---
title: Kagutsuchi
author: Mark Cartwright
translator: Amir Zayyanid
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16146/kagutsuchi/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2020-10-29
---

# Kagutsuchi

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid)_

Kagutsuchi (atau Hi-no-Kagutsuchi) adalah dewa atau kami api dalam ajaran Shinto dan ia turut dikenali dengan nama Homusubi. Sebagai anak kepada [Izanami dan Izanagi](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11626/izanami-dan-izanagi/), dewa api ini bertanggungjawab melahirkan beberapa dewa lain, antaranya lapan dewa pahlawan dan lapan dewa gunung. Dalam sebuah tamadun yang bangunan-bangunannya banyak dibina daripada kayu dan kertas, api dilihat sebagai unsur yang sangat menghancurkan dan hal ini menjadikan Kagutsuchi sebagai satu elemen penting dalam ritual Shinto, di samping ia banyak menerima persembahan korban keagamaan.

### Salasilah & Zuriat Keturunan

Menurut karya kurun ke-8 Masehi yang berjudul *Kojiki* ('Catatan Hal-Hal Silam') dan *Nihon Shoki* ('Hikayat Jepun' yang turut dikenali sebagai Nihongi), Kagutsuchi-no-kami dilahirkan sebagai anak kepada Izanami, salah satu dewa pencipta Shinto. Namun semasa Kagutsuchi dilahirkan, haba apinya terlalu panas hingga ia mengakibatkan kematian Izanami. Keadaan ini membangkitkan kemarahan Izanagi yang langsung sahaja memenggal kepala Kagutsuchi dengan menggunakan pedang besarnya yang bernama Ame-no-o-habari-no-kami. Darah yang terpecik ke batu-batuan di sekitar dan darah yang menitis dari pedang Izanagi kemudian melahirkan lapan dewa yang kesemuanya merupakan *kami* pemedang yang handal. Dua dewa yang paling utama di antara kelapan-lapan dewa tersebut ialah Takemikazuchi-no-kami dan Futsunushi-no-kami. Takemikazuchi dikenali sebagai dewa petir dan dewa pelindung seni bela diri, yang antara kisah masyhur seputarnya melibatkan beliau menewaskan Namazu, sang ikan keli gergasi yang hidup di bawah permukaan bumi dan sering mengakibatkan berlakunya gempa bumi hanya dengan membolak-balikkan ekornya.

Dua lagi dewa yang lahir daripada darah Kagutsuchi ialah Kuraokami-no-kami yang wataknya ada diperihalkan di dalam antologi puisi *Manyoshu* (disusun c. 759 M) sebagai seekor naga dan dewa hujan, serta Amatsumikaboshi si *kami* bintang Zuhrah yang turut dikenali dengan nama Amenokagasewo.

Selepas berlalunya peristiwa pemenggalan kepala Kagutsuchi, legenda dilanjutkan dengan kelahiran lapan dewa dari setiap anggota tubuh dewa api tersebut, bermula daripada kaki kiri hingga ke kemaluannya. Antaranya adalah dewa-dewa gunung yang mewakili pelbagai jenis gunung seperti gunung berhutan, gunung yang terdedah puncaknya, pergunungan yang jauh, gunung yang menyimpan besi, gunung yang berlurah-lembah, dan juga gunung berapi. Legenda Kagutsuchi yang melibatkan penciptaan besi dan pedang mungkin merupakan penerangan secara mitologi tentang ketibaan teknologi besi dan barangan logam di Jepun yang dibawa masuk oleh pendatang-pendatang dari tanah besar Asia pada awal Zaman Yayoi (c. 300 SM atau lebih awal sehingga 250 M), di mana kebanyakan mereka mungkin adalah pahlawan.

Dalam sebuah versi penceritaan atau mungkin jua bahagian yang ditokok tambah sebagaimana yang dicatatkan dalam karya kurun ke-10 M berjudul *Engishiki*, sebelum kematiannya Izanami sempat bersembunyi dan melahirkan tiga dewa lain; iaitu *kami* air bernama Mizuhame-no-mikoto, puteri tanah liat, si labu, dan rumpai laut. Keempat-empat mereka diperintahkan oleh Izanami untuk menjaga Kagutsuchi dan menenteramkannya pada masa-masa getir. Dalam tradisi Jepun, peralatan memadam api yang lazim digunakan adalah air yang diisi ke dalam labu sayong, rumpai laut dan tanah liat. Bahkan sehingga ke hari ini di sebahagian wilayah Jepun, terdapat satu ritual yang diamalkan pada pertengahan musim sejuk di mana rumpai-rumpai laut diletakkan di hujung atap bagi membantu memadam api andai berlaku kebakaran.

### Api Dalam Ritual-Ritual Shinto

Sejak sekian lama, masyarakat Jepun menyimpan rasa takut terhadap api dan kemusnahan yang diakibatkan olehnya, memandangkan bangunan-bangunan Jepun lazimnya dibina daripada dinding kayu dan kertas serta bumbungnya pula diperbuat daripada rumput yang mudah terbakar. Kurun demi kurun, banyak bangunan dan kuil penting di Jepun hangus dimamah api kebakaran dan pada Zaman Edo (1603-1858 M), ibu kota Edo (Tokyo moden) kerapkali dilanda kebakaran sehingga ia dikenali sebagai 'bunga-bunga Edo'.

Oleh hal yang demikian, tidak hairan apabila upacara-upacara yang bertujuan untuk menenteramkan dan menghalau Kagutsuchi dijadikan sebagai unsur signifikan dalam ritual Shinto. Dalam ritual-ritual tersebut, Kagutsuchi kebiasaannya dipanggil sebagai Homusubi yang membawa maksud 'dia yang menyalakan api kebakaran'. Masyarakat [Jepun purba](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/) malahan turut mendedikasikan sebuah upacara yang disambut dua kali setahun buat Kagutsuchi, iaitu upacara *Ho-shizume-no-matsuri* yang kerap diadakan oleh pihak istana memandangkan kompleks bangunan diraja lazim menjadi mangsa kebakaran. Upacara tersebut diadakan bagi menenteramkan dewa dan memohon supaya ia menahan apinya selama enam bulan. Api Kagutsuchi yang bersifat menghancurkan dilihat kontra dengan api penyucian dalam ritual Shinto yang dikenali sebagai *kiri-bi*, yang secara tradisinya ia dinyalakan dengan menggeserkan dua keping kayu *hinoki*.

Adakalanya Kagutsuchi disamakan dengan Atago Gongen, iaitu satu lagi *kami* api yang dianggap sebagai avatar Jizo, seorang tokoh Buddha. Namun pada hakikatnya, Atago Gongen merupakan figura yang bersifat lebih positif dalam mitologi Jepun dan ia berperanan sebagai pemelihara api dan pelindung manusia dari dibakar oleh unsur tersebut.

 This content was made possible with generous support from the [Great Britain Sasakawa Foundation](http://www.gbsf.org.uk/?utm_source=ancient.eu&utm_medium=link&utm_campaign=ancient.eu).

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Anonymous. *Kojiki.* Princeton University Press, 2015.](https://www.worldhistory.org/books/0691622078/)
- [Ashkenazi, M. *Handbook of Japanese Mythology.* Oxford University Press, 2008.](https://www.worldhistory.org/books/0195332628/)
- [Hackin, J. *Asiatic Mythology.* Thomas Y. Crowell Company, 1963.](https://www.worldhistory.org/books/B000HTLNIC/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Garis masa

- **712 CE**: The [Kojiki](https://www.worldhistory.org/Kojiki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **720 CE**: The [Nihon Shoki](https://www.worldhistory.org/Nihon_Shoki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2020, October 29). Kagutsuchi. (A. Zayyanid, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16146/kagutsuchi/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Kagutsuchi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, October 29, 2020. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16146/kagutsuchi/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Kagutsuchi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, 29 Oct 2020, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16146/kagutsuchi/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid/ "User Page: Amir Zayyanid"), disiarkan pada 29 October 2020. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

