Pertempuran Leuctra

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 26 June 2013
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Spartan Warriors (by The Creative Assembly, Copyright)
Pahlawan Spartan
The Creative Assembly (Copyright)

Pertempuran Leuctra yang berlaku pada tahun 371SM memberikan kemenangan muktamad buat Thebes ke atas Sparta sekaligus mengesahkan Thebes sebagai negara-kota paling dominan di Greece. Kemenangan diraih menerusi percaturan taktikal yang mengagumkan lagi berani oleh panglima Thebes yang bernama Epaminondas. Taktikal-taktikal perangnya ini berjaya memukul pasukan hoplite Sparta dan menamatkan mitos kekebalan tentera Sparta yang mereka nikmati selama berkurun-kurun.

Di samping kesan susulannya, perincian tepat tentang pertempuran yang berlangsung di dataran Leuctra yang terletak berhampiran Thebes ini turut diperdebatkan dalam kalangan sejarahwan meskipun sumber terawal tentang pertempuran ini datang daripada Xenophon, yang berupaya mendatangkan saksi-saki bagi catatannya berkenaan pertempuran tersebut di dalam karyanya, Hellenika.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Konteks Sejarah

Sebaik sahaja Sparta menyeru agar Konfederasi Boeotia yang diketuai oleh Thebes dibubarkan, peperangan sekali lagi dilihat bakal tercetus.

Pada awal kurun ke-4 Sebelum Masihi, poleis atau negara-negara kota Yunani mencapai tempoh aman yang tidaklah secara menyeluruh setelah mereka menghadapi konflik yang timbul tenggelam selama sekurun. Namun sebaik sahaja Sparta menyeru agar Konfederasi Boeotia yang diketuai oleh Thebes dibubarkan, peperangan sekali lagi dilihat bakal tercetus. Thebes menolak tuntutan Sparta dan reaksi sebegini tidaklah mengejutkan dan malah dijangka oleh Sparta sendiri yang sudah pun menggerakkan terlebih dahulu pasukan tenteranya yang mengambil kedudukan di semapdan barat Boeotia sebelum sempat Thebes memberikan maklum balas.

Pasukan-Pasukan Tentera Yang Dihimpun

Sparta dan sekutu-sekutunya dipimpin oleh Raja Cleombrotus. Pasukan tentera ini terdiri daripada empat divisi (morai) yang berjumlah seramai 2048 orang tentera. Daripada jumlah tersebut, 700 orang daripadanya adalah rakyat Sparta dari kelas hoplite. Selain itu, terdapat juga tambahan tentera seramai 9000 orang yang dibekalkan oleh sekutu-sekutu Sparta. Daripada keseluruhan 11 000 orang tentera ini, seramai 1000 orang adalah tentera berkuda. Sebagai maklumat tambahan, setelah lebih sedekad berperang, semangat sekutu-sekutu Sparta besar kemungkinan sudah pun luntur bagi menghadapi konflik yang lebih lanjut.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Greek Hoplite
Hoplite Yunani
Johnny Shumate (Public Domain)

Di barisan tentera Thebes pula terdapat kira-kira 7000 orang tentera hoplite, di mana 300 orang daripadanya merupakan anggota elit Sacred Band (Pasukan Keramat), yakni sebuah unit yang terdiri dari pasangan homoseks yang saling bersumpah setia untuk melindungi antara satu sama lain sehingga ke titisan darah terakhir. Di Leuctra, unit ini dipimpin oleh Pelopadis. Pasukan tentera Thebes ini turut mempunyai 600 orang kavalri yang dianggap sebagai antara yang terbaik di Greece pada waktu itu. Selain itu, terdapat juga sekumpulan kecil tentera infantri ringan (hamippoi) yang dilengkapi lembing lontar dan disokong oleh unit kavalri. Seluruh pasukan ini diketuai oleh seorang panglima yang bernama Epaminondas. Sebagai seorang penuntut teori Pythagoras, komander ini kelak berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang komander yang paling inovatif dan berjaya yang pernah dimiliki oleh Thebes, dan salah seorang panglima terbaik di Greece.

Babak-Babak Permulaan

Epaminondas melaksanakan strategi yang paling inovatif & Menghancurkan yang pernah disaksikan dalam sejarah peperangan Yunani.

Sebilangan komander Thebes pada mulanya mencadangkan supaya pasukan tentera mereka berlindung di sebalik tembok Thebes dan menantikan pengepungan daripada pihak musuh berbanding berhadapan dengan tentera-tentera Sparta di medan terbuka. Namun, Epaminondas berjaya mempengaruhi mereka supaya bertindak sebaliknya. Berbekalkan propaganda dan peniupan semangat untuk berperang, Epaminondas mengajak mereka merenungi kisah dua orang anak dara tempatan yang dirogol oleh dua orang Sparta di Leuctra. Kedua-dua gadis sunti ini kemudiannya membunuh diri kerana rasa malu, lantas sebuah monumen didirikan bagi memperingati mereka. Epaminondas memastikan supaya penghormatan yang selayaknya diberikan kepada monumen peringatan ini sebelum berangkat ke medan perang. Beliau turut terkenal dengan satu gerak tubuh yang simbolik dan ikonik, di mana Epaminondas lazim mengayun-ayunkan seekor ular sambil menyatakan bahawa dengan memukul kepala ular ini – yakni tentera Sparta – maka seluruh tubuh ular itu akan mati – yakni dominasi Sparta ke atas Greece.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Aksi pertama pertempuran berlaku apabila tentera-tentera Sparta menyerang warga awam Thebes (pengangkut barang, pedagang, dsbg) yang sedang berundur ke Thebes. Namun di dalam serangan ini, Hieron si ketua Sparta, terbunuh dan warga awam Thebes tersebut terpaksa bergabung semula dengan pasukan utama.

Pertempuran

Cleombrotus menyusun pasukan tenteranya dalam formasi phalanx tradisional, di mana 12 unit hoplite yang lengkap bersenjata diapit oleh dua sayap. Cleombrotus sendiri dikelilingi oleh unit hippeis elitnya (300 orang pengawal peribadi) dan mengambil kedudukan di sisi kiri sayap kanan.

Epaminondas mempersembahkan susunan yang lebih inovatif dan beliau meletakkan unit kavalri dan infantri ringannya di hadapan dalam formasi phalanx yang tersendiri. Tidak menggunakan susunan lazim yang berfungsi memperkuatkan sayap kanan, Epaminondas sebaliknya membentuk sayap kirinya supaya lebih ampuh – 50 barisan tentera – dan mengarahkan agar barisan-barisannya lebih rapat berbanding barisan-barisan Sparta. Pasukan Keramat juga diletakkan di sayap kiri sambil sekutu-sekutu Boeotia diletakkan di sayap kanan, kira-kira 8 – 12 barisan.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Battle of Leuctra, 371 BCE
Pertempuran Leuctra, 371 SM
Dept. of History, U.S. Military Academy (Public Domain)

Cleombrotus bertindak balas terhadap susunan tersebut dengan menyusun semula barisannya, menggerakkan unit kavalri ke hadapan dan melebarkan barisannya demi mengepung sayap kiri Epaminondas. Maneuver-maneuver pertempuran yang relatif rumit ini kemudiannya mendedahkan sisi kiri Cleombrotus, dan memandangkan pasukan kavalri Sparta tidak berupaya menandingi unit Thebes yang pantas memukul mereka, maka pasukan berkuda Sparta terpaksa kembali ke barisannya dan melalui jurang yang terbuka di sisi kiri Cleombrotus. Pasukan Thebes menyusuli mereka memasuki jurang tersebut dan menimpakan huru-hara ke atas formasi Sparta. Sementara itu, Epaminondas menyerang pada suatu sudut di kiri hinggakan sebagai kesan, Cleombrotus dipukul jauh dari barisannya. Serangan Epaminondas ini juga berlangsung dalam keadaan sayap kanannya sendiri sengaja dilewatkan sedikit sekaligus membentuk formasi echelon (formasi selari di mana satu hujung lebih terkehadapan berbanding satu hujung lain) semasa menyerang hippeis Sparta. Pada saat ini, Pelopidas dan Pasukan Keramat juga melakukan serangan ke atas kedudukan Cleombrotus dan menimpakan kecederaan parah buat raja Sparta itu sekaligus menewaskan sayap kanan Sparta secara muktamad.

Secara keseluruhan, seramai 1000 orang Lacedaemonia terkorban, termasuklah 400 orang hoplite Sparta. Thebes lantas menjadi polis (negara-kota) yang paling berkuasa di Greece dan mitos kekebalan tentera Sparta akhirnya ranap setelah menikmati status tersebut selama 200 tahun.

Strategi-strategi yang digunakan oleh Epaminondas dalam pertempuran ini bukanlah strategi yang baru. Namun di masa dahulu, strategi tersebut digunakan tanpa keperluan dan belum ada yang pernah menggabungkannya sehingga membentuk sebuah formula kemenangan. Sayap kiri yang disusun dengan begitu ampuh, penggunaan unit kavalri di hadapan barisan hoplite, menyerang pada satu sudut tertentu, melaksanakan formasi echelon, dan menumpukan serangan langsung secara berhadapan dengan kedudukan komander musuh, kesemuanya ini secara kolektif menghasilkan salah sebuah strategi yang paling inovatif pernah disaksikan dalam peperangan Yunani. Kekalahan Sparta yang terkenal gagah ini benar-benar mengejutkan dunia Yunani.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Susulan

Kekalahan Sparta ini membawa kepada pembubaran Liga Peloponnesia, memandangkan kebanyakan sekutunya menuntut kemerdekaan atau beralih arah membentuk persekutuan dengan Thebes. Helot-helot dari Messenia pula dibebaskan, sekaligus sebuah polis (negara kota) baru Messene ditubuhkan. Mantineia yang menderita di bawah penguasaan Sparta dihidupkan kembali menjadi sebuah polis yang pesat. Sebuah lagi negara-kota baru, iaitu Megale Polis (Megalopolis) ditubuhkan di Arcadia bagi mengimbangi Sparta.

Map of Greece under Theban Hegemony
Peta Yunani di bawah Theban Hegemony
Megistias (CC BY-SA)

Susulan daripada pertempuran ini serta pergolakan penuh status quo di Greece, Athens meminta supaya diadakan konferens keamanan pada tahun 371 Sebelum Masihi namun ditolak oleh Thebes, sekaligus melanjutkan perebutan kuasa dalam kalangan pelbagai negara kota (poleis) Yunani dan hal ini menggegar Greece selama beberapa kurun berikutnya. Athens malah menyebelahi seteru lamanya, iaitu Sparta sementara Thebes dengan sokongan Parsi pula meneruskan dasar perluasan kuasanya dan sekali lagi, dengan diketuai oleh Epaminondas, terus menewaskan persekutuan Sparta-Athens dalam pertempuran Mantineia tahun 362 Sebelum Masihi. Walau bagaimanapun, Epaminondas sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan berikutan peperangan di antara para penggantinya dengan Athens dan Sparta yang terus-menerus, dominasi singkat Thebes ke atas Greece lantas berakhir dan kota-kota Yunani kini terhidang untuk ditakluki di mana situasi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Philip II dari Macedonia pada tahun 338 Sebelum Masihi.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2013, June 26). Pertempuran Leuctra [Battle of Leuctra]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Pertempuran Leuctra." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai June 26, 2013. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Pertempuran Leuctra." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 26 Jun 2013. Web. 31 Oct 2024.