---
title: Tamadun Tairona
author: Prapti Panda
translator: Amir Zayyanid
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2020-07-01
---

# Tamadun Tairona

Ditulis oleh [Prapti Panda](https://www.worldhistory.org/user/praptip20/)_
Diterjemahkan oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid)_

Tamadun Tairona – salah satu suku penutur bahasa Chibcha – berkembang pesat di bahagian utara Colombia pada tahun 200 hingga 1600 M. Sama seperti Muisca dan Cundinamarca, Tairona dikenali menerusi kemahiran mereka dalam bidang pembuatan dan penempaan logam, terutama penempaan emas. Mereka secara umumnya menghuni wilayah Sierra Nevada de Santa Marta di Magdalena moden, dan meninggalkan banyak bukti arkeologi yang memberikan gambaran terhadap gaya hidup mereka. Agak mengejutkan, gaya hidup mereka agak maju walaupun kedudukannya agar terpinggir jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun lain yang lebih membangun.

### Tinjauan Sejarah

Tidak hanya mahir dalam sektor penempaan logam, tamadun Tairona juga menguasai sektor pertanian dengan baik. Penemuan-penemuan arkeologi seawal 200 M mendapati bahawa mereka mempunyai kepakaran dalam pertanian teres, pembinaan terusan dan pembinaan tapak-tapak asas daripada batu. Namun, kemasyhuran mereka tidaklah disumbangkan oleh faktor-faktor ini. Sebaliknya, mereka lebih dikenang sebagai suku yang gagah dalam medan tempur di mana hal ini menjadikan mereka sebagai salah satu suku yang paling sukar ditundukkan oleh *conquistador* Sepanyol yang sebelum itu telah pun berjaya menggulingkan empayar Inca, Aztec dan Maya tanpa menghadapi banyak kesukaran. Peperangan antara Tairona dan *conquistador* berlangsung selama lebih 75 tahun.

Justeru tidaklah mengejutkan apabila ramai tentera Sepanyol yang mengagumi tamadun tersebut dan mencatatkan perihal suku yang gagah lagi misteri ini. Ramai penghikayat yang mencatatkan tentang gaya hidup masyarakat Tairona, sistem perdagangan mereka, kepercayaan agama dan kekurangan minat mereka terhadap nilai wang ringgit pada barangan logam berharga. Oleh hal yang demikian, tidaklah begitu mengejutkan jika Tairona dipercayai mempunyai kaitan dengan suku Muisca, kerana kedua-dua tamadun ini berkongsi sistem pembahagian kuasa dan idea signifikasi spiritual emas yang sama.

### Tapak-Tapak Penting

Masyarakat Tairona terpaksa meninggalkan petempatan mereka sekitar pertengahan kurun ke-17 M, dan hutan belantara menyelimuti hampir kesemua kesan tinggalan mereka. Apapun, sebahagian daripadanya masih kekal bagi memperingati kebudayaan mereka yang mengagumkan.

[ ![Pre-Columbian Tribes of Northern South America](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/5394.png?v=1662462071) Suku Pra-Columbia Amerika Selatan Utara Cookie (GNU FDL) ](https://www.worldhistory.org/image/5394/pre-columbian-tribes-of-northern-south-america/ "Pre-Columbian Tribes of Northern South America")Salah satu petempatan mereka yang paling masyhur ialah Ciudad Perdida (Kota Yang Hilang). Dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Teyuna, petempatan ini ditubuhkan pada sekitar 800 M, iaitu 600 tahun sebelum Machu Picchu dibangunkan. Ia merupakan salah sebuah tapak arkeologi pra-Columbia yang paling penting di Amerika Selatan. Petempatan ini boleh diakses melalui sebuah trek panjang di sepanjang dedaunan hutan tebal dan melibatkan kira-kira 1200 buah anak tangga. Menurut anggaran, Ciudad Perdia berupaya menampung penduduk seramai 2000 hingga 8000 orang. Sehingga kini, usaha ekskavasi yang dilakukan baru sekadar meliputi sebahagian kecil daripada keseluruhan kota agung ini. Hasil penemuan setakat ini cukup mengagumkan; kira-kira 250 buah teres lumpur dan batu dijumpai, di mana ia berfungsi sebagai platform perumahan dan meliputi kawasan seluas 300 000 meter persegi di tanah yang ditumbuhi tumbuhan tebal. Ekskavasi-ekskavasi yang lebih terkini turut menemukan sejumlah barangan menarik; perhiasan, emas, tembikar, dan bahkan alat musik.

Sebuah lagi tapak lain bagi tamadun ini, iaitu Pueblito, terletak berhampiran pantai Carribean. Menurut hasil penyelidikan yang telah dijalankan, tapak tersebut mengandungi setidak-tidaknya 254 buah teres dan menampung populasi kira-kira 3000 orang. Pada masa dahulu, terdapat sejumlah kampung dan dusun di sepanjang lembah, seterusnya membentuk rangkaian hubungan yang cukup besar sekaligus meningkatkan aktiviti perdagangan dan aktiviti-aktiviti lain. Hakikatnya, Tairona bahkan terlibat dalam sektor penghasilan garam, sebagaimana yang didapati di Chengue, sebuah kampung nelayan kecil.

### Masyarakat

Tairona mempunyai sistem pemerintahan yang berteraskan agama. Para pemerintah mereka merupakan sebahagian daripada elit *shaman* yang kononnya berupaya mengawal semangat alam, kosmos dan segala fikiran serta tindakan manusia. Salah satu kepercayaan utama masyarakat Tairona adalah proses transformasi. Proses ini melibatkan satu pertukaran kuasa perdukunan yang agak tipikal. Dengan mengosongkan minda dan tubuh, tempoh puasa yang panjang, dan ritual tarian yang memenatkan, mereka percaya bahawa jiwa seorang dukun boleh mencapai tahap yang melangkaui tahap manusia biasa sekaligus meraih pengetahuan dari alam ghaib serta dari kosmos yang tidak boleh dimasuki oleh orang awam. Justeru, *shaman* atau dukun dianggap sebagai ketua suku dan dilayan dengan penuh penghormatan. Dukun ini bertanggungjawab menghimpunkan tentera, mengatur aktiviti pertanian, memantau kebajikan masyarakat, dan bahkan menyelia rangkaian perdagangan barter. Masyarakat Tairona juga percaya bahawa seseorang dukun boleh keluar dari tubuh mereka dan memperoleh pengetahuan daripada makhluk-makhluk lain. Menerusi kaedah inilah mereka meraih ilham dan kemahiran menempa logam. Kebanyakan patung perhiasan yang ditemui di kawasan petempatan mereka dipercayai sebagai manusia yang berubah menjadi haiwan liar, sepertimana yang berlaku pada patung 'Bat Man' yang masyhur, di mana ia menggambarkan seorang dukun berubah perlahan-lahan menjadi kelawar.

### Agama & Seni

Sama seperti kebanyakan suku yang berkembang maju pada zaman itu, kepercayaan anutan masyarakat Tairona banyak mempengaruhi hasil seni dan tempaan logam mereka. Persis 'Bat Man', kebanyakan loket dan pelekap dada mereka memerincikan imej manusia yang berubah menjadi makhluk menakutkan, terutama burung pemangsa, buaya, dan ular. Perhiasan-perhiasan ini bukan sahaja mewakili status si pemakai, namun ia turut menjadi simbol kuasa yang dimilikinya.

[ ![Tumbaga Bells of the Tairona Civilization](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/5391.jpg?v=1699681863) Loceng Tumbaga Tamadun Tairona MetMuseum (Copyright) ](https://www.worldhistory.org/image/5391/tumbaga-bells-of-the-tairona-civilization/ "Tumbaga Bells of the Tairona Civilization")Transformasi adalah satu konsep yang dipercayai oleh seluruh suku penutur bahasa Chibcha pada masa itu, dan mereka berusaha seupaya mungkin untuk melaksanakannya. Memandangkan kelawar dianggap sebagai salah satu haiwan yang paling berkuasa pada masa itu, masyarakat Tairona berusaha seupaya mungkin untuk menyerupainya. Lantaran itu, kostum yang dipakai sebagai simbol terhadap transformasi ini dapat ditemui di makam-makam orang kehormat dari zaman Tairona. Para penyelidik di Banco de la Republica, Colombia berkata, “Perhiasan pada pelindung logam mereka adalah kiasan kepada membran di dalam telinga kelawar; cincin hidung silinder berfungsi mengangkat hidung untuk membuatkannya kelihatan seperti lubang hidung spesis kelawar tertentu, dan perhiasan sub-bibir pula cuba memiripi daging bibir bawah haiwan tersebut.

Tidak seperti yang cenderung dipercayai oleh kebanyakan pihak, Colombia purba bukanlah semata-mata sebuah hab penghasilan barangan emas. Akan tetapi, ia turut masyhur dengan barangan seramik. Barang-barang seramik terawal yang ditemui di kawasan penghunian masyarakat Tairona dianggarkan berusia sekitar 2500 SM, walaupun mereka dipercayai hanya berkembang pesat setelah 200 M. Satu lagi kesamaan antara tamadun Tairona dan tamadun Muisca terletak pada kemiripan hasil seni emas mereka. Kedua-dua suku penutur bahasa Chibcha ini mempunyai kepelbagaian barang sembah korban buat dewa-dewi yang relatif sama dan bahkan mereka juga mempunyai jenis-jenis *tunjos* yang sama. *Tunjos* adalah patung-patung yang diperbuat daripada tumbaga, iaitu campuran antara emas, tembaga dan perak. Patung-patung ini secara umum menggambarkan masyarakat yang menjalani kehidupan seharian. Aspek menarik dalam tamadun Tairona yang lain adalah masyarakatnya mempunyai kebebasan untuk bercerai. Malah, amalan keagamaan mereka amat mirip dengan suku Kogui di zaman moden, dan ianya berlangsung selama berhari-hari dengan melibatkan perkumpulan, upacara mengunyah coca, dan bermeditasi secara khusyuk.

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Banco de la Republica- Tairona](http://www.banrepcultural.org/gold-museum/tairona "Banco de la Republica- Tairona"), accessed 5 Dec 2016.
- [La Ciudad Perdida](http://laciudadperdida.com/about-ciudad-perdida/history-of-the-lost-city/#.WEVpxdJ97IU "La Ciudad Perdida"), accessed 5 Dec 2016.
- [Tairona Heritage Trust- History](http://tairona.myzen.co.uk/index.php/history "Tairona Heritage Trust- History"), accessed 5 Dec 2016.
- [Anonymous. *Gold and Power in Ancient Costa Rica, Panama, and Colombia.* Dumbarton Oaks Research Library and Collection, 2003.](https://www.worldhistory.org/books/0884022943/)
- [Carl Henrik Langebaek. *The Pre-Hispanic Population of the Santa Marta Bays= .. de Santa Marta.* University of Pittsburgh, 2005.](https://www.worldhistory.org/books/1877812803/)
- [John Alden Mason. *Archaeology of Santa Marta, Colombia the Tairona culture. 2.* Book on Demand, 1931.](https://www.worldhistory.org/books/B003K6YMXW/)
- [John Alden Mason. *Archaeology of Santa Marta, Colombia;.* Field Museum of Natural History Chicago, 2016.](https://www.worldhistory.org/books/B0008558YK/)

## Darihal Penulis

Prapti is currently a student of history and archaeology. Her interests lie in the Stone Age industries of Central India and associated rock art, and she has also previously explored a few pre-Hispanic cultures of South America.
- [Facebook Profile](https://www.facebook.com/prapti.panda)
- [X/Twitter Profile](https://twitter.com/PraptiPanda)
- [Linkedin Profile](https://www.linkedin.com/in/praptipanda)

## Garis masa

- **c. 200 CE - c. 1600 CE**: The [Tairona civilization](https://www.worldhistory.org/Tairona_Civilization/) flourishes in Sierra Nevada de Santa Marta, Colombia.
- **c. 800 CE**: La Ciudad Perdida (Teyuna) is built.
- **1499 CE**: Spanish conquistadors arrive in Colombia.
- **1599 CE**: The Tairona revolt against the Spanish.

## Petik Karya Ini

### APA
Panda, P. (2020, July 01). Tamadun Tairona. (A. Zayyanid, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/>
### Chicago
Panda, Prapti. "Tamadun Tairona." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, July 01, 2020. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/>.
### MLA
Panda, Prapti. "Tamadun Tairona." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, 01 Jul 2020, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14986/tamadun-tairona/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid/ "User Page: Amir Zayyanid"), disiarkan pada 01 July 2020. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

