---
title: Pertempuran Leuctra
author: Mark Cartwright
translator: Amir Zayyanid
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2020-04-20
---

# Pertempuran Leuctra

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid)_

Pertempuran Leuctra yang berlaku pada tahun 371SM memberikan kemenangan muktamad buat Thebes ke atas Sparta sekaligus mengesahkan Thebes sebagai negara-kota paling dominan di Greece. Kemenangan diraih menerusi percaturan taktikal yang mengagumkan lagi berani oleh panglima Thebes yang bernama Epaminondas. Taktikal-taktikal perangnya ini berjaya memukul pasukan *hoplite* Sparta dan menamatkan mitos kekebalan tentera Sparta yang mereka nikmati selama berkurun-kurun.

Di samping kesan susulannya, perincian tepat tentang pertempuran yang berlangsung di dataran Leuctra yang terletak berhampiran Thebes ini turut diperdebatkan dalam kalangan sejarahwan meskipun sumber terawal tentang pertempuran ini datang daripada Xenophon, yang berupaya mendatangkan saksi-saki bagi catatannya berkenaan pertempuran tersebut di dalam karyanya, *Hellenika*.

### Konteks Sejarah

Pada awal kurun ke-4 Sebelum Masihi, *poleis* atau negara-negara kota Yunani mencapai tempoh aman yang tidaklah secara menyeluruh setelah mereka menghadapi konflik yang timbul tenggelam selama sekurun. Namun sebaik sahaja Sparta menyeru agar Konfederasi Boeotia yang diketuai oleh Thebes dibubarkan, peperangan sekali lagi dilihat bakal tercetus. Thebes menolak tuntutan Sparta dan reaksi sebegini tidaklah mengejutkan dan malah dijangka oleh Sparta sendiri yang sudah pun menggerakkan terlebih dahulu pasukan tenteranya yang mengambil kedudukan di semapdan barat Boeotia sebelum sempat Thebes memberikan maklum balas.

### Pasukan-Pasukan Tentera Yang Dihimpun

Sparta dan sekutu-sekutunya dipimpin oleh Raja Cleombrotus. Pasukan tentera ini terdiri daripada empat divisi (*morai*) yang berjumlah seramai 2048 orang tentera. Daripada jumlah tersebut, 700 orang daripadanya adalah rakyat Sparta dari kelas *hoplite*. Selain itu, terdapat juga tambahan tentera seramai 9000 orang yang dibekalkan oleh sekutu-sekutu Sparta. Daripada keseluruhan 11 000 orang tentera ini, seramai 1000 orang adalah tentera berkuda. Sebagai maklumat tambahan, setelah lebih sedekad berperang, semangat sekutu-sekutu Sparta besar kemungkinan sudah pun luntur bagi menghadapi konflik yang lebih lanjut.

[ ![Greek Hoplite](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/152.jpg?v=1771252447) Hoplite Yunani Johnny Shumate (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/152/greek-hoplite/ "Greek Hoplite")Di barisan tentera Thebes pula terdapat kira-kira 7000 orang tentera *hoplite*, di mana 300 orang daripadanya merupakan anggota elit *Sacred Band* (Pasukan Keramat), yakni sebuah unit yang terdiri dari pasangan homoseks yang saling bersumpah setia untuk melindungi antara satu sama lain sehingga ke titisan darah terakhir. Di Leuctra, unit ini dipimpin oleh Pelopadis. Pasukan tentera Thebes ini turut mempunyai 600 orang kavalri yang dianggap sebagai antara yang terbaik di Greece pada waktu itu. Selain itu, terdapat juga sekumpulan kecil tentera infantri ringan (*hamippoi*) yang dilengkapi lembing lontar dan disokong oleh unit kavalri. Seluruh pasukan ini diketuai oleh seorang panglima yang bernama Epaminondas. Sebagai seorang penuntut teori Pythagoras, komander ini kelak berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang komander yang paling inovatif dan berjaya yang pernah dimiliki oleh Thebes, dan salah seorang panglima terbaik di Greece.

### Babak-Babak Permulaan

Sebilangan komander Thebes pada mulanya mencadangkan supaya pasukan tentera mereka berlindung di sebalik tembok Thebes dan menantikan pengepungan daripada pihak musuh berbanding berhadapan dengan tentera-tentera Sparta di medan terbuka. Namun, Epaminondas berjaya mempengaruhi mereka supaya bertindak sebaliknya. Berbekalkan propaganda dan peniupan semangat untuk berperang, Epaminondas mengajak mereka merenungi kisah dua orang anak dara tempatan yang dirogol oleh dua orang Sparta di Leuctra. Kedua-dua gadis sunti ini kemudiannya membunuh diri kerana rasa malu, lantas sebuah monumen didirikan bagi memperingati mereka. Epaminondas memastikan supaya penghormatan yang selayaknya diberikan kepada monumen peringatan ini sebelum berangkat ke medan perang. Beliau turut terkenal dengan satu gerak tubuh yang simbolik dan ikonik, di mana Epaminondas lazim mengayun-ayunkan seekor ular sambil menyatakan bahawa dengan memukul kepala ular ini – yakni tentera Sparta – maka seluruh tubuh ular itu akan mati – yakni dominasi Sparta ke atas Greece.

Aksi pertama pertempuran berlaku apabila tentera-tentera Sparta menyerang warga awam Thebes (pengangkut barang, pedagang, dsbg) yang sedang berundur ke Thebes. Namun di dalam serangan ini, Hieron si ketua Sparta, terbunuh dan warga awam Thebes tersebut terpaksa bergabung semula dengan pasukan utama.

### Pertempuran

Cleombrotus menyusun pasukan tenteranya dalam formasi *phalanx* tradisional, di mana 12 unit hoplite yang lengkap bersenjata diapit oleh dua sayap. Cleombrotus sendiri dikelilingi oleh unit *hippeis* elitnya (300 orang pengawal peribadi) dan mengambil kedudukan di sisi kiri sayap kanan.

Epaminondas mempersembahkan susunan yang lebih inovatif dan beliau meletakkan unit kavalri dan infantri ringannya di hadapan dalam formasi *phalanx* yang tersendiri. Tidak menggunakan susunan lazim yang berfungsi memperkuatkan sayap kanan, Epaminondas sebaliknya membentuk sayap kirinya supaya lebih ampuh – 50 barisan tentera – dan mengarahkan agar barisan-barisannya lebih rapat berbanding barisan-barisan Sparta. Pasukan Keramat juga diletakkan di sayap kiri sambil sekutu-sekutu Boeotia diletakkan di sayap kanan, kira-kira 8 – 12 barisan.

[ ![Battle of Leuctra, 371 BCE](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/1338.png?v=1638646202) Pertempuran Leuctra, 371 SM Dept. of History, U.S. Military Academy (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/1338/battle-of-leuctra-371-bce/ "Battle of Leuctra, 371 BCE")Cleombrotus bertindak balas terhadap susunan tersebut dengan menyusun semula barisannya, menggerakkan unit kavalri ke hadapan dan melebarkan barisannya demi mengepung sayap kiri Epaminondas. Maneuver-maneuver pertempuran yang relatif rumit ini kemudiannya mendedahkan sisi kiri Cleombrotus, dan memandangkan pasukan kavalri Sparta tidak berupaya menandingi unit Thebes yang pantas memukul mereka, maka pasukan berkuda Sparta terpaksa kembali ke barisannya dan melalui jurang yang terbuka di sisi kiri Cleombrotus. Pasukan Thebes menyusuli mereka memasuki jurang tersebut dan menimpakan huru-hara ke atas formasi Sparta. Sementara itu, Epaminondas menyerang pada suatu sudut di kiri hinggakan sebagai kesan, Cleombrotus dipukul jauh dari barisannya. Serangan Epaminondas ini juga berlangsung dalam keadaan sayap kanannya sendiri sengaja dilewatkan sedikit sekaligus membentuk formasi *echelon* (formasi selari di mana satu hujung lebih terkehadapan berbanding satu hujung lain) semasa menyerang *hippeis* Sparta. Pada saat ini, Pelopidas dan Pasukan Keramat juga melakukan serangan ke atas kedudukan Cleombrotus dan menimpakan kecederaan parah buat raja Sparta itu sekaligus menewaskan sayap kanan Sparta secara muktamad.

Secara keseluruhan, seramai 1000 orang Lacedaemonia terkorban, termasuklah 400 orang hoplite Sparta. Thebes lantas menjadi *polis* (negara-kota) yang paling berkuasa di Greece dan mitos kekebalan tentera Sparta akhirnya ranap setelah menikmati status tersebut selama 200 tahun.

Strategi-strategi yang digunakan oleh Epaminondas dalam pertempuran ini bukanlah strategi yang baru. Namun di masa dahulu, strategi tersebut digunakan tanpa keperluan dan belum ada yang pernah menggabungkannya sehingga membentuk sebuah formula kemenangan. Sayap kiri yang disusun dengan begitu ampuh, penggunaan unit kavalri di hadapan barisan *hoplite*, menyerang pada satu sudut tertentu, melaksanakan formasi *echelon*, dan menumpukan serangan langsung secara berhadapan dengan kedudukan komander musuh, kesemuanya ini secara kolektif menghasilkan salah sebuah strategi yang paling inovatif pernah disaksikan dalam peperangan Yunani. Kekalahan Sparta yang terkenal gagah ini benar-benar mengejutkan dunia Yunani.

### Susulan

Kekalahan Sparta ini membawa kepada pembubaran Liga Peloponnesia, memandangkan kebanyakan sekutunya menuntut kemerdekaan atau beralih arah membentuk persekutuan dengan Thebes. *Helot-helot* dari Messenia pula dibebaskan, sekaligus sebuah *polis* (negara kota) baru Messene ditubuhkan. Mantineia yang menderita di bawah penguasaan Sparta dihidupkan kembali menjadi sebuah *polis* yang pesat. Sebuah lagi negara-kota baru, iaitu Megale Polis (Megalopolis) ditubuhkan di Arcadia bagi mengimbangi Sparta.

[ ![Map of Greece under Theban Hegemony](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/329.jpg?v=1750494137) Peta Yunani di bawah Theban Hegemony Megistias (CC BY-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/329/map-of-greece-under-theban-hegemony/ "Map of Greece under Theban Hegemony")Susulan daripada pertempuran ini serta pergolakan penuh status quo di Greece, Athens meminta supaya diadakan konferens keamanan pada tahun 371 Sebelum Masihi namun ditolak oleh Thebes, sekaligus melanjutkan perebutan kuasa dalam kalangan pelbagai negara kota (poleis) Yunani dan hal ini menggegar Greece selama beberapa kurun berikutnya. Athens malah menyebelahi seteru lamanya, iaitu Sparta sementara Thebes dengan sokongan Parsi pula meneruskan dasar perluasan kuasanya dan sekali lagi, dengan diketuai oleh Epaminondas, terus menewaskan persekutuan Sparta-Athens dalam pertempuran Mantineia tahun 362 Sebelum Masihi. Walau bagaimanapun, Epaminondas sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan berikutan peperangan di antara para penggantinya dengan Athens dan Sparta yang terus-menerus, dominasi singkat Thebes ke atas Greece lantas berakhir dan kota-kota Yunani kini terhidang untuk ditakluki di mana situasi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Philip II dari Macedonia pada tahun 338 Sebelum Masihi.

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Campbell, B. (ed). *The Oxford Handbook of Warfare in the Classical World.* Oxford University Press, USA, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/0195304659/)
- [Hornblower, S. *The Oxford Classical Dictionary.* Oxford University Press, USA, 2012.](https://www.worldhistory.org/books/0199545561/)
- [Kinzl, K.H. (ed). *A Companion to the Classical Greek World.* Wiley-Blackwell, 2010.](https://www.worldhistory.org/books/1444334123/)
- [Plutarch. *The Age of Alexander.* Penguin Classics, 2012.](https://www.worldhistory.org/books/0140449353/)
- [Xenophon. *The Landmark Xenophon's Hellenika.* by Robert B. Strassler.](https://www.worldhistory.org/books/B004HZ4ERE/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Garis masa

- **c. 650 BCE - c. 350 BCE**: Hoplites are the major protagonists in [Greek](https://www.worldhistory.org/disambiguation/greek/) land [warfare](https://www.worldhistory.org/warfare/).
- **371 BCE**: [Thebes](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Thebes/), led by [Epaminondas](https://www.worldhistory.org/Epaminondas/), defeats [Sparta](https://www.worldhistory.org/sparta/) in the [Battle of Leuctra](https://www.worldhistory.org/Battle_of_Leuctra/).
- **364 BCE**: Theban general [Pelopidas](https://www.worldhistory.org/Pelopidas/) is victorious but killed at the [Battle](https://www.worldhistory.org/disambiguation/battle/) of Kynoskephalai.
- **362 BCE**: Indecisive [Battle](https://www.worldhistory.org/disambiguation/battle/) of Matinea where [Thebes](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Thebes/) fought against [Sparta](https://www.worldhistory.org/sparta/) and [Athens](https://www.worldhistory.org/Athens/). Theban general [Epaminondas](https://www.worldhistory.org/Epaminondas/) is killed.

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2020, April 20). Pertempuran Leuctra. (A. Zayyanid, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Pertempuran Leuctra." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, April 20, 2020. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Pertempuran Leuctra." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, 20 Apr 2020, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-12059/pertempuran-leuctra/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid/ "User Page: Amir Zayyanid"), disiarkan pada 20 April 2020. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

