Dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Teyuna, petempatan ini ditubuhkan pada sekitar 800 M, iaitu 600 tahun sebelum Machu Picchu dibangunkan. Ia merupakan salah sebuah tapak arkeologi pra-Columbia yang paling penting di Amerika Selatan. Petempatan ini boleh diakses melalui sebuah trek panjang di sepanjang dedaunan hutan tebal dan melibatkan kira-kira 1200 buah anak tangga. Menurut anggaran, Ciudad Perdia berupaya menampung penduduk seramai 2000 hingga 8000 orang. Sehingga kini, usaha ekskavasi yang dilakukan baru sekadar meliputi sebahagian kecil daripada keseluruhan kota agung ini. Hasil penemuan setakat ini cukup mengagumkan; kira-kira 250 buah teres lumpur dan batu dijumpai, di mana ia berfungsi sebagai platform perumahan dan meliputi kawasan seluas 300 000 meter persegi di tanah yang ditumbuhi tumbuhan tebal. Ekskavasi-ekskavasi yang lebih terkini turut menemukan sejumlah barangan menarik; perhiasan, emas, tembikar, dan bahkan alat musik.

Sebuah lagi tapak lain bagi tamadun ini, iaitu Pueblito, terletak berhampiran pantai Carribean. Menurut hasil penyelidikan yang telah dijalankan, tapak tersebut mengandungi setidak-tidaknya 254 buah teres dan menampung populasi kira-kira 3000 orang. Pada masa dahulu, terdapat sejumlah kampung dan dusun di sepanjang lembah, seterusnya membentuk rangkaian hubungan yang cukup besar sekaligus meningkatkan aktiviti perdagangan dan aktiviti-aktiviti lain. Hakikatnya, Tairona bahkan terlibat dalam sektor penghasilan garam, sebagaimana yang didapati di Chengue, sebuah kampung nelayan kecil.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Masyarakat

Kepercayaan masyarakat Tairona bahawa dukun boleh keluar daripada tubuh & dan meraih pengetahuan daripada makhluk-makhluk inilah yang mengilhami mereka kemahiran menempa logam seperti patung 'Bat Man' yang masyhur.

Tairona mempunyai sistem pemerintahan yang berteraskan agama. Para pemerintah mereka merupakan sebahagian daripada elit shaman yang kononnya berupaya mengawal semangat alam, kosmos dan segala fikiran serta tindakan manusia. Salah satu kepercayaan utama masyarakat Tairona adalah proses transformasi. Proses ini melibatkan satu pertukaran kuasa perdukunan yang agak tipikal. Dengan mengosongkan minda dan tubuh, tempoh puasa yang panjang, dan ritual tarian yang memenatkan, mereka percaya bahawa jiwa seorang dukun boleh mencapai tahap yang melangkaui tahap manusia biasa sekaligus meraih pengetahuan dari alam ghaib serta dari kosmos yang tidak boleh dimasuki oleh orang awam. Justeru, shaman atau dukun dianggap sebagai ketua suku dan dilayan dengan penuh penghormatan. Dukun ini bertanggungjawab menghimpunkan tentera, mengatur aktiviti pertanian, memantau kebajikan masyarakat, dan bahkan menyelia rangkaian perdagangan barter. Masyarakat Tairona juga percaya bahawa seseorang dukun boleh keluar dari tubuh mereka dan memperoleh pengetahuan daripada makhluk-makhluk lain. Menerusi kaedah inilah mereka meraih ilham dan kemahiran menempa logam. Kebanyakan patung perhiasan yang ditemui di kawasan petempatan mereka dipercayai sebagai manusia yang berubah menjadi haiwan liar, sepertimana yang berlaku pada patung 'Bat Man' yang masyhur, di mana ia menggambarkan seorang dukun berubah perlahan-lahan menjadi kelawar.

Agama & Seni

Sama seperti kebanyakan suku yang berkembang maju pada zaman itu, kepercayaan anutan masyarakat Tairona banyak mempengaruhi hasil seni dan tempaan logam mereka. Persis 'Bat Man', kebanyakan loket dan pelekap dada mereka memerincikan imej manusia yang berubah menjadi makhluk menakutkan, terutama burung pemangsa, buaya, dan ular. Perhiasan-perhiasan ini bukan sahaja mewakili status si pemakai, namun ia turut menjadi simbol kuasa yang dimilikinya.

Tumbaga Bells of the Tairona Civilization
Bells Tumbaga Tamadun Tairona
MetMuseum (Copyright)

Transformasi adalah satu konsep yang dipercayai oleh seluruh suku penutur bahasa Chibcha pada masa itu, dan mereka berusaha seupaya mungkin untuk melaksanakannya. Memandangkan kelawar dianggap sebagai salah satu haiwan yang paling berkuasa pada masa itu, masyarakat Tairona berusaha seupaya mungkin untuk menyerupainya. Lantaran itu, kostum yang dipakai sebagai simbol terhadap transformasi ini dapat ditemui di makam-makam orang kehormat dari zaman Tairona. Para penyelidik di Banco de la Republica, Colombia berkata, “Perhiasan pada pelindung logam mereka adalah kiasan kepada membran di dalam telinga kelawar; cincin hidung silinder berfungsi mengangkat hidung untuk membuatkannya kelihatan seperti lubang hidung spesis kelawar tertentu, dan perhiasan sub-bibir pula cuba memiripi daging bibir bawah haiwan tersebut.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Tidak seperti yang cenderung dipercayai oleh kebanyakan pihak, Colombia purba bukanlah semata-mata sebuah hab penghasilan barangan emas. Akan tetapi, ia turut masyhur dengan barangan seramik. Barang-barang seramik terawal yang ditemui di kawasan penghunian masyarakat Tairona dianggarkan berusia sekitar 2500 SM, walaupun mereka dipercayai hanya berkembang pesat setelah 200 M. Satu lagi kesamaan antara tamadun Tairona dan tamadun Muisca terletak pada kemiripan hasil seni emas mereka. Kedua-dua suku penutur bahasa Chibcha ini mempunyai kepelbagaian barang sembah korban buat dewa-dewi yang relatif sama dan bahkan mereka juga mempunyai jenis-jenis tunjos yang sama. Tunjos adalah patung-patung yang diperbuat daripada tumbaga, iaitu campuran antara emas, tembaga dan perak. Patung-patung ini secara umum menggambarkan masyarakat yang menjalani kehidupan seharian. Aspek menarik dalam tamadun Tairona yang lain adalah masyarakatnya mempunyai kebebasan untuk bercerai. Malah, amalan keagamaan mereka amat mirip dengan suku Kogui di zaman moden, dan ianya berlangsung selama berhari-hari dengan melibatkan perkumpulan, upacara mengunyah coca, dan bermeditasi secara khusyuk.

Sisihkan Iklan

Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Prapti Panda
Prapti is currently a student of history and archaeology. Her interests lie in the Stone Age industries of Central India and associated rock art, and she has also previously explored a few pre-Hispanic cultures of South America.

Cite Kerja Ini

Gaya APA

Panda, P. (2016, December 05). Tamadun Tairona [Tairona Civilization]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diambil dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/

Gaya Chicago

Panda, Prapti. "Tamadun Tairona." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai December 05, 2016. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/.

Gaya MLA

Panda, Prapti. "Tamadun Tairona." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 05 Dec 2016. Web. 26 Jun 2022.