Alaric

Inti Sari

Donald L. Wasson
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 04 September 2014
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Alaric Entering Athens (by Unknown, Public Domain)
Alaric Memasuki Athens
Unknown (Public Domain)

Alaric I (memerintah 393-41M) merupakan seorang komander tentera Goth yang sinonim dengan peristiwa penjarahan Rome pada tahun 410 Masehi, di mana ia adalah kali pertama kota tersebut dijarah dalam tempoh 800 tahun. Walaupun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang latar belakang keluarga Alaric, sejarahwan maklum tentang kedudukannya sebagai pembesar suku Tervingi dan Greuthungi (masing-masing nantinya dikenali sebagai Visigoth dan Ostrogoth). Alaric bertanggungjawab memimpin pasukan Goth menggempur Balkan hingga ke Itali, lalu menjarah ibu kota Rome dan seterusnya berpindah jauh ke selatan, sebelum beliau sendiri meninggal dunia tidak lama kemudian iaitu pada tahun 410 M. Susulan kematian Alaric, kepimpinan Goth diambil-alih oleh iparnya yang bernama Athaulf, di mana beliau bertanggungjawab membawa mereka memasuki Gaul.

Alaric Memperoleh Kuasa

Berkurun-kurun lamanya, warga Rome menjalani kehidupan yang selesa di balik tembok kota. Empayar membangun dengan makmur, sambil pasukan tentera Rom di bawah pimpinan komander-komander yang cekap pula dengan tuntas berjaya mengawal dan mengusir suku-suku gasar dari menghampiri gerbang kota. Cuma malangnya, kegemilangan Rome kian merudum khususnya apabila empayar dibahagikan kepada dua oleh Diocletian sekaligus pusat pemerintahan secara bertahap tetapi pasti dipindahkan ke Konstantinopel dan dipegang oleh maharaja yang menetap di sana. Perubahan ekonomi dan kuasa politik ini menjejaskan kekuatan Rome dan membuatkan kota itu terdedah kepada ancaman bahaya. Situasi ini dimanfaatkan oleh seorang bekas komander Rom yang pada kemuncaknya, bertindak menjarah kota tersebut. Nama individu itu tidak lain dan tidak bukan adalah Alaric.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Walaupun beliau disifatkan sebagai seorang gasar, Alaric pada hakikatnya adalah seorang penganut Kristian yang menerima latihan ketenteraan dari Rom. Beliau pernah menggalas tanggungjawab mengetuai pasukan Goth dan berjuang bagi pihak Rom dalam Pertempuran Sungai Frigidus pada tahun 394 M, iaitu sebuah pertembungan antara maharaja timur Theodosius I dan maharaja barat Eugenius. Tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 395 M, Maharaja Theodosius mangkat sebagai maharaja terakhir yang menyatukan dan memerintah empayar Rom timur dan barat. Kemangkatan beliau ini mengakibatkan Empayar Rom sekali lagi berpecah. Seteru (yang kemudian menjadi sekutu) Alaric, iaitu Flavius Stilico (359-408 M) ditabalkan sebagai pemangku (atau setidaknya didakwa memangku) pemerintahan dua orang putera maharaja, iaitu Arcadius dan Honorius (395-423 M). Arcadius diangkat sebagai maharaja di timur (mangkat pada 408 M), manakala Honorius pula menaiki takhta di barat.

Alaric & Stilicho

Sebaik sahaja Gerbang Salarian dibuka oleh seorang pensimpati yang tidak dikenali namanya, maka segerombolan 'gasar' yang diketuai oleh Alaric pun memasuki Rome, dan lantas bermulalah penjarahan selama tiga hari suntuk.

Stilicho, yang menyandang jawatan sebagai magister militum atau komander-tertinggi (dan merupakan anak kepada wanita berwarga Rom dan bapa berwarga Vandal) kemudiannya bercakaran dengan Alaric. Konflik ini tercetus akibat sebuah perjanjian yang ditandatangani pada tahun 382 M antara Rom dan Goth selepas berlakunya Perang Goth. Perjanjian ini membenarkan Goth menetap di Balkan, namun hanya sebagai sekutu dan bukannya warganegara. Perjanjian ini malahan menuntut mereka untuk berkhidmat dalam pasukan tentera Rom. Sebagaimana yang dijangka, kekhuatiran Goth terhadap persyaratan tersebut bukanlah sesuatu yang tidak berasas dan ia terbukti dengan jelas di Frigidus; di mana mereka diletakkan di barisan hadapan sebagai "kambing korban" bagi melindungi legion-legion Rom.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sementara itu, Alaric menjangkakan bahawa pentadbiran Rom di barat masih stabil dan mampu memelihara kebajikan rakyat jelatanya buat tempoh masa yang lama. Dalam cubaan untuk menggesa supaya perjanjian tersebut ditulis semula, Alaric dan pasukannya mengambil kesempatan di atas pertegangan yang semakin meruncing antara barat dan timur, lalu menjarah kota-kota di Balkan hingga ke Greece, sebelum kemudiannya menyerang Itali pada tahun 402 M. Beliau tidak hanya menuntut agar saudara sesukunya dibekalkan dengan makanan yang cukup, tetapi juga supaya mereka diperakui sebagai warga Rom. Beliau turut meminta jawatan sebagai magister militum. Walau bagaimanapun, kesemua tuntutan itu ditolak oleh Stilicho. Alaric kemudian dipaksa berundur di Verona, namun usaha untuk berkompromi terus dilanjutkan pada tahun 406 M. Melalui pegawai perantara yang bernama Jovius, Stilicho mendengar permintaan Alaric yang menuntut pemilikan hak secara rasmi ke atas tanah mereka di samping bayaran emas dan bijirin secara tahunan. Sebagai balasan, Alaric akan membantu Stilicho menyerang empayar timur; dengan timur dikuasai oleh Arcadius, Stilicho menumpukan dominasinya di barat (beliau bahkan telah mengahwinkan puterinya dengan Maharaja Honorius) dan dengan bantuan Alaric, tentunya kempen serangan ke atas timur dan penggulingan Arcadius akan dapat berjalan dengan lebih lancar.

Head of Emperor Arcadius
Ketua Maharaja Arcadius
Osama Shukir Muhammed Amin (Copyright)

Walau bagaimanapun, persepakatan ini tidak pernah direalisasikan. Alaric berdiam dengan sabar, menantikan Stilicho untuk menyertai pasukannya. Namun, pergerakan Stilicho tergendala dek terpaksa menangani masalah-masalah yang melanda barat: raja Gothic yang bernama Radagaius menyerang Itali; suku Vandal, Alan, dan Survi menyerang Gaul; dan bakal maharaja Constantine III (dianggap sebagai seteru dalam perebutan takhta) memenangi peperangan di Britain. Kesemua dugaan ini secara efektif menyusutkan perbendaharaan empayar sekaligus memustahilkan beliau untuk melunaskan perjanjiannya dengan Alaric. Kesabaran Alaric kian luntur, dan tuntutan bayaran sebanyak 4,000 paun emas (sebagai ganti rugi atas penantian panjangnya) tidak diendahkan oleh Stilicho. Rentetan itu, beliau pun perlahan-lahan membawa pasukan tenteranya ke Itali. Walaupun sebenarnya tuntutan tersebut mahu dipenuhi oleh Stilicho, keputusan itu tidak dipersetujui oleh Senat Rom yang diketuai oleh Olympius. Senat bahkan menganggap tindakan Alaric itu sebagai satu bentuk pengisytiharan perang terhadap mereka.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Kemudian, dek gesaan Olympius, maharaja pun menitahkan supaya serangan dilakukan ke atas timur. Pada mulanya, maharaja sendiri yang mahu mengetuai kempen tersebut. Namun, Stilicho berkeras melarangnya dan mengusulkan supaya pasukan tentera dipimpin oleh beliau sendiri. Sambil Stilicho berada jauh di perbatasan, Honorius dan Olympius mengunjungi Ticinum, sebuah kota yang terletak betul-betul di selatan Milan, kononnya bertujuan untuk memantau keadaan pasukan tentera di sana; namun tanpa pengetahuan dan izin maharaja, Olympius mengarahkan supaya ribuan warga Goth yang ketika itu bersekutu dengan mereka dibunuh –tindakan ini menyalakan lagi api kemarahan Alaric. Antara mangsa terakhir peristiwa hitam tersebut adalah Stilicho sendiri, yang dituduh berkomplot dengan Alaric. Susulan daripada itu, lebih 10, 000 orang tentera Rom berpaling tadah dan menyertai pasukan Alaric. Pada tahun 408 M, pasukan tentera Goth menjarah kota Aquilea, Concordia, Altinum, Cremona, Bononia, Ariminum, dan Picemum. Mereka juga sengaja membiarkan Ravenna, ibu kota empayar barat merangkap kediaman Maharaja Honorius, tidak berusik dan sebaliknya, kota Rome yang dijadikan sebagai sasaran oleh Alaric. Beliau mengepung kesemua 13 buah gerbang kota Rome dan mencantas laluan masuk melalui Sungai Tiber sehingga memaksa seluruh warga Rome untuk mencatu bekalan; dalam tempoh beberapa minggu sahaja, Rome dipenuhi dengan mayat-mayat warganya yang bergelimpangan.

Alaric & Penjarahan Rome

Tatkala pasukan demi pasukan tambahan menyertai pihak Alaric, Maharaja Honorius hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa untuk melindungi kota Rome dan memerangi Alaric. Pada kaca matanya, Goth masih dilihat sebagai bangsa gasar dan bukan tandingan pasukan tenteranya yang dianggap elit. Perbendaharaan diraja ketika itu hampir kosong, namun Senat akur terhadap permintaan Alaric lalu menghantar gerabak-gerabak yang mengangkut dua tan emas, 13 tan perak, 40,00 tunik sutera, 3,000 bulu biri-biri, dan 3,000 paun lada hitam. Rentetan itu, Alaric pun meringankan sedikit kepungan ke atas Rome dengan harapan dapat mengadakan rundingan lanjut. Namun, Honorius tetap mengentengkan keseriusan situasi ketika itu. Sambil kononnya menunjukkan persetujuan terhadap tuntutan Alaric, beliau menghantar 6,000 orang tentera bagi menyerang pasukan Goth. Namun dengan mudah, ia dtewaskan oleh ipar Alaric yang bernama Athaulf.

Sack of Rome by the Visigoths
Karung Rom oleh Visigoth
JN Sylvestre (Public Domain)

Lantaran menyedari bahawa pintu rundingan sudah tertutup terutama selepas berlakunya serangan daripada Sarus si komander Rom, Alaric kembali menumpukan perhatian terhadap gerbang-gerbang Rome. Beliau mencuba segala cara supaya suaranya dapat didengari tanpa perlu membasahkan mata pedang. Misalnya, beliau cuba mencalonkan seorang senator yang budiman, bernama Attalus supaya ditabalkan sebagai maharaja baru, namun tidak berjaya. Beliau bahkan mengambil adik Honorius, iaitu Galla Placidia sebagai tawanan, namun tetap tidak membuahkan hasil. Beliau juga menawarkan persekutuan dengan syarat dibayar emas dan bijirin secara tahunan serta diberikan wilayah Venetia, Noricum, dan Dalmatia, namun ia ditolak. Alaric tidak lagi mempunyai banyak pilihan, justeru pada tanggal 24 Ogos 410 M, beliau bersiap siaga untuk memasuki kota Rome. Sejak 390 SM, Rome tidak pernah dijarah. Kali ini, tragedi tersebut bermula apabila seorang pensimpati yang tidak dikenali namanya bertindak membuka Gerbang Salarian sekaligus mengundang gempuran sepasukan 'gasar' yang lantas menjarah kota itu selama tiga hari suntuk. Rumah-rumah bangsawan dibakar, bangunan-bangunan awam dihancurkan, dan kuil-kuil pagan dimusnahkan. Namun, gereja St. Peter dan St. Paul dibiarkan tidak berusik. Ketika berita penjarahan Rome sampai ke pengetahuan Honorius, beliau langsung berasa khuatir – bukan kerana kecintaannya terhadap kota itu, namun kerana beliau menyangka ayam jantannya yang bernama Rome telah mati dibunuh.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Alaric kemudian meninggalkan kota Rome dan berhasrat untuk berangkat ke Sicily dan seterusnya ke Afrika. Malangnya, beliau tidak sempat memenuhi impiannya itu lantaran mangkat tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 410 M. Kepimpinan tentera diambil-alih oleh Athaulf yang membawa Goth memasuki Gaul. Sepanjang hayatnya, Alaric berusaha untuk mendapatkan tanah untuk didiami oleh saudara sesukunya: penjarahan kota Rome merupakan pilihan dan cubaan beliau yang terakhir. Setelah dijarah, kota itu tidak pernah lagi bangkit. Menurut penganut pagan, tragedi yang menimpa Rome itu dianggap sebagai bala kerana meninggalkan agama lama dan memeluk agama Kristian. Pihak lain pula memandang kejadian tersebut sebagai tanda berakhirnya hegemoni Rome – khususnya apabila pusat pemerintahan empayar berpindah ke Konstantinopel. Pada tahun 476 M, iaitu 66 tahun sesudah kematian Alaric, kota Rome tumbang di tangan Odoacer sekaligus memuktamadkan kejatuhan Empayar Rom Barat.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Donald L. Wasson
Donald has taught Ancient, Medieval and U.S. History at Lincoln College (Normal, Illinois)and has always been and will always be a student of history, ever since learning about Alexander the Great. He is eager to pass knowledge on to his students.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Wasson, D. L. (2014, September 04). Alaric [Alaric]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-13229/alaric/

Gaya Chicago

Wasson, Donald L.. "Alaric." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai September 04, 2014. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-13229/alaric/.

Gaya MLA

Wasson, Donald L.. "Alaric." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 04 Sep 2014. Web. 14 Nov 2024.