Antioch

Inti Sari

Donald L. Wasson
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 22 February 2013
X

Teks asal dalam Bahasa Inggeris: Antioch

Temple of Zeus Chrysaoreus, Caria (by Carole Raddato, CC BY-SA)
Kuil Zeus Chrysaoreus, Caria
Carole Raddato (CC BY-SA)

Antioch atau Antiochia (Antakya) merupakan sebuah kota purba yang terletak di Sungai Orontes, berhampiran Pergunungan Amanus di Syria. “Wilayah empat kota” – iaitu Seleucia, Apamea, Laodicea, dan Antiochia – ditubuhkan oleh Seleucus I Nicator (Victor) pada 301 hingga 299 SM. Sebahagian pihak mengaitkan penubuhan awal kota Antioch, iaitu Antigoniea, kepada Antigonus I si Mata-Satu. Beliau kehilangan kota tersebut selepas tewas kepada Seleucus dalam Pertempuran Ipsus pada tahun 301 SM. Menurut sejumlah sumber purba, Seleucus dianggap sebagai salah seorang pengganti bagi empayar yang ditubuhkan oleh Alexander Agung. Sebagai antara orang yang berada dalam lingkungan rapat Alexander, Seleucus turut berkhidmat sebagai salah seorang komander hypaspist, iaitu pasukan pengawal peribadi Alexander yang kebiasaannya mengambil posisi di antara unit kavalri dan infantri. Walaupun sejarah tidak banyak memerihalkan tentang Seleucus dan hubungannya dengan Alexander, beliau dan keturunannya menguasai sebuah empayar yang turut merangkumi Antioch selama hampir 250 tahun.

Peperangan Sesama Pewaris

Selepas kemangkatan Alexander pada tahun 323 SM, empayar beliau berhadapan dengan krisis keruntuhan. Lantaran Alexander tidak menamakan penggantinya, salah seorang panglima beliau yang bernama Perdiccas berhasrat menangguhkan sebarang keputusan berkenaan hal tersebut sehinggalah putera Alexander dan Roxanne selamat dilahirkan. Bagaimanapun, panglima lain yang bernama Ptolemy I menginginkan supaya empayar tinggalan Alexander dibahagikan dengan segera (di mana beliau sendiri menyasarkan wilayah Mesir) – lantaran itu, Perang Diadochi pun meletus dan berpanjangan sehingga tiga dekad lamanya. Dalam perjalanannya ke Macedonia, Ptolemy merampas jasad Alexander dan membawanya ke Iskandariah. Namun, beliau diserang oleh Perdiccas di Mesir. Seleucus yang pada mulanya berpihak kepada Perdiccas mula berpaling-tadah dan menyertai Ptolemy. Selepas pasukan Perdiccas dikalahkan dan beliau sendiri terbunuh, Seleucus dikurniakan wilayah di sekitar Babylon, iaitu kawasan di timur Syria.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Kota Antioch terus mengekalkan kedudukannya sebagai ibu kota sehingga ke zaman Empayar Rom.

Bagaimanapun, Seleucus tidak berupaya mengekalkan kekuasaannya dan terpaksa meminta bantuan Ptolemy semasa beliau diserang oleh seterunya, Antigonus. Pada tahun 312 SM, Antigonus akhirnya ditewaskan oleh Seleucus dalam Pertempuran Gaza dan wilayah lamanya berhasil direbut semula. Selepas berlakunya Pertempuran Ipsus, beliau berjaya membuktikan diri sebagai seorang komander yang cekap dengan meluaskan empayarnya ke Syria, Asia Kecil, dan India. Pada tahun 281 SM, beliau mati dibunuh dan puteranya, Antiochus I (281-261 SM) dihadapkan dengan pemberontakan demi pemberontakan. Untuk mengekalkan keamanan, beliau bahkan terpaksa melepaskan beberapa buah wilayah. Malangnya, Perang Syria Kedua yang melibatkan Dinasti Seleucid dan Dinasti Ptolemaik tidak dapat dihindarkan dan kemelut ini terpaksa dihadapi oleh puteranya, Antiochus II (261-247 SM).

Untuk memelihara keamanan, Antiochus II bersetuju untuk menceraikan dan mengusir isterinya, Laodice dan anak-anak mereka, lalu mengahwini puteri Ptolemy II yang bernama Berenice Syra. Setelah kematian Antiochus II, Berenice dan Laodice saling bertelagah dalam usaha mengangkat putera masing-masing sebagai pewaris takhta. Berenice yang meraih sokongan warga Antioch kemudian meminta bantuan saudaranya, Ptolemy III yang baru sahaja ditabalkan sebagai raja Mesir. Maka, Ptolemy III pun memberangkatkan pasukannya ke Antioch hanya untuk mendapati Berenice dan puteranya telah pun mati dibunuh. Dengan demikian, tercetuslah Perang Syria Ketiga atau Perang Laodicea. Peperangan ini berakhir dengan kota pelabuhan Antioch, iaitu Seleucia, dikuasai oleh Ptolemy. Namun, Seleucus II (putera Antiochus dan Laodice) berjaya mewarisi takhta dan mengekalkan kekuasaan ke atas Antioch, yang dijadikan sebagai ibu kota baru bagi empayarnya.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Mosaic of the Judgement of Paris
Mosaic Penghakiman Paris
Carole Raddato (CC BY-SA)

Antioch Pada Zaman Rom

Kota Antioch terus mengekalkan kedudukannya sebagai ibu kota sehingga ke zaman Empayar Rom. Disebabkan lokasinya yang terletak di laluan-laluan perdagangan utama (khususnya perdagangan rempah-ratus), kota Antioch dan seluruh warganya memainkan peranan sebagai pusat strategi, ekonomi, dan intelektual bagi Empayar Seleucid dan juga Empayar Rom. Kedudukan kota Antioch dalam Empayar Rom bahkan kadangkala dibandingkan dengan kota Iskandariah di Mesir.

Berikutan diperintah oleh beberapa orang raja yang kurang cekap, Pompey pun menjadikan Antioch dan kawasan sekitarnya sebagai wilayah Rom pada tahun 64 SM. Sama seperti kota-kota Rom yang lain, Antioch meraih banyak keberuntungan sepanjang berada di bawah pemerintahan Rom. Ia kemudian mengalami Romanisasi menerusi pembinaan bangunan-bangunan seperti akueduk, rumah-rumah mandi, dan amfiteater. Istana-istananya yang mewah (yang dibina oleh raja-raja Seleucid) dijadikan sebagai istana singgah-singgah bagi kebanyakan maharaja Rom. Sewaktu warga Antioch memihak Pescennius Niger dari Syria, Septimius Severus meragut kemerdekaan mereka dan menakluknya bagi pihak Rom. Memandangkan kota tersebut terletak di kawasan bencana, maka berkali-kali juga ia mengalami kerosakan akibat kebakaran besar dan kejadian gempa bumi (yang berlaku pada era Tiberius, Caligula, Hadrian, dan Diocletian).

Sisihkan Iklan

Advertisement

Aureus from Antioch
Aureus dari Antioch
Sailko (CC BY-SA)

Kota Antioch kemudian dibangunkan semula oleh maharaja Trajan, yang menjadikannya sebagai kediaman musim sejuk bagi tentera-tentera Rom. Selepas Empayar Rom mengalami perpecahan pada era Diocletian, kota Antioch jatuh ke tangan Byzantine atau Empayar Rom Timur. Di bawah pemerintahan Constantine, ia berfungsi sebagai kota utama dalam kebangkitan agama Kristian. Antioch bahkan mempunyai sebuah sekolah yang menyebarkan ajaran Bible. Pada tahun 362 M, kota tersebut disinggahi oleh Maharaja Julian Si Murtad (361-363 M) yang sedang dalam perjalanan memerangi tentera Parsi. Dalam kesempatan tersebut, Antioch dipaksa membekalkan makanan dan teduhan kepada pasukan tenteranya. Hal ini mengakibatkan berlakunya krisis harga makanan sekaligus mendorong kepada kebuluran dan rusuhan. Memasuki kurun ke-5 M, Antioch dijarah oleh suku Hun dan kemudian dikuasai oleh Arab-Muslim pada kurun ke-7 M.

Daftar Pustaka

  • Anonymous. Encyclopedia of World History.
  • Bagnall, R.S. et al. Encyclopedia of Ancient History. Wiley-Blackwell, London, 2012
  • Livius. Articles on Ancient History.
Sisihkan Iklan

Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Donald L. Wasson
Donald has taught Ancient, Medieval and U.S. History at Lincoln College (Normal, Illinois)and has always been and will always be a student of history, ever since learning about Alexander the Great. He is eager to pass knowledge on to his students.

Cite Kerja Ini

Gaya APA

Wasson, D. L. (2013, February 22). Antioch [Antioch]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diambil dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11771/antioch/

Gaya Chicago

Wasson, Donald L.. "Antioch." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai February 22, 2013. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11771/antioch/.

Gaya MLA

Wasson, Donald L.. "Antioch." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 22 Feb 2013. Web. 18 Jan 2022.