---
title: Upacara Teh Jepun
author: Mark Cartwright
translator: Ezlyna Shamsuddin
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18299/upacara-teh-jepun/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2024-02-09
---

# Upacara Teh Jepun

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Ezlyna Shamsuddin](https://www.worldhistory.org/user/ezlynashamsuddi)_

Upacara Teh Jepun (*chanoyu* atau *chado*) ialah tradisi budaya yang merangkumi tempat, tatacara dan peralatan tertentu untuk minum teh hijau. Bermula sebagai adat resam sami Buddha China bagi membantu mereka semasa bermeditasi, aktiviti minum teh di Jepun dan kawasan lain di Asia Timur berkembang sejak abad ke-13 Masihi. Golongan bangsawan mengamalkan aktiviti ini untuk mempamerkan budaya mereka. Bilik yang direka khas, taman berlandskap dan porselin yang halus buatannya menjadi komponen penting dalam upacara ini, lantas minum teh dijadikan sejenis seni yang tak kurang hebatnya.

### Asal Usul & Perkembangan

Aktiviti minum teh bermula di China dan penemuan ini dikaitkan dengan pendeta India, Bodhidharma (juga dikenali sebagai Daruma), pengasas agama Buddha Chan, iaitu pelopor agama Buddha Zen. Bermula dari abad ke-2 SM, sami Buddha minum teh untuk membantu mereka semasa bermeditasi dan menghilangkan rasa mengantuk. Namun, pada zaman Dinasti Tang (618-907 M) barulah aktiviti minum teh menular kepada golongan bangsawan kerana mereka sahajalah yang mampu membeli minuman yang begitu mahal ini. Dari China adat resam ini menular seiring dengan idea lain melalui pedagang, diplomat dan sami yang mengembara sehingga akhirnya tiba di Jepun pada abad ke-8 M. Adat resam ini berkembang menjadi pengalaman budaya yang utuh bermula dari abad ke-13 M.

Dalam bahasa Jepun, upacara minum teh dikenali sebagai *chanoyu*, yang bermaksud 'air panas untuk teh', atau *chado* atau *sado*, yang bermaksud 'cara minum teh', dengan teh bermaksud *cha* dalam bahasa Jepun. Perkataan 'upacara' ialah terjemahan yang kurang tepat dalam Bahasa Inggeris kerana mengandaikan formaliti tertentu yang sebenarnya ingin dielakkan oleh pakar minat teh. Memang setidak-tidaknya pada mulanya, majlis minum teh sekular sering menjadi majlis yang agak riuh rendah, jauh berbeza dengan permulaan damai oleh sami Buddha. Majlis sekular ini turut memasukkan unsur popular seperti permainan meneka jenis teh yang dihidangkan. Semuanya berubah pada abad ke-15 M apabila shogun Ashikaga Yoshimasa (berkuasa 1449-1473 M) menjadikan seluruh upacara ini lebih serius dan terkawal.

Arah aliran yang ditetapkan berterusan hingga hari ini - upacara minum teh menjadi pengaturan utama untuk seseorang mempamerkan pengetahuan secara tidak langsung tentang selok-belok tatacara yang terlibat dan memperlihatkan kemahiran dalam perkakas porselin serta hiasan yang diperlukan dalam upacara ini. Upacara ini turut menyediakan latar belakang santun untuk perbualan yang bersopan tentang perkara yang sensitif. Keseluruhan pengalaman ini bertujuan untuk membangkitkan unsur kerohanian, ketenangan dan pembaharuan yang dapat dikongsi oleh para peserta. Bak kata pepatah Jepun, *cha-Zen ichimi* atau "Zen dan teh mempunyai rasa yang sama."

[ ![Tea Master Sen no Rikyu](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/10801.jpg?v=1768437005) Pakar Teh Sen no Rikyu Hasegawa Tôhaku (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/10801/tea-master-sen-no-rikyu/ "Tea Master Sen no Rikyu")Salah seorang tokoh yang paling berpengaruh dalam perkembangan upacara minum teh ialah sami dan pakar teh abad ke-16 M, Sen no Rikyu (1522-1591 M). Rikyu menjadikan keseluruhan upacara ini lebih santun, mengurangkan saiz bilik minum teh supaya lebih intim dan menambahkan unsur yang kini menjadi aspek penting seperti bunga yang digubah dengan sempurna. Rikyu ialah pakar teh tipikal zaman pertengahan Jepun yang berperanan sebagai penasihat penting kepada pemerintah, bukan setakat tentang etiket upacara bahkan tentang hal ehwal politik serta sering bertindak sebagai duta rasmi, diplomat dan perunding. Pemerintah dan hulubalang menggunakan upacara minum teh untuk pertemuan politik dan memberikan hadiah kepada orang bawahan yang disukai dalam bentuk barang berharga seperti cawan teh porselin yang halus buatannya dari China dan Korea.

Menjelang abad ke-17 M, upacara minum teh menjadi sangat popular dalam kalangan semua orang, bukan setakat golongan atasan. Upacara ini kini utuh dalam budaya Jepun dan mewakili empat ciri penting kehidupan harian di Jepun seperti yang diringkaskan oleh sejarawan W. E. Deal:

- ***wa*** (harmoni) - keinginan untuk timbal balik, sama ada semasa pertemuan minum teh atau di luar
- ***kei*** (hormat) - kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab individu serta ketertiban
- ***sei*** (suci) - komitmen untuk mengekalkan integriti sosial dan spiritual
- ***jaku*** (anggun dan tenang) - menikmati sejenak untuk mengecapi pembaharuan (305)

[ ![Detail, Ryoanji Zen Rock Garden](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10799.jpg?v=1618586108) Perincian, Taman Batuan Zen Ryoanji Jean-Pierre DalbÃ©ra (CC BY) ](https://www.worldhistory.org/image/10799/detail-ryoanji-zen-rock-garden/ "Detail, Ryoanji Zen Rock Garden")### Bilik Minum Teh & Taman

Unsur pertama dan utama dalam upacara minum teh zaman pertengahan ialah ruang khas di dalam rumah bagi melaksanakan upacara ini. Inilah bilik minum teh atau *chashitsu*, juga dikenali sebagai *sukiya* atau 'rumah yang tidak sempurna', merujuk kepada seni bina asal yang ringkas dan penggunaan bahan asas. Bangunan kedesaan dengan atap yang diperbuat daripada buluh atau jerami, tiang kayu yang belum diproses serta dinding daripada tanah adalah berasingan daripada kediaman utama; salah satu sebab keseluruhan upacara menjadi hobi eksklusif golongan bangsawan kerana mereka sahaja yang mampu memiliki tempat sedemikian. Dengan adanya bilik yang diperuntukkan, peminum teh dapat mengasingkan diri daripada keperluan harian dengan lebih mudah.

Rumah minum teh tidak besar, mungkin hanya tiga meter persegi dan hampir sepenuhnya kosong. Barangkali ada tandas di bilik berasingan dan cahaya masuk melalui tingkap dan skrin kertas. Lantai diperbuat daripada tikar tatami. Tetamu masuk melalui pintu kecil yang cuma setinggi 90 cm (3 kaki), perlu membongkok dan ini melambangkan semua yang hadir adalah setaraf dalam konteks upacara minum teh. Sebelum masuk, tetamu perlu mencuci tangan dalam besen batu (*chozu-bachi*) yang disediakan untuk tujuan tersebut. Ciri lain yang biasa dilihat ialah lampu bebas yang diperbuat daripada batu, juga terletak di luar.

[ ![Japanese Tea Room](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10805.jpg?v=1739611204) Bilik Minum Teh Jepun Angelina Earley (CC BY-NC-ND) ](https://www.worldhistory.org/image/10805/japanese-tea-room/ "Japanese Tea Room")Bilik atau rumah minum teh zaman pertengahan yang sederhana dicontohi oleh rumah persendirian hingga kini. Kebarangkalian di dalam terdapat bunga yang digubah mengikut prinsip estetik seni gubahan bunga Jepun yang dikenali sebagai *ikebana*. Bunga atau rumput dipilih mengikut musim dan diletakkan dalam jambangan (*hanaire*) yang diperbuat daripada gangsa, tembaga, porselin atau buluh. Harus juga ada lukisan di atas tatal kain sutera tergantung (*jiku*). Pilihan subjek yang sesuai mencerminkan kecitrawanan hos. Landskap ialah pilihan utama atau contoh terbaik dalam kaligrafi. Sentuhan akhir boleh jadi bekas dupa. Semua unsur hiasan ini seharusnya memberikan suasana yang harmoni dan tenang.

Satu cara membantu mencapai suasana yang tenang adalah dengan memberikan pemandangan berpadanan dengan bilik minum teh. Pemandangan yang lebih digemari ialah taman landskap yang dijaga rapi. Alternatifnya ialah taman batuan Zen iaitu taman landskap kering yang sangat minimalis (*karesansui*) dan terdiri daripada pasir atau kerikil yang disusun rapi serta beberapa batu pilihan. Akhir sekali ialah jenis taman yang direka bukan untuk dilihat tetapi untuk menenangkan tetamu ketika menuju ke rumah minum teh zaman pertengahan (atau yang setara moden untuk mereka yang mempunyai ruang luaran). Taman kecil atau *cha-niwa* ini biasanya mempunyai laluan batu loncatan (*tobi-ishi*) dari rumah utama. Kehijauan yang diingini datang daripada tumbuhan yang senantiasa hijau dan bukan daripada bunga. Lumut atau rumput lembut di bawah tapak kaki memberikan ketenangan sebelum upacara minum teh bermula.

[ ![Japanese Tea Ceremony Hishaku & Chawan](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10802.jpg?v=1719731888) Senduk & Cawan Upacara Teh Jepun Penn State (CC BY-NC-ND) ](https://www.worldhistory.org/image/10802/japanese-tea-ceremony-hishaku--chawan/ "Japanese Tea Ceremony Hishaku & Chawan")### Porselin & Perkakas

Taman dan bilik minum teh boleh jadi sukar untuk didapat dan dijaga, malahan mendapatkan semua perkakas yang sesuai untuk minum teh juga tidak mudah, tidak kira zaman dahulu atau sekarang. Pada zaman pertengahan Jepun, teh biasanya disediakan dengan menumbuk dan menggentel daun teh dengan *amazura* (pemanis daripada anggur) atau halia yang kemudiannya dibiarkan kembang dalam air panas yang dididih dalam cerek besi atas arang. Teh ini pekat, hijau dan pahit tetapi keseimbangan rasa boleh dicapai dengan memberikan gula-gula kecil kepada peminum teh. Teh hijau yang digunakan hari ini ialah *matcha* dan mempunyai kualiti terbaik. Daun teh lazimnya dikeringkan, dikisar menjadi serbuk sangat halus, kemudian ditabur dan dikacau dalam air panas. Sekolah minum teh khas dibuka dan mencipta formula serta kaedah penyediaan yang berbeza kerana setiap sekolah mempunyai pendekatan yang digemari dan masih diikuti hingga hari ini. Satu perkara yang disetujui oleh kebanyakan peminum teh ialah hos sepatutnya menyediakan teh itu sendiri bagi membantu meningkatkan suasana intim.

Semua perkakas yang digunakan dalam upacara minum teh seharusnya berkualiti tertinggi. Bukan sahaja porselin yang halus buatannya, bahkan koleksi antik masih digunakan untuk bekas atau *chawan* teh. Hos mungkin menggunakan perkakas lakuer yang elok atau buluh yang diukir dengan cantik atau cerek daripada logam yang dihasilkan dengan sangat teliti - semua perincian ini diperhatikan oleh tetamu. Objek tidak boleh tidak cantik tetapi sederhana dan mempamerkan prinsip estetik Jepun yang penting, iaitu *wabi*. Kualiti lain yang perlu dibangkitkan ialah *sabi*, iaitu kecantikan pudar yang terlihat pada objek terpakai yang sangat disayangi, mendapat patina unik yang hanya boleh diberikan oleh masa.

[ ![Japanese Whisk & Tea Bowl](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10804.jpg?v=1599159604) Pembancuh & Cawan Teh Jepun George Moga (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/10804/japanese-whisk--tea-bowl/ "Japanese Whisk & Tea Bowl")Peralatan asas (*chadogu*) yang digunakan dalam upacara minum teh ialah:

- **Perapian Mudah Alih** (*furo*) - digunakan untuk cerek kecil dan apabila tiada api yang tersedia seperti pada musim panas. Perapian ini boleh diperbuat daripada apa-apa bahan dan diletakkan atas jubin besi khas di lantai yang dikenali sebagai *shikigawara*.
- **Cerek** (*kama*) - digunakan untuk mendidihkan air dan bukannya untuk minum teh. Besi ialah bahan yang paling lazim digunakan walaupun ada yang diperbuat daripada emas atau perak. Bentuk cerek tidak begitu penting tetapi masih mengikut prinsip estetik.
- **Alas Untuk Penutup Cerek & Senduk Air** (*futaoki*) - datang dalam pelbagai bentuk tetapi selalunya berbentuk tikar buluh sederhana.
- **Bekas Air Segar** (*mizusashi*) - diperbuat daripada kayu, porselin atau logam, digunakan untuk menyejukkan air dalam cerek atau mencuci bekas dan peralatan.
- **Kain Pengelap** (*chakin*) - sehelai kain linen atau sutera digunakan untuk mengelap bekas dan peralatan yang telah dicuci.
- **Senduk Air** (*hishaku*) - terdapat dalam pelbagai jenis bergantung pada potongan pemegang.
- **Bekas Air Sisa** (*kensui*) - untuk menadah air sisa selepas mencuci bekas dan peralatan.
- **Bekas Teh** (*chaire* / *natsume*) - terdapat dua jenis bekas teh; satu untuk teh lebih pekat (*chaire*) yang selalunya disimpan dalam beg sutera kecil (*shifuku*) dan satu untuk teh lebih cair (*natsume*). Biasanya diperbuat daripada porselin dengan penutup daripada gading.
- **Senduk Teh** (*chashaku*) - digunakan untuk mencedok teh daripada bekas teh, boleh diperbuat daripada apa-apa bahan.
- **Pembancuh Buluh** (*chasen*) - untuk membancuh teh dan air.
- **Cawan Teh** (*chawan*) - datang dalam pelbagai bentuk, saiz, hiasan dan bahan yang menunjukkan citarasa peribadi hos, bahkan boleh mencerminkan musim atau kegemaran tetamu atau tahap formaliti yang ingin dicapai oleh hos.

[ ![Japanese Matcha Green Tea](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10807.jpg?v=1772482459) Teh Hijau Matcha Jepun Markus Kniebes (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/10807/japanese-matcha-green-tea/ "Japanese Matcha Green Tea")### Tatacara

Setelah segala-galanya siap dari segi persekitaran dan perlengkapan seperti dinyatakan di atas, langkah seterusnya adalah membuat teh. Pergerakan hos dalam upacara minum teh amat diperlukan tetapi bergantung pada sekolah upacara minum teh yang dipilih. Yang penting adalah membuat pergerakan yang minima, tepat, anggun dan terkawal. Selain itu, seseorang harus senyap semasa menyediakan teh. Semua peralatan yang diperlukan seharusnya tersusun di hadapan tetamu dan hanya cerek disembunyikan daripada pandangan mereka. Bekas teh dan pembancuh buluh mula-mula dibersihkan dengan kain. Apabila sudah sedia, air panas dituangkan ke dalam cawan teh tetapi cukup-cukup untuk memanaskan cawan. Kemudian, teh serbuk ditambahkan ke dalam mangkuk yang seterusnya dituang air panas dan campuran ini dikacau untuk menghasilkan buih. Teh seharusnya dihirup sedikit demi sedikit. Apabila semua orang sudah selesai, perkakas dan cawan dicuci dan dikeluarkan daripada pandangan, hanya cerek air ditinggalkan di hadapan tetamu yang diharapkan berpuas hati. Akhir sekali, beberapa perkakas yang lebih halus buatannya mungkin dikembalikan untuk dihargai dan dijadikan buah tutur tetamu.

 This content was made possible with generous support from the [Great Britain Sasakawa Foundation](http://www.gbsf.org.uk/?utm_source=ancient.eu&utm_medium=link&utm_campaign=ancient.eu).

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Beasley, W.G. *The Japanese Experience.* University of California Press, 1999.](https://www.worldhistory.org/books/0520220501/)
- [Deal, W.E. *Handbook to Life in Medieval and Early Modern Japan.* Oxford University Press, 2007.](https://www.worldhistory.org/books/0195331265/)
- [Dougill, J. *Zen Gardens and Temples of Kyoto.* Tuttle Publishing, 2017.](https://www.worldhistory.org/books/480531401X/)
- [Henshall, K. *Historical Dictionary of Japan to 1945.* Scarecrow Press, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/0810878712/)
- [Huffman, J.L. *Japan in World History.* Oxford University Press, 2010.](https://www.worldhistory.org/books/0195368088/)
- [Mason, R.H.P. *A History of Japan.* Tuttle Publishing, 1997.](https://www.worldhistory.org/books/080482097X/)
- [Tsuda, N. *A History of Japanese Art.* Tuttle Publishing, 2009.](https://www.worldhistory.org/books/4805310316/)
- [Yamamura, K. (ed). *The Cambridge History of Japan, Vol. 3.* Cambridge University Press, 2006.](https://www.worldhistory.org/books/0521223547/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Pautan Luaran

- [Chado Tea Ceremony](https://matcha.com/pages/chado-tea-ceremony)
- [The Japanese Tea Ceremony | Essay | The Metropolitan Museum of Art | Heilbrunn Timeline of Art History](https://www.metmuseum.org/toah/hd/jtea/hd_jtea.htm)

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2023, October 12). Upacara Teh Jepun. (E. Shamsuddin, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18299/upacara-teh-jepun/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Upacara Teh Jepun." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. *World History Encyclopedia*, October 12, 2023. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18299/upacara-teh-jepun/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Upacara Teh Jepun." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. *World History Encyclopedia*, 12 Oct 2023, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18299/upacara-teh-jepun/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Ezlyna Shamsuddin](https://www.worldhistory.org/user/ezlynashamsuddi/ "User Page: Ezlyna Shamsuddin"), disiarkan pada 12 October 2023. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

