---
title: Izanami dan Izanagi
author: Mark Cartwright
translator: Amir Zayyanid
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11626/izanami-dan-izanagi/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2020-10-29
---

# Izanami dan Izanagi

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid)_

Izanami ('perempuan yang menjemput') dan Izanagi ('lelaki yang menjemput') merupakan dewa-dewa azali dalam ajaran Shinto yang dipercayai bertanggungjawab menciptakan kepulauan Jepun dan melahirkan banyak dewa atau *kami* Shinto.

Mitos-mitos dalam ajaran Shinto diambil daripada tradisi-tradisi lisan yang direkodkan ke dalam dua buah buku, iaitu: *Nihon Shoki* yang diterbitkan pada tahun 720 M dan *Kojiki* yang dikarang oleh seorang jurutulis di istana Maharani Gemmyo pada tahun 708 hingga 714 M. Sebuah lagi sumber berkenaan mitologi Shinto adalah *Kogoshui* yang ditulis sekitar tahun 807 M oleh Imibe-no-Hironari yang menyusun semula tradisi-tradisi lisan yang dikeluarkan daripada *Nihon Shoki* dan *Kojiki*.

### Penciptaan Jepun

Kepulauan Jepun mempunyai kisah penciptaan tersendiri yang amat berwarna-warni. Legenda dimulakan dengan dua dewa azali iaitu Izanami dan Izanagi menggodak lautan dengan menggunakan sebatang lembing yang bertatahkan batu permata sambil berdiri di atas jambatan atau tangga kayangan (Ama-no-hashidate yang menghubungkan antara alam kayangan - *Ama -* dan alam dunia). Lembing kemudian diangkat dan garam-garam lautan pun ikut sama melekat pada mata lembing tersebut sebelum ia jatuh menitis semula ke dalam lautan untuk membentuk kepulauan. Dalam versi lain, titisan yang gugur daripada mata lembing itu adalah lumpur, yang jatuh ke dalam lautan yang masih keruh dan bergelora.

Menurut legenda, pulau pertama yang tercipta adalah Onogoro-shima. Di sana, Izanami dan Izanagi mendirikan rumah dan mengadakan upacara perkahwinan mereka berdua. Upacara tersebut melibatkan ritual berpusing mengelilingi sebatang tiang (atau dalam versi lain, lembing) dengan kedua-dua dewa itu saling bergerak dari arah yang bertentangan. Namun semasa ritual tersebut dijalankan, Izanami melanggar istiadat dengan terlebih dahulu membuka mulut kepada Izanagi semasa mereka berdua saling berpampasan. Akibatnya, anak pertama mereka lahir secara songsang dan membesar sebagai dewa yang lemah tanpa tulang. Itulah dia dewa Hiruko (nantinya dikenali sebagai Ebisu) yang berperanan sebagai dewa pelindung nelayan dan merupakan salah satu daripada tujuh dewa tuah. Hiruko kemudiannya ditinggalkan oleh kedua-dua Izanami dan Izanagi dan beliau dimasukkan ke dalam bakul lalu dihanyutkan ke lautan luas. Anak kedua pasangan dewa azali itu adalah Pulau Awa, namun mereka masih tidak berpuas hati dengan kekurangan zuriat yang dilahirkan. Maka, mereka pun bertanyakan punca nasib malang tersebut kepada orang tua mereka, iaitu tujuh dewa halimunan. Setelah dimaklumkan bahawa puncanya adalah kesilapan mereka sendiri semasa melakukan ritual perkahwinan, maka Izanami dan Izanagi pun mengulangi semula upacara tersebut dan berusaha untuk memastikan supaya Izanagi yang terlebih dahulu membuka mulut.

Pasangan dewa itu kemudian melahirkan ramai zuriat, termasuklah lapan pulau utama Jepun – iaitu Awaji, Shikoku, Oki, Tsukushi (Kyushu), Iki, Tsu, Sado, dan Oyamato. Begitu juga dengan sejumlah dewa lain. Secara keseluruhan, lebih 800 *kami* wujud dalam pantheon Shinto. Antara yang paling unggul dalam kalangan mereka ialah Oho-wata-tsu-mi (dewa laut), Kuku-no-shi (dewa pokok), Oho-yama-tsu-mi (dewa gunung), dan [Kagutsuchi](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-16146/kagutsuchi/) (dewa api) yang kadangkala dipanggil sebagai Homusubi.

### Kematian Izanami & Pembalasan Dendam

Kelahiran sebahagian dewa berlaku dengan risiko-risiko tertentu. Misalnya, Izanami mengalami kecederaan parah semasa melahirkan Kagutsuchi dan menurut legenda, banyak *kami* yang lahir daripada air mata yang gugur semasa Izanami menahan kesakitan yang pada akhirnya mengorbankan nyawa beliau. Hukuman ke atas penyebab kematian Izanami juga dilakukan dengan pantas, di mana Izanagi langsung sahaja memenggal kepala Kagutsuchi si dewa api itu dengan menggunakan pedangnya. Banyak juga dewa baru yang lahir daripada anggota-anggota tubuh Kagutsuchi.

[ ![Izanami & Izanagi](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/5137.jpg?v=1765961595) Izanami & Izanagi Kobayashi Eitaku (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/5137/izanami--izanagi/ "Izanami & Izanagi")Tanpa dapat dinafikan, pemergian Izanami memberi kesan yang cukup besar buat Izanagi. Beliau bergegas mengikuti isterinya itu memasuki alam kematian atau Yomi (juga disebut sebagai Ne-no-kuni, alam akar dan Soko-no-kuni, alam ketiadaan). Malangnya, beliau tidak berjaya menyelamatkan Izanami kerana dewi itu telah pun menjamah hidangan di alam kematian justeru dilarang untuk kembali ke alam nyata. Izanami kemudian merayu supaya diberikan pengecualian sambil Izanagi pula bersumpah bahawa beliau akan menahan diri daripada melihat wajah isterinya selagimana belum berjaya keluar dari alam kematian. Namun, perjalanan untuk membebaskan diri ini amat panjang dan Izanagi tidak lagi dapat menahan sabar lantas menoleh untuk melihat wajah belahan hatinya. Rupa Izanami yang sudah pun mereput pada saat itu benar-benar mengejutkan Izanagi. Tindakan beliau yang melanggar janji itu benar-benar mengecewakan Izanami, lebih-lebih lagi apabila wajahnya yang sedemikian hodoh terlihat oleh suaminya. Lantas, Lapan Semangat Kilat dan Lapan Wanita Hodoh (*Shikome*) dihantar bagi mengusir Izanagi keluar dari alam kematian. Semasa melarikan diri, Izanagi sempat menewaskan Semangat-Semangat Kilat itu dengan melemparkan batang kayunya (*kunado-no-kami*) dan pada masa itulah dua dewa jalan, iaitu Chimata-no-kami dan Yachimata-hiko tercipta (secara bersama, mereka dikenali dengan nama Sae-no-kami atau Dosojin).

### Kelahiran Dewa-Dewa Shinto

Setelah berjaya meloloskan diri ke alam kehidupan dengan selamat, Izanagi pantas menutup gerbang masuk ke Yomi dengan sebongkah batu besar. Setelah itu, beliau melaksanakan ritual penyucian diri di Sungai Woto untuk membuang kekotoran alam kematian yang melekat pada dirinya. Semasa kelangsungan ritual inilah lahir banyak dewa Shinto: [Amaterasu](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11635/amaterasu/) si dewi matahari lahir semasa Izanagi membasuh mata kirinya, Tsuki-yomi si dewa bulan lahir semasa Izanagi membasuh mata kanannya, Susanoo (atau Take-haya-Sysa-no-wo) si dewa ribut lahir semasa Izanagi membasuh hidungnya, dan Shina-tsu-hiko si dewa angin lahir daripada hembusan nafas Izanagi. Semasa beliau melepaskan pakaiannya yang kotor ke dalam sungai, lahir pula 12 belas dewa dari 12 bahagian kain. Sebagai inspirasi daripada babak legenda ini, amalan *harai* atau penyucian diri sebelum memasuki sesebuah tempat suci (*jinja*) diterapkan sebagai salah satu unsur penting dalam ritual Shinto.

### Izanami & Izanagi Dalam Unsur Seni

Dalam kesenian Jepun, pasangan dewa ini sering digambarkan sedang berdiri di atas Ama-no-Hashidate sambil menggodak lautan dengan menggunakan lembing. Simbol Izanami dan Izanagi juga hadir di batu-batuan keramat Meotoiwa yang terletak di pantai Futami. Di sana, dua bongkah batu besar diletakkan di tengah-tengah laut sambil diikat oleh seutas tali panjang (*shimenawa*) yang diperbuat daripada anyaman jerami padi seberat lebih satu tan, sebagai simbol perkahwinan kedua-dua dewa azali itu. Tepat di atas bongkah batu yang saiznya lebih besar yang mewakili dewa Izanagi, terdapat sebuah gerbang putih atau *torii* bagi menandakan kawasan itu sebagai tempat suci. Berikutan cuaca lembab yang sering menyelubungi kawasan tersebut, *shimenawa* digantikan berkali-kali dalam tempoh setahun sambil diiringi dengan upacara gilang-gemilang.

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [BBC - Religion: Shinto](http://www.bbc.co.uk/religion/religions/shinto/ "BBC - Religion: Shinto"), accessed 1 Dec 2016.
- [Izanagi and Izanami (Shinto deity) -- Britannica Online Encyclopedia](http://www.britannica.com/EBchecked/topic/298448/Izanagi-and-Izanami "Izanagi and Izanami (Shinto deity) -- Britannica Online Encyclopedia"), accessed 1 Dec 2016.
- [Beasley, W.G. *The Japanese Experience.* University of California Press, 2000.](https://www.worldhistory.org/books/0520225600/)
- [Hackin, J. *Asiatic Mythology 1932.* Kessinger Publishing, LLC, 2005.](https://www.worldhistory.org/books/1417976950/)
- [National Geographic. *National Geographic Essential Visual History of World Mythology Publisher.* 2012.](https://www.worldhistory.org/books/B004SD873W/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Garis masa

- **712 CE**: The [Kojiki](https://www.worldhistory.org/Kojiki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **720 CE**: The [Nihon Shoki](https://www.worldhistory.org/Nihon_Shoki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **c. 807 CE**: Imibe-no-Hironari writes the Kogoshui, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).

## Pautan Luaran

- [Religion: Shinto](http://www.bbc.co.uk/religion/religions/shinto/)

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2020, October 29). Izanami dan Izanagi. (A. Zayyanid, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11626/izanami-dan-izanagi/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Izanami dan Izanagi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, October 29, 2020. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11626/izanami-dan-izanagi/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Izanami dan Izanagi." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. *World History Encyclopedia*, 29 Oct 2020, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11626/izanami-dan-izanagi/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Amir Zayyanid](https://www.worldhistory.org/user/amirzayyanid/ "User Page: Amir Zayyanid"), disiarkan pada 29 October 2020. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

