---
title: Zaman Muromachi
author: Mark Cartwright
translator: Amir Zayyanid
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2021-07-02
---

# Zaman Muromachi

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid)_

Zaman Muromachi (*Muromachi Jidai*, 1333-1573 M) berlangsung sewaktu pusat pemerintahan *shogun* bertempat di sekitar Muromachi, Heiankyo (Kyoto). Pada zaman tersebut, Jepun dikuasai oleh Keshogunan Ashikaga (1338-1573 M) yang menggantikan Keshogunan Kamakura (1192-1333 M). Zaman Muromachi dipenuhi dengan pelbagai kekacauan seperti peperangan, pemberontakan, dan perompakan melibatkan raja-raja feudal dan militan-militan mandiri yang bertebaran di kawasan luar bandar. Bagaimana pun, wujud juga beberapa perkembangan pada zaman ini. Misalnya, Zaman Muromachi menyaksikan Kuil Kinkakuji dan Kuil Ginkakuji dibina di Kyoto, di samping kemajuan dalam sektor perdagangan, perniagaan, kesenian, dan estetika istana. Zaman Muromachi kemudian meniti tahun-tahun terakhirnya selepas Oda Nobunaga mengambil-alih kuasa pada tahun 1568 M dan mengusir *shogun* terakhir Ashikaga lima tahun berikutnya, iaitu pada 1573 M.

### [Zaman Kamakura](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15865/zaman-kamakura/)

Mengimbau secara sekilas, Zaman Kamakura yang mendahului Zaman Muromachi berpanjangan dari tahun 1185 hingga 1333 M. Permulaan zaman ini ditandai oleh penguasaan Minamoto no Yoritomo ke atas Jepun. Pada tahun 1192 M, Yoritomo memilih Kamakura sebagai pusat pemerintahannya yang baru, sambil istananya pula masih tetap bertempat di Heiankyo (Kyoto). Umumnya, dasar-dasar Keshogunan Kamakura memperlihatkan banyak wilayah diagihkan kepada para pengikut setia *shogun*. Namun, keshogunan ini tidak mengalpakan penambahbaikan dalam hal-hal perdagangan dan pertanian. Perkembangan Zen-Buddhisme juga tidak diculaskan, malah ia menjadi antara legasi khusus pada Zaman Kamakura.

Sepanjang kelangsungan zaman tersebut, berkali-kali juga maharaja Jepun melakukan cubaan untuk merebut semula kuasanya dari genggaman shogun. Misalnya pada tahun 1324 dan 1331 M, di mana Maharaja Go-Daigo (memerintah 1318-1339 M) melancarkan penentangan namun tidak berhasil. Dalam cubaannya itu, beliau memanfaatkan khidmat Nitta Yoshisada (hidup 1301-1337 M) dan Ashikaga Takauji. Pukulan hebat buat Keshogunan Kamakura bagaimana pun datang dari serangan Monggol pada tahun 1274 dan 1281 M, yang dilancarkan oleh Kublai Khan (memerintah 1260-1294 M). Cuma mujur, kedua-dua serangan tersebut gagal akibat ribut taufan yang menghancurkan armada Monggol. Pun begitu, ia tidak menamatkan konflik dan malah mendorong Kamakura untuk sentiasa berjaga-jaga andai berlaku serangan kali ketiga yang hakikatnya tidak pernah kunjung tiba. Keadaan berawas sebegini membuatkan kantung kewangan Kamakura menyusut dan seterusnya mengundang kekacauan dari barisan *samurai* yang tidak menerima bayaran seperti biasa. Penguasaan ke atas wilayah-wilayah naungan pula kian melemah sekali gus membenihkan aktiviti rompak-merompak secara berleluasa. Dalam erti kata lain, tempoh ini menyaksikan *shogun-shogun* Kamakura berada dalam posisi yang sangat terdedah dan terancam.

[ ![Emperor Go-Daigo](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/10955.jpg?v=1671437823) Maharaja Go-Daigo Unknown Artist (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/10955/emperor-go-daigo/ "Emperor Go-Daigo")### Pemulihan Kemmu

Sekitar tahun 1333 M, kota Kamakura digempur oleh Nitta Yoshisada. Sebagai susulan, pusat pemerintahan Kamakura pun dipindahkan semula ke Heiankyo atau lebih tepat, di daerah Muromachi yang justeru zaman berikutnya dikenali dengan nama Zaman Muromachi. Tidak lama kemudian, berlaku pula suatu peristiwa yang dikenali sebagai Pemulihan Kemmu (1333-1336 M). Peristiwa ini bermula apabila Ashikaga Takauji yang ditugaskan untuk menangani Maharaja Go-Daigo bertindak bergabung dengan maharaja lalu menyerang Heiankyo. Motif utamanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menduduki gelaran *shogun* menggantikan *shogun* Kamakura. Namun, Go-Daigo enggan mengurniakan gelaran itu kepadanya kerana tidak mahu kembali ke situasi lama – terpuruk tunduk di bawah telunjuk *shogun*. Akibatnya, Takauji pun menggempur dan menundukkan Nitta Yoshisada yang merupakan sekutu terkuat Go-Daigo dalam Pertempuran Minatogawa pada Julai 1336 M lalu menakluki Heiankyo. Kekacauan yang berlaku sepanjang 1330-an ini digambarkan secara ringkas oleh seorang karyawan tidak dikenali di Heiankyo:

> Pembantaian di malam hari, juga rompakan-rompakan bersenjata. Turut berleluasa pemalsuan surat rasmi, dan bertebaran pula wanita-wanita penggoda… kepala-kepala manusia dipenggal, sami-sami mengundur diri, dan orang-orang awam pula mencukur rambut dan membotakkan kepala
> (Huffman, 43)

Buat kali kedua dalam hidupnya, Go-Daigo dibuang negeri. Namun kali ini, beliau berpeluang menubuhkan istananya sendiri di Yoshina, berjarak 95 km (60 batu) dari selatan Heiankyo. Bagi menggantikan Go-Daigo sebagai maharaja boneka, Ashikaga Takauji menaikkan Komyo (memerintah 1336-1348 M) sambil dirinya sendiri diangkat sebagai *shogun* pada tahun 1338 yang sekali gus menandakan bermulanya Keshogunan Ashikaga (atau Keshogunan Muromachi), keshogunan yang memayungi Jepun sehingga tahun 1573 M. Keadaan politik pada waktu itu bagaimana pun agak longgar kerana adanya Go-Daigo yang memerintah secara mandiri sekali gus mewujudkan situasi dua maharaja di Jepun. Situasi ini disebut sebagai ‘Istana Berkembar’ atau ‘Istana Utara dan Selatan’ dan ia hanya berakhir pada tahun 1392 M apabila istana selatan dibubarkan setelah perjanjian dimeterai.

[ ![Ashikaga Takauji](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/10956.jpg?v=1779741868-1739980329) Ashikaga Takauji Unknown Artist (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/10956/ashikaga-takauji/ "Ashikaga Takauji")### Keshogunan Ashikaga

Keshogunan Ashikaga bermula dengan hambar, terutama apabila berlaku perseteruan panjang antara Ashikaga Takauji dan saudaranya Tadayoshi dari tahun 1350 hingga 1352 M. Konflik tersebut dimenangi oleh Takauji setelah Tadayoshi mati diracun, suatu insiden yang mungkin boleh ditudingkan kembali faktornya kepada Takauji.

Sistem pentadbiran Keshogunan Ashikaga tidak banyak berubah dari apa yang telah ditinggalkan oleh Keshogunan Kamakura, kecuali beberapa penambahan. Misalnya, jawatan pembantu *shogun* (*kanrei*) dibentuk bagi mengisi ruang di antara *shogun* dan gabenor-gabenor wilayah. Pemantauan khusus terhadap kota Kamakura juga dilakukan bagi memastikan keluarga Hojo tidak bangkit memberontak. Tugas tersebut digalaskan ke atas bahu gabenor Kanto. Beberapa daerah lain yang dilihat berpotensi menghadirkan ancaman terhadap pentadbiran pusat turut diberikan pemantauan rapi. Antaranya seperti daerah Honshu dan Kyushu.

Walaupun sedikit ironi bagi zaman yang dipenuhi kekacauan sosial, *shogun-shogun* Ashikaga sebenarnya ada menambahkan beberapa undang-undang baru ke dalam kod perundangan sedia ada. Ashikaga Takauji sebagai contoh, menambah 17 akta yang kebanyakannya berkaitan perilaku *samurai*. Akta-akta tersebut secara umum diinspirasikan daripada 17 akta dalam perlembagaan yang digubal oleh Putera Shotoku (pemangku Jepun pada 594-622 M). Pembaharuan lain yang berlaku pada zaman ini adalah dasar penjatuhan hukuman. Pada Zaman Muromachi, hukuman tidak hanya dijatuhkan ke atas penjenayah yang telah disabitkan kesalahan. Akan tetapi, ahli keluarga dan jiran tetangga juga boleh dikenakan hukuman yang sama. Dasar ini disebut sebagai *renza* (atau *enza*). Walaupun sejarawan tidak dapat memastikan sama ada dasar ini berhasil menurunkan kadar jenayah ataupun tidak, apa yang pasti ia mendorong masyarakat setempat untuk menyelesaikan kes-kes jenayah sebelum ia sampai ke pengetahuan pusat.

Dalam sudut pengagihan kuasa, *shogun* Ashikaga memegang autoriti ke atas wilayah pusat dengan dibantu oleh lembaga pentadbirannya yang tersendiri. Wilayah-wilayah lain pula ditadbir secara separa-merdeka di bawah kendalian raja-raja feudal (*daimyo*). Keadaan ini hakikatnya menyukarkan pegawai tempatan dan pengurus estet (seperti *jito*) untuk mengutip cukai kerana rata-rata *daimyo* tidak segan untuk mengangkat muka kepada pemerintahan pusat. Oleh kerana itu, pemerintahan pusat terpaksa mencari jalan lain untuk mengisi perbendaharaan negara. Cubaan mereka dilihat berkesan dalam meningkatkan ekonomi; misalnya, kutipan cukai makin bertambah susulan dua keadaan, iaitu pemilik-pemilik tanah dan kuil makin giat meminjam wang bagi mengembangkan usaha sedia ada, dan perniagaan-perniagaan kecil pula tumbuh dengan makin pesat. Satu lagi langkah yang dilakukan oleh *shogun* Ashikaga adalah memperkenalkan tol jalan dan yuran kuil. Perdagangan antarabangsa juga berjalan dengan baik pada Zaman Muromachi, di mana Jepun akhirnya menjalinkan hubungan peruftian dengan Dinasti Ming bermula pada tahun 1401 M. Kesannya, Maharaja Ming memperakui *shogun* Ashikaga sebagai ‘penguasa Jepun’ dan seterusnya membolehkan pertukaran barang-dagangan antara kedua-dua negara itu berlaku. Antara barangan yang dibawa masuk ialah barangan seramik, kain sutera, dan syiling gangsa, manakala Jepun pula mengeksport pedang, bijih tembaga, dan kayu-kayan.

[ ![Golden Pavilion, Kinkaku-ji](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/6672.jpg?v=1633790702) Astaka Emas, Kinkaku-ji James Blake Wiener (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6672/golden-pavilion-kinkaku-ji/ "Golden Pavilion, Kinkaku-ji")Walaupun Zaman Muromachi memperlihatkan banyak berlakunya kekacauan dan kebuluran akibat cuaca yang tak menentu, untuk jangka masa yang panjang, sektor pertanian boleh dikatakan berkembang dengan baik berkat beberapa pembaharuan seperti sistem penanaman berganda (*double-cropping*) dan amalan pembajaan yang dimulakan sejak Zaman Kamakura lagi. Desa-desa juga mengalami perkembangan, baik dari segi saiz mahupun bilangan, memandangkan para petani hidup secara berkelompok demi meraih keselamatan dan memaksimakan pengeluaran hasil. Mereka turut bersama-sama membangun dan memanfaatkan kemudahan-kemudahan awam seperti saliran dan kincir air. Dalam suasana yang jauh dari pengaruh pemerintahan pusat, desa-desa ini ditadbir secara mandiri. Lembaga-lembaga kecil (disebut sebagai *so*) dibentuk bagi menghakimi keadaan, menyelia majlis-majlis keraian, dan menggariskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi seluruh masyarakat setempat. Beberapa buah desa bahkan bergabung dan membentuk sebuah kelompok atau *ikki* demi kemanfaatan bersama.

Secara umum, golongan petani menempuh masa-masa yang baik pada zaman ini walaupun kaum wanita mereka kurang menikmati hak keistimewaan sebagaimana pada Zaman Kamakura. Sebagai contoh, terdapat satu ketetapan di mana pengantin perempuan perlu hidup bersama keluarga suami dan mematuhi mereka. Walaupun kaum wanita masih dibenarkan untuk mewarisi harta, ia tidak membawa sebarang makna kerana tanah milik keluarga tetap akan diwarisi oleh anak lelaki sulung demi mengelakkan tanah dibahagi-bahagikan sehingga menjadi terlalu kecil.

Pada tahun 1543 M, Jepun buat pertama kalinya berinteraksi dengan Eropah apabila tiga orang Portugis terdampar akibat kapal jong China yang ditumpangi mereka dibadai ribut. Mereka berlabuh di Tanegashima, selatan Kyushu, dengan membawa bersama senjata-senjata api yang kemudian cara pembuatannya dipelajari oleh bijak pandai Jepun. Semenjak itu, lebih ramai orang Eropah menyusul termasuklah mubaligh-mubaligh Kristian. Mubaligh yang paling masyhur ialah Francis Xavier, seorang Jesuit Sepanyol yang mengunjungi Kagoshima pada tahun 1549 M. Agama tersebut kemudian diamalkan oleh sebilangan *daimyo* yang melihatnya sebagai tiket untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan orang-orang Eropah yang berkunjung ke Asia Timur.

### Perang Onin

Perang Onin (1467-1477 M) merupakan sebuah perang saudara yang namanya diambil dari nama era berlangsungnya perang tersebut (era Ōnin, yang menyusuli era Bunshō dan mendahului era Bunmei). Tempoh peperangan ini juga sering dikenali sebagai Zaman Sengoku atau Zaman Negara-Negara Berperang (1467-1548 M), di mana ia dipenuhi dengan kekacauan, peperangan, dan pengkhianatan antara para daimyo yang seterusnya membawa kepada berleluasanya aktiviti rompakan dan keganasan buat rakyat awam. Jepun ketika itu seakan berperang dengan dirinya sendiri, dan para pemerintahnya pula membentur ke arah kehancuran. Suasana zaman tersebut digambarkan secara umum oleh sebuah puisi tanpa nama yang dikarang sekitar tahun 1500 M yang berbunyi:

> Seekor burung dengan 
> satu tubuh dan 
> dua paruh, 
> mematuk diri sendiri sehingga ia 
> terbunuh.
> (Henshall, 243)

Punca awal berlakunya Perang Onin yang berlangsung sedekad ini adalah perseteruan antara klan Hosokawa dan klan Yamana. Ia kemudian melibatkan hampir kesemua klan berpengaruh dan seterusnya membawa kemusnahan yang besar di Heiankyo. Umumnya, konflik tersebut berkisar seputar sokongan setiap pihak terhadap calon *shogun* yang berlainan – suatu perseteruan yang boleh dikatakan tidak bermakna kerana *shogun* tidak lagi berkuasa seperti dahulu kala. Sejarawan bagaimana pun melihat konflik ini sebagai susulan dari sikap agresif *daimyo-daimyo* Jepun yang mahu memperagakan kekuatan *samurai* masing-masing – sama ada untuk tujuan baik mahupun buruk. Justeru walaupun perang berakhir pada tahun 1477 M, masing-masing enggan menyudahkan aktiviti ketenteraan yang memecahbelahkan Jepun buat kurun berikutnya memandangkan tidak seorang pun dari mereka berjaya mencapai dominasi yang unggul.

[ ![Silver Pavilion, Ginkaku-ji](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/10616.jpg?v=1734376868) Astaka Perak, Ginkaku-ji Kalexander2010 (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/10616/silver-pavilion-ginkaku-ji/ "Silver Pavilion, Ginkaku-ji")### Pencapaian Seni Bina & Kebudayaan

Banyak bangunan penting dibina pada Zaman Muromachi. Misalnya, Kuil Kinkakuji atau ‘Kuil Astaka Emas’ – dipanggil sebegitu kerana bahagian luarnya ditatahi lapisan yang berkilauan – dibina di Heiankyo pada tahun 1397 M, disusuli oleh kuil kembarnya, iaitu Ginkakuji atau ‘Kuil Astaka Perak Yang Nyaman’ yang siap pada tahun 1483 M. Kedua-dua kuil ini pada asalnya adalah rumah istirahat buat bekas-bekas *shogun* sebelum diubah menjadi kuil Buddha. Begitu juga halnya dengan Ryoanji (1473 M) yang kini menjadi taman Zen paling kerap dikunjungi di Jepun.

Zaman Muromachi turut menyaksikan berkembangnya [Upacara Teh Jepun](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-18299/upacara-teh-jepun/) dan bilik teh. Upacara Teh sememangnya diperkenalkan ke Jepun jauh lebih awal oleh sami-sami Buddha-Zen. Namun pada Zaman Muromachi, berkat sentuhan sami Murato Shuko (1422-1502 M) dan shogun Ashikaga Yoshimasa (memerintah 1449-1473 M, ia menjadi sebuah upacara yang lebih rasmi dan rapi yang kini dikenali sebagai *chanoyu*).

Satu lagi perkembangan budaya yang muncul pada zaman ini ialah gubahan bunga dan teater Noh, di mana kedua-duanya turut mempunyai akar dalam upacara keagamaan dan istiadat di kuil. Agama Zen juga memberikan pengaruh yang signifikan dalam seni lukisan, sebagaimana yang dicerminkan oleh karya seorang sami Zen bernama Sesshu (nama sebenarnya ialah Toyo, 1420-1506 M). Beliau mempunyai kekhususan dalam *suiboku*, iaitu seni lukisan yang hanya menggunakan dakwat hitam dan air pada lembaran kertas putih. Gaya lukisannya pula bersifat sederhana, dengan subjek-subjek lanskapnya dilukis dengan ekawarna. Karya Sesshu secara umum dianggap sebagai antara karya terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah Jepun.

[ ![Landscape by Sesshu](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/10954.jpg?v=1604556905) Lanskap oleh Sesshu Sesshu (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/10954/landscape-by-sesshu/ "Landscape by Sesshu")Akhir sekali, disebabkan adanya ancaman secara berterusan dari peperangan dan aktiviti rompakan pada Zaman Muromachi, istana-istana dibina dengan lebih kerap berbanding sebelumnya – baik di bandar, lereng gunung, mahupun estet yang luas. Istana estet yang kemudian direka menjadi rumah agam berkubu, dikenali sebagai *yashiki*. Antara contoh bagi menggambarkan bentuk istana sebegini ialah Ichijodani (pangkalan keluarga Asakura) dan istana berparit Tsutsujigasaki (milik keluarga Takeda). Istana-istana seperti Omi-Hachiman (berhampiran Tasik Biwa) yang pembinaannya mendorong kepada terbangunnya sebuah bandar baru di sekelilingnya pula disebut sebagai *jokomachi*. Binaan istana pada zaman ini masih belum mencapai bentuk istana batu bertingkat seperti pada zaman berikutnya, namun ia secara umum memiliki elemen pertahanan yang maju walau dibina menggunakan kayu. Istana pada Zaman Muromachi kebiasaannyadibangunkan di atas batu asas, dengan struktur keseluruhannya merangkumi tembok, menara, dan pintu gerbang yang masing-masing dilengkapi jendela-jendela kecil untuk kegunaan para pemanah. Pada struktur-struktur itu turut diikatkan batu-batuan tongkol bagi tujuan pertahanan – dijatuhkan ke atas pihak yang menyerang.

### Kemunduran & Oda Nobunaga

Kemunduran Zaman Muromachi bermula apabila Keshogunan Ashikaga dijatuhkan oleh Oda Nobunaga (hidup 1354-1582 M). Oda Nobunaga secara bertahap memperluaskan wilayahnya sepanjang tahun 1550/60-an, dengan pusat kekuasaannya bertapak di Istana Nagoya. Beliau kemudian menakluki Heiankyo pada tahun 1568 M dan seterusnya mengusir *shogun* terakhir Ashikaga, iaitu Ashikaga Yoshiaki, pada tahun 1573 M. Yoshiaki yang menjadi boneka mainan Nobunaga secara teknikalnya masih menduduki jawatan *shogun* sehingga tahun 1588 M namun tanpa sebarang kuasa memandangkan segala hal-ehwal pentadbiran dan kerajaan didominasi oleh para *daimyo*. Nobunaga berkuasa sehingga tahun kematiannya, iaitu pada 1582 M dan usaha penyatuan Jepun diteruskan oleh para penggantinya, iaitu Toyotomi Hideyoshi (1537-1598 M) dan [Tokugawa Ieyasu](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-19652/tokugawa-ieyasu/) (1543-1616 M) pada zaman berikutnya yang dikenali sebagai Zaman Azuchi-Momoyama (1568/73-1600 M).

 This content was made possible with generous support from the [Great Britain Sasakawa Foundation](http://www.gbsf.org.uk/?utm_source=ancient.eu&utm_medium=link&utm_campaign=ancient.eu).

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Beasley, W.G. *The Japanese Experience.* University of California Press, 2000.](https://www.worldhistory.org/books/0520225600/)
- [Deal, W.E. *Handbook to Life in Medieval and Early Modern Japan.* Oxford University Press, 2007.](https://www.worldhistory.org/books/0195331265/)
- [Ebrey, P.B. *Pre-Modern East Asia.* Wadsworth Publishing, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/1133606512/)
- [Henshall, K. *Historical Dictionary of Japan to 1945.* Scarecrow Press, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/0810878712/)
- [Huffman, J.L. *Japan in World History.* Oxford University Press, 2010.](https://www.worldhistory.org/books/0195368088/)
- [Tsuda, N. *A History of Japanese Art.* Tuttle Publishing, 2009.](https://www.worldhistory.org/books/4805310316/)
- [Turnbull, S. *Japanese Castles AD 250-1540.* Osprey Publishing, 2008.](https://www.worldhistory.org/books/1846032539/)
- [Yamamura, K. (ed). *The Cambridge History of Japan, Vol. 3.* Cambridge University Press, 2001.](https://www.worldhistory.org/books/0521223547/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Garis masa

- **1246 CE - 1259 CE**: Reign of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Emperor Go-Fukakusa.
- **1259 CE - 1274 CE**: Reign of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Emperor Kameyama.
- **1318 CE - 1339 CE**: Go-Daigo reigns as [emperor of Japan](https://www.worldhistory.org/Emperor_of_Japan/).
- **c. 1333 CE**: Nitta Yoshisada attacks and destroys [Kamakura](https://www.worldhistory.org/Kamakura/), capital of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Kamakura Shogunate.
- **1333 CE**: The position of deputy [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) (kanrei) is created in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1333 CE - 1336 CE**: The Kenmu Restoration when the Japanese emperor Go-Daigo uses rebel warlords to oust the [Kamakura](https://www.worldhistory.org/Kamakura/) Shogunate.
- **1333 CE - 1573 CE**: The [Muromachi period](https://www.worldhistory.org/Muromachi_Period/) of [medieval Japan](https://www.worldhistory.org/Medieval_Japan/).
- **1336 CE**: Ashikaga Takauji captures [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto).
- **Jul 1336 CE**: Ashikaga Takauji defeats Emperor Go-Daigo's chief ally Yoshisada at the [battle](https://www.worldhistory.org/disambiguation/battle/) of Minatogawa near Kobe.
- **1337 CE - 1392 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) has two competing emperors: the 'Northern and Southern Courts.
- **1338 CE**: Ashikaga Takauji becomes the new [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/), it is the beginning of the Ashikaga (Muromachi) Shogunate.
- **1338 CE - 1358 CE**: Ashikaga Takauji rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1338 CE - 1573 CE**: The Ashikaga (Muromachi) Shogunate rules [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1350 CE - 1352 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) Ashikaga Takauji battles his brother Tadayoshi.
- **1359 CE - 1368 CE**: Ashikaga Yoshiakira rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1368 CE - c. 1394 CE**: Ashikaga Yoshimitsu rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1395 CE - 1423 CE**: Ashikaga Yoshimochi rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1397 CE**: The [Kinkakuji](https://www.worldhistory.org/Kinkakuji/) or 'Golden Pavilion' is built in [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto) by the [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) Ashikaga Yoshimitsu.
- **1401 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) joins the tribute system of [China](https://www.worldhistory.org/china/)'s [Ming Dynasty](https://www.worldhistory.org/Ming_Dynasty/).
- **1420 CE - 1506 CE**: Life of the celebrated Zen priest and artist Sesshu (real name Toyo)
- **1423 CE - 1425 CE**: Ashikaga Yoshikazu rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1429 CE - 1441 CE**: Ashikaga Yoshinori rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1442 CE - 1443 CE**: Ashikaga Yoshikatsu rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1449 CE - 1474 CE**: Ashikaga Yoshimasa rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1460 CE - 1483 CE**: [Ginkakuji](https://www.worldhistory.org/Ginkakuji/) [Temple](https://www.worldhistory.org/temple/) ([Silver](https://www.worldhistory.org/Silver/) Pavilion) is built in [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kytoto) [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) by Ashikaga Yoshimasa.
- **1467 CE - 1477 CE**: The Onin [War](https://www.worldhistory.org/disambiguation/War/) between rival warlords rages in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1467 CE - 1568 CE**: The [Sengoku Period](https://www.worldhistory.org/Sengoku_Period/) or [Warring States Period](https://www.worldhistory.org/Warring_States_Period/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1473 CE**: [Ryoanji](https://www.worldhistory.org/Ryoanji/) in [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto) becomes a Zen [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/).
- **1474 CE - 1489 CE**: Ashikaga Yoshihisa rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1490 CE - 1493 CE**: Ashikaga Yoshitane rules in his first spell as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1494 CE - 1508 CE**: Ashikaga Yoshizumi rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 1500 CE**: The famous Zen rock garden at [Ryoanji](https://www.worldhistory.org/Ryoanji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) in [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto) is laid out.
- **1508 CE - 1521 CE**: Ashikaga Yoshitane rules in his second spell as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1521 CE - 1546 CE**: Ashikaga Yoshiharu rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1543 CE**: The first European contact is made with [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) when three Portuguese traders have their ship blown onto the shores of southern Kyushu.
- **1546 CE - 1565 CE**: Ashikaga Yoshiteru rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1568 CE**: Ashikaga Yoshihide rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1568 CE - 1582 CE**: [Oda Nobunaga](https://www.worldhistory.org/Oda_Nobunaga/) seizes [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto) and is the dominant military leader in central [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1568 CE - 1588 CE**: Ashikaga Yoshiaki rules as [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) (but is exiled by [Oda Nobunaga](https://www.worldhistory.org/Oda_Nobunaga/) from 1573 CE).
- **1573 CE**: [Oda Nobunaga](https://www.worldhistory.org/Oda_Nobunaga/) exiles the last Ashikaga [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/), Yoshiaki.

## Pautan Luaran

- [Muromachi Period (1392–1573) | Essay | The Metropolitan Museum of Art | Heilbrunn Timeline of Art History](https://www.metmuseum.org/toah/hd/muro/hd_muro.htm)

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2021, July 02). Zaman Muromachi. (A. Zayyanid, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Zaman Muromachi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, July 02, 2021. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Zaman Muromachi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, 02 Jul 2021, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16183/zaman-muromachi/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid/ "User Page: Amir Zayyanid"), disiarkan pada 02 July 2021. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

