Kapal Batavia merupakan kapal Syarikat Hindia Timur Belanda yang karam di terumbu karang Kepulauan Houtman Albrolhos, 60 kilometer (37 batu) dari pantai Australia Barat menjelang subuh 4 Jun 1629. Kapal ini ialah kapal laksamana bagi tujuh buah kapal yang berlayar ke Hindia Timur Belanda pada Oktober 1628.
Pelayaran ini ialah yang sulung buat kapal tersebut. Terdapat seramai 340 orang penumpang dan anak kapal termasuk askar, wanita, kanak-kanak dan pegawai tinggi syarikat. Mereka dalam perjalanan ke entrepot Belanda atau pusat perdagangan Batavia (kini Jakarta, Indonesia).
Mereka yang terselamat daripada tragedi kapal Batavia dibawa ke pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Beacon. Pulau ini terletak di kepulauan 122 buah pulau di hujung utara Houtman Albrolhos. Pengalaman pahit setelah kapal Batavia karam ialah suatu kisah gelap dalam sejarah maritim. Sekumpulan pemberontak membunuh kira-kira 125 orang semasa zaman kezaliman sehingga kapal penyelamat tiba dari Batavia pada September 1629.
Armada Berlepas
Kapal Batavia ialah kapal retourschip atau ‘kapal pulangan’ seberat 600 tan milik pusat Amsterdam Syarikat Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oost-Indische Compagnie (VOC)). Kapal jenis ini ialah kapal yang sangat berbakti untuk armada VOC, dibina untuk menempuh perjalanan laut yang berbahaya antara Belanda dan Hindia Timur. Kapal ini juga mempunyai kapasiti kargo yang besar.
Dengan ukuran 46 meter (150 kaki) panjang, kapal Batavia membawa kargo dua belas peti berisi syiling perak bernilai 250,000 guilder, barang dagangan termasuk kokineal, kain, wain dan keju, serta permata berharga purba yang dikenali sebagai Constantine Cameo. VOC telah diberikan hak oleh Jeneral Negeri Republik Belanda Tujuh Daerah Bersatu untuk berdagang secara eksklusif di Asia dan mendapatkan rempah ratus. Syiling perak digunakan untuk membeli buah pala, cokmar dan cengkih, manakala permata yang ada berkemungkinan dimiliki oleh pelukis Flemish bernama Peter Paul Rubens (1577-1640) yang ingin menjualnya kepada Maharaja Jahangir (memerintah 1605-1627) iaitu maharaja Mughal keempat. Untuk perlindungan daripada lanun serta Inggeris dan Portugis, kapal Batavia disiapkan dengan 24 meriam besi dan 100 askar yang kebanyakannya tentera upahan Jerman.
Gabenor jeneral koloni Batavia, Jan Pieterszoon Coen (1587-1629), menulis surat kepada Lembaga Pengarah VOC pada 1618 untuk menyuarakan bahawa isteri dan anak-anak pekerja VOC di koloni itu seharusnya dibenarkan untuk pergi ke Batavia. Wanita-wanita dan kanak-kanak di atas kapal Batavia, termasuk Lucretia van der Mijlen (1602-1641) iaitu wanita kelas atasan berumur 27 tahun yang mengikuti suaminya, dapat memulakan hidup baru di Hindia Timur dengan tindakan Coen.
Kapal Batavia berlayar dari Texel, Belanda pada 29 Oktober 1628. Komander armada tujuh kapal itu ialah Francisco Pelsaert (c. 1595-1630) dari Antwerp, yang pernah menjadi wakil VOC di Agra, India. Pelsaert kembali ke Belanda pada 1628, namun menghidapi demam yang membunuhnya dua tahun kemudian. Dia berkemungkinan diberi kuasa untuk armada tersebut kerana abang iparnya iaitu Hendrik Brouwer (1581-1643), gabenor jeneral Hindia Timur yang terkenal kerana menemukan laluan singkat (Brouwer Route) untuk ke Hindia Timur pada 1611 melalui Tanjung Harapan (Cape of Good Hope).
Kapten kapal Batavia ialah Adriaen Jacobsz, salah seorang lelaki tertua di atas kapal dan bertanggungjawab menguruskan pengemudian. Tidak banyak maklumat diketahui tentang Jacobsz, selain daripada pertengkarannya dengan Pelsaert sepuluh tahun sebelum itu di India, dan ketegangan antara mereka yang akhirnya membawa kepada nasib kapal Batavia. Jeronimus Cornelisz (c. 1598-1629) ialah opperkoopman atau ketua pedagang yang bertanggungjawab menguruskan kargo dan kepentingan komersial VOC. Dia merupakan seorang ahli farmasi Belanda dan saudagar muflis berumur 30 tahun yang baru menyertai VOC. Namun, Cornelisz kemudiannya menjadi ketua pemberontak. Perjalanan laut itu mengambil masa sembilan bulan yang amat sukar bagi sebuah kapal yang penuh sesak, dipenuhi tikus dan hanya mempunyai empat tandas untuk lebih 300 orang.
Permasalahan pertama berlaku selepas persinggahan untuk air bersih dan bekalan di Tanjung Harapan, apabila perebutan kuasa tercetus antara Pelsaert dan Jacobsz. Komander armada itu menuduh Jacobsz mabuk dan mengganggu Lucretia van der Mijlen serta mencabul pembantunya, Zwaantie Hendrix. Pelsaert memberi amaran kepada Jacobsz, tetapi dia kemudiannya jatuh sakit selama sebulan akibat demam yang menjangkitinya di India. Tempoh ini memberi Jacobsz peluang untuk melakukan dua perkara: yang pertama memisahkan kapal Batavia daripada angkatan kapal yang lain supaya mereka tidak dapat campur tangan, dan yang kedua menimbulkan pemberontakan, mengambil alih kapal dan harta yang ada serta membuang Pelsaert ke laut.
Pemberontakan dan Kapal Karam
Jacobsz menemukan sekutu di Cornelisz dan sekumpulan lelaki yang ingin membangkitkan kemarahan Pelsaert yang masih dirawat agar dia mengambil tindakan tatatertib yang keras untuk menimbulkan ketidakpuashatian dalam kalangan anak kapal. Lucretia van der Mijlen menjadi sasaran mereka dan diserang lapan orang lelaki bertopeng suatu malam di geladak, dilumuri tar dan najis. Pelsaert berang lalu menjalankan siasatan. Lucretia dapat mengenal pasti salah seorang daripada penyerangnya lalu memberitahu komander armada itu bahawa Jacobsz ialah dalang di sebalik kejadian mengejutkan itu. Namun, disebabkan ketegangan yang bertambah buruk, Pelsaert memutuskan untuk menangguh keputusannya sehingga mereka tiba di Batavia.
Bencana melanda apabila kapal Batavia terlanggar terumbu Morning Reef di Kumpulan Wallabi iaitu kumpulan pulau paling utara di Houtman Albrolhos. Keraguan Pelsaert terhadap kemahiran pengemudian kapten kapal itu terlihat ada asasnya. Kebinasaan kapal Batavia berkemungkinan terjadi kerana kesilapan dalam pengiraan buntu (dead reckoning) yang boleh menyebabkan kapal terkeluar tidak tentu hala dari laluan. Pengiraan buntu merupakan kaedah pengemudian yang digunakan oleh para pelayar semasa Zaman Penjelajahan untuk menentukan kedudukan anggaran kapal berdasarkan kedudukan, haluan dan kelajuan sebelum kapal itu.
Setelah menyusuri Tanjung Harapan, kapal-kapal VOC kemudiannya mengikut Laluan Brouwer ke timur, memanfaatkan angin barat kuat ‘the Roaring Forties’ di selatan Laut Hindi sebelum membelok ke utara pada titik hipotesis dan menuju ke Hindia Timur yang sejauh kira-kira 3,218 kilometer (2,000 batu). Laluan ini menyingkatkan perjalanan dari Eropah sebanyak enam bulan, namun bergantung pada anggaran jarak perjalanan dan lokasi menggunakan pengiraan buntu untuk mengelak daripada pinggir pantai berbahaya Austaria Barat.
Malangnya, pengiraan terakhir yang diambil oleh Jacobsz salah. Jacobsz menganggarkan kapal Batavia berjarak 965 kilometer (600 batu) dari pantai Australia sedangkan kapal itu sebenarnya berada cuma 64 kilometer (40 batu) daripada nasibnya. Pada awal pagi 4 Jun 1629, seorang peninjau melihat ombak menghentam terumbu karang Houtman Albrolhos, namun Jacobsz menganggap itu cumalah pantulan bulan pada permukaan air dan tidak mengubah haluan. Batavia akhirnya tertusuk pada terumbu Morning Reef.
Jurnal Pelsaert yang diterbitkan pada 1647 menerangkan huru-hara tersebut:
Empat Jun, pagi Isnin, pada hari ke-2 Whitsuntide, dengan bulan purnama yang terang dan cerah kira-kira 2 jam sebelum subuh semasa jagaan kapten, aku berbaring di atas katil berasa tidak sihat. Tiba-tiba, dengan pergerakan bergelora yang dasyat, aku terasa hentakan kemudi kapal, dan sejurus selepas itu merasakan kapal itu tersekat di laluannya di atas batu-batuan sehingga aku terjatuh dari tempat tidurku. Aku berlari ke geladak dan mendapati semua layar berada di atas, angin ke barat daya dan laluan menjadi lebih ke utara daripada timur laut pada malam itu, dan kapal terletak betul-betul di tengah-tengah kabus tebal. Hanya sedikit ombak di sekeliling kapal, tetapi tidak lama selepas itu hentaman ombak dapat didengari di sekelilingnya. Kataku, kapten apa yang telah kau lakukan, kecuaian semberono kau telah meletakkan tali gantung ini di leher kami.
(Dipetik dari The Batavia Journal of Francisco Pelsaert)
Anak kapal bermati-matian cuba untuk nyahbalast kapal itu dengan mengeluarkan apa-apa yang memberatkannya. Meriam ditolak keluar dan tiang kapal ditebang. Namun, usaha mereka tidak berjaya dan ombak besar menghentam Batavia selama sembilan hari sebelum kapal itu akhirnya musnah. Kapal Batavia ialah antara nahas kapal Eropah yang terawal di Australia.
Pemerintahan Ganas
Kira-kira 40 orang mati lemas apabila kapal Batavia melanggar terumbu karang itu. Sebuah perahu panjang berukuran 9 meter (30 kaki) dan bot layar yang dapat membawa 50 penumpang membawa mangsa yang terselamat ke Pulau Beacon, sebuah pulau karang kecil sebesar 0.8 kilometer (0.5 batu) panjang dan berada 2 kilometer (1.2 batu) dari bangkai kapal. Beberapa kelasi dan pegawai mendarat di pulau berdekatan lain yang kemudiannya dipanggil Pulau Pengkhianat. Lebih 40 orang memutuskan untuk kekal di atas kapal dan mencuri simpanan wain. Jeronimus Cornelisz yang juga takut air ialah salah seorang daripada mereka.
Masalah awal yang dialami mereka yang terselamat ialah kekurangan bekalan air bersih dan makanan. Jacobsz mengetuai misi pencarian dengan perahu panjang dan bot layar, namun disebabkan oleh kelakuannya ketika perjalanan laut sebelum itu, Pelsaert tidak mempercayainya dan memutuskan untuk mengikuti pancarian. Misi tersebut tidak membuahkan hasil, jadi sebuah keputusan dibuat untuk mencuba belayar sejauh 3,000 kilometer (1,864 batu) ke pusat perdagangan VOC di Batavia menggunakan perahu panjang dan bot layar yang ada. Apabila mereka yang terselamat di Pulau Beacon bangun pada keesokan harinya, mereka mendapati bahawa ketua mereka telah meninggalkan mereka. Dalam beberapa hari, orang ramai mula minum air laut dan air kencing, dan kira-kira 20 orang mati.
Disebabkan kapal Batavia musnah, Jeronimus Cornelisz terpaksa berenang ke Pulau Beacon dan menemui 200 orang yang sangat memerlukan seorang ketua. Cornelisz dikatakan mempunyai personaliti yang berkarisma dan merupakan seorang penutur yang petah. Dia juga seorang fanatik agama dan menganut kepercayaan Anabaptism. Sebagai satu-satunya kelasi berpangkat tinggi yang tinggal, Cornelisz pun merampas kawalan, mengawasi bekalan air dan makanan yang terhad, serta mengumpulkan kesemua senjata dan rakit buatan.
Kejadian yang berlaku setelah itu ialah kegasaran. Dengan dalih bahawa Pulau Beacon kekurangan ruang, Cornelisz menghantar seramai 40 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak ke Pulau Seals (Seals’ Island, juga dipanggil Long Island). Dia berharap mereka akan mati kehausan dan kelaparan. Seramai 23 orang askar yang diketuai oleh seorang tentera dari Groningen bernama Wiebbe Hayes (1587 s. m.) dihantar ke sebuah pulau yang kini dinamakan Wallabi Barat untuk menghapuskan ancaman daripada tentera upahan Jerman. Misi mereka adalah untuk mencari air, dan Cornelisz berjanji bahawa mereka akan diambil kemudian.
Untuk mengukuhkan kembali kuasa mutlak di Pulau Beacon, Cornelisz dan orang bawahannya membunuh seorang askar yang telah mencuri wain dan mula menghapuskan populasi untuk menjimatkan bekalan atau membunuh sesiapa sahaja yang mempersoalkan kuasanya. Tiada seorang pun yang terlepas. Mereka yang sakit menjadi sasaran pertama, manakala yang lebih kuat ditetak leher pada waktu malam. Ketaatan sepenuhnya kepada Cornelisz juga tidak menjamin keselamatan mereka. Oleh sebab itu, pulau karang kecil ini dicatatkan sejarah sebagai Kubur Batavia (Batavia's Kerkhof). Terdapat rekod berbeza-beza, namun angka kematian akhir dianggarkan seramai 125 orang termasuk kanak-kanak.
Percubaan Menyelamat
Beberapa mangsa yang terselamat berjaya melarikan diri dari Pulau Beacon dan bergerak ke Wallabi Barat. Selepas mendengar tentang kekejaman yang berlaku, Hayes mengukuhkan kemnya dan membuat senjata daripada serpihan kapal Batavia. Pulau Seals mempunyai air tawar dan berkalan makanan yang banyak, khususnya walabi dan burung laut. Cornelisz kemudiannya menyedari bahawa Hayes merupakan ancaman, dan pada Ogos 1629, “Kapten Jeneral” yang melantik dirinya sendiri itu memakai pakaian elegan Pelsaert dan melancarkan satu daripada tiga serangan ke Pulau Seals. Semasa serangan terakhir pada bulan September, Cornelisz dan empat orang bawahannya dapat ditangkap ketika percubaannya untuk membuat rundingan perjanjian damai dengan Hayes.
Pada 17 September, pertolongan pun tiba. Perjalanan perahu panjang untuk sampai ke Batavia mengambil masa satu bulan. Francisco Pelsaert berjumpa dengan gabenor jeneral Jan Pieterszoon Coen yang membekalkannya yak yang dipanggil Sardam, sebuah kapal layar laju yang khususnya digunakan untuk membawa pesanan atau mengangkut pegawai-pegawai tinggi VOC. Coen mengarahkan komander armada tersebut untuk menyelamatkan apa yang boleh dari kargo Batavia. Adriaen Jacobsz pula tertuduh cuai semasa pegangan kuasanya di atas kapal Batavia dan dilempar ke penjara, Dia dipercayai mati di situ.
Kapal Sardam dengan kapten dan 25 anak kapal yang ada mengambil masa tiga minggu untuk sampai ke kepulauan itu namun mengambil satu bulan lagi untuk mencari Pulau Beacon. Nasib menyebelahi mereka apabila Wiebb Hayes dapat melihat kelibat kapal Sardam di ufuk dan menghantar rakit buatan untuk memintasnya.
Pulau Seals menjadi penjara sementara Jeronimus Cornelisz dan para pemberontak sebelum mereka dibawa ke perbicaraan terhadap jenayah mereka. Pulau itu kemudiannya mendapat nama Pulau Pengkhianat (Traitor’s Island).
Cornelisz diseksa. Di bawah undang-undang Belanda pada abad ke-17, penyeksaan dibenarkan untuk mendapatkan pengakuan dan menuntut sabitan. Francisco Pelsaert mengetuai siasatan itu setelah membentuk sebuah majlis. Cornelisz pada awalnya mengaku bersalah, tetapi kemudiannya menarik balik kenyataannya. Dia dijatuhkan hukuman gantung pada 2 Oktober 1629 setelah kedua-dua tangannya dipotong. Enam daripada pemberontak yang lain berkeras supaya ketua mereka menjadi yang pertama mati supaya dia tidak dapat mengelak nasibnya. Dua lelaki termasuk seorang ahli kabin bernama Pelgrom dibuang ke tanah besar Australia sebagai hukuman dan tiada khabar tentang mereka didengari setelah itu.
Setelah menemukan hampir kesemua peti barang berharga, Pelsaert kembali ke Batavia pada Disember 1629 bersama 16 pemberontak yang telah dibicarakan dan dikenakan hukuman mati. Wiebbe Hayes dianggap sebagai wira dan dinaikkan pangkat menjadi pembawa bendera. Pelsaert meninggal dunia pada September 1630 dan tidak pernah dapat menolak dakwaan bahawa dia meninggalkan mangsa yang terselamat tanpa air. Dia juga dituduh terlibat dalam aktiviti dagangan secara sendiri. Apabila balunya memohon untuk menerima gajinya yang tertunggak, pihak VOC menolak untuk bayar.
Pengalaman pahit mangsa kapal Batavia yang terselamat menjadi sensasi di Eropah dan diceritakan semula dalam sebuah buku terbitan 1647 yang bertajuk The Unlucky Voyage of the Batavia. Buku tersebut merangkumi catatan jurnal Pelseart, cerita daripada mangsa yang terselamat dan juga pengakuan para pemberontak. Peristiwa itu mengesahkan pemikiran orang Belanda bahawa pinggir pantai Australia sememangnya tidak sesuai didiami dan perlu dielakkan.
Penemuan Semula Kapal Batavia
Bangkai Batavia ditemukan pada 1963 sekitar 74 kilometer (45 batu) dari Geraldton, Australia Barat apabila seorang nelayan udang galah menemukan meriam gangsa dan sauh kapal di perairan terumbu Morning Reef. Kapal itu ditemukan pada kedalaman 6 meter (19 kaki) dan seterusnya dijaga oleh Muzium Australia Barat bagi memelihara dan menguruskan tapak arkeologi itu. Penemuan itu sangat bermakna bagi arkeologi maritim.
Sisa-sisa rangka menjadi bukti peristiwa kejam yang berlaku selepas kapal itu karam. Banyak artifak telah ditemukan termasuk kompas dan jam pasir, paip tanah liat, 10,600 syiling, botol kaca, peluru meriam, bekas dakwat dan pena serta buah catur. Runtuhan kubu Wiebbe Hayes juga dapat ditemukan. Pada 2017, sebuah kubur komunal yang memuatkan lima orang individu telah digali keluar bersama dengan artifak-artifak lain.
Bangkai Batavia menunjukkan salah satu hubungan Eropah yang paling awal dicatatkan dengan benua Australia, mendahului jajahan British di Teluk Botany selama 170 tahun. Kisah kapal itu menjadi peristiwa hitam dalam sejarah, namun dapat menunjukkan risiko-risiko perjalanan laut terdahulu, kesusahan untuk meneruskan hidup di tempat baru dan juga kejatuhan susunan sosial yang telah mantap dalam situasi-situasi yang ekstrem.

