---
title: Jepun Purba
author: Mark Cartwright
translator: Ezlyna Shamsuddin
source: https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/
format: machine-readable-alternate
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike (https://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/4.0/)
updated: 2023-10-06
---

# Jepun Purba

Ditulis oleh [Mark Cartwright](https://www.worldhistory.org/user/markzcartwright/)_
Diterjemahkan oleh [Ezlyna Shamsuddin](https://www.worldhistory.org/user/ezlynashamsuddi)_

Jepun Purba memberikan sumbangan unik kepada budaya dunia melalui agama Shinto dan seni bina, objek seni tersendiri seperti patung *haniwa*, bekas tembikar tertua di dunia, bangunan kayu terbesar ketika dibina, serta banyak karya sastera klasik termasuklah novel pertama di dunia. Walaupun Jepun nyata sekali dipengaruhi oleh China dan Korea, kepulauan ini tidak pernah tunduk kepada mana-mana kawalan politik asing. Jepun bebas memilih idea yang dirasakan menarik, disesuaikan sepertimana yang diingini sambil meneruskan amalan budaya asli. Hal ini mewujudkan pendekatan unik dalam kerajaan, agama dan kesenian.

### Mitologi Jepun

Menurut mitologi Shinto, kepulauan Jepun terbentuk apabila Dewa Izanami dan Dewa Izanagi mencelupkan sebatang lembing berpermata ke dalam laut primordial. Dewa-dewa tersebut juga mencipta lebih daripada 800 *kami* atau roh, antara yang terunggul ialah Dewi Matahari [Amaterasu](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11635/amaterasu/), dan diikuti oleh dewa-dewa agama Shinto, iaitu agama asli Jepun purba. Cucu Amaterasu, Ninigi, menjadi pemerintah pertama, dan beliau ialah moyang kepada Maharaja Jimmu, iaitu maharaja pertama Jepun yang separa legenda (memerintah 660-585 SM). Dengan ini terbentuklah pakatan antara dewa-dewa dan maharaja seterusnya.

### [Zaman Jomon](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14430/zaman-jomon/)

Zaman sejarah pertama di Jepun ialah Zaman Jomon yang merangkumi kira-kira 14,500 hingga 300 SM (walaupun tarikh awal dan akhir zaman ini dipertikaikan). Nama zaman ini berasal daripada tembikar unik yang dihasilkan pada masa ini. Bekas tembikar tertua di dunia mempunyai hiasan seperti corak tali atau *jomon*. Kemunculan tembikar ini menandakan berakhirnya zaman sebelum ini, iaitu Zaman Paleolitik (30,000 tahun yang lalu) ketika orang ramai dari tanah besar Asia pergi ke utara dan selatan kepulauan Jepun melalui jambatan darat. Mereka kemudiannya berpecah-pecah ke empat pulau utama, iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu, sebelum berpindah ke beratus-ratus pulau kecil yang membentuk Jepun. Penghasilan tembikar tidak semestinya menandakan bahawa masyarakat sudah bermukim kerana kebanyakannya masih hidup sebagai pemburu-pemungut yang menggunakan alatan kayu dan batu.

Tanda-tanda pertama pertanian muncul kira-kira 5000 SM dan perkampungan terawal yang diketahui terletak di Sannai-Maruyama, bermula kira-kira 3500 SM dan berakhir kira-kira 2000 SM. Penduduk pada zaman ini lebih tertumpu di kawasan perairan pantai dan jumlahnya mungkin antara 100,000 sehingga 150,000 orang. Terdapat bukti penanaman padi kira-kira 1250 SM tetapi penanaman mungkin bermula kira-kira 800 SM . Bukti pertama penanaman padi sawah bertarikh kira-kira 600 SM. Rangka manusia dari zaman ini menunjukkan orang yang berbadan tegap, berwajah lebar dengan ketinggian purata 1.52 m (5 kaki) untuk perempuan dan 1.60 m (5 kaki 3 inci) untuk lelaki. Kajian genetik dan kranial menunjukkan bahawa orang Jomon ialah nenek moyang kepada kumpulan minoriti Ainu yang masih wujud hingga hari ini.

Jenis pengebumian yang paling lazim pada zaman ini adalah menanam individu atau lebih dalam lubang tanah yang kadangkala dilapisi dengan papak batu. Jenis pengebumian lain termasuklah memasukkan individu dalam balang dan lubang besar yang boleh memuatkan sehingga 100 rangka manusia. Artefak yang ditemui berkaitan dengan Zaman Jomon merangkumi patung-patung manusia yang diperbuat daripada tanah liat dan batu, topeng-topeng tanah liat, batang-batang batu, serta barang kemas daripada tanah liat, batu dan jed (manik dan anting-anting). Arkeologi juga mendedahkan bahawa orang Jomon membina struktur upacara seperti lingkaran batu, barisan batu yang membentuk anak panah, serta batu tinggi tunggal yang dikelilingi oleh kelompok batu kecil.

[ ![Jomon Spouted Vessel](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/6639.jpg?v=1748075347) Bekas Bermuncung Jomon James Blake Wiener (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6639/jomon-spouted-vessel/ "Jomon Spouted Vessel")### [Zaman Yayoi](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14435/zaman-yayoi/)

Zaman Yayoi merangkumi kira-kira 300 SM hingga kira-kira 250 M. Seperti yang disebutkan di atas, tarikh permulaan diundurkan apabila terdapat lebih banyak penemuan dalam bidang arkeologi. Nama Yayoi berasal daripada tembikar berwarna merah yang pertama kali ditemui di daerah Yayoi di Tokyo. Tembikar tersebut menunjukkan perkembangan berbanding tembikar Zaman Jomon. Bermula sekitar 400 SM (atau mungkin lebih awal), pendatang mula tiba dari benua Asia, terutamanya Semenanjung Korea, mungkin disebabkan oleh peperangan akibat perluasan empayar China dan persaingan antara kerajaan.

Pendatang baru menakluki atau berintegrasi dengan penduduk asli, seperti yang ditunjukkan oleh bukti genetik. Mereka membawa bersama mereka tembikar baru, gangsa, besi dan teknik pembuatan logam diperbaik yang menghasilkan alatan pertanian yang lebih efisien serta senjata dan perisai yang lebih bermutu.

Dengan pengurusan pertanian yang bertambah baik, masyarakat dapat membangun dengan pengkhususan perdagangan dan pekerjaan (seterusnya muncullah pasaran perdagangan), amalan upacara menggunakan benda-benda istimewa seperti loceng gangsa *dotaku*, kelas sosial dengan kekayaan berbeza-beza, serta golongan pemerintah mapan yang mengawal perikatan klan, yang akhirnya membentuk kerajaan-kerajaan kecil. Sumber-sumber China mencatatkan kekerapan peperangan di Jepun antara kerajaan pesaing, sementara galian arkeologi membongkar tinggalan perkampungan yang berkubu. Populasi Jepun menghampiri akhir zaman ini mungkin mencapai sehingga 4.5 juta orang.

[ ![Yayoi Period Bracelet](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/6658.jpg?v=1748075344) Gelang Zaman Yayoi James Blake Wiener (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6658/yayoi-period-bracelet/ "Yayoi Period Bracelet")Jepun mula melakukan percubaan pertama dalam hubungan antarabangsa menjelang penghujung zaman ini. Utusan dan ufti dihantar kepada komanderi China di Korea utara melalui Wa, iaitu persekutuan negeri kecil di selatan dan barat Jepun, yang paling penting pada masa ini ialah Yamato. Misi-misi tersebut direkodkan pada tahun 57 dan 107 SM. Salah seorang pemerintah Jepun yang diketahui pernah menghantar perwakilan ke wilayah China (238, 243 dan sekitar 248 M) dan tokoh paling terkenal pada zaman ini ialah Maharani Himiko (memerintah kira-kira 189-248 M). Memerintah lebih daripada 100 kerajaan (atau mungkin hanya memerintah kerajaan paling berkuasa), maharani ini tidak pernah berkahwin dan telah bersemayam di istana yang disokong oleh 1,000 orang wanita. Himiko juga seorang pawang, membawa dua peranan serentak sebagai pemerintah dan ketua pemuja, yang lazim pada zaman ini. Seorang wanita yang dapat menjalankan salah satu atau kedua-dua peranan ini menunjukkan sikap positif Jepun purba terhadap wanita sebelum budaya China menjadi lebih berpengaruh dari abad ke-7 M.

### [Zaman Kofun](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-14484/zaman-kofun/)

Zaman Kofun merangkumi sekitar 250 hingga 538 M dan dinamakan bersempena gundukan kubur besar yang dibina pada masa ini. Kadangkala zaman ini juga dirujuk sebagai Zaman Yamato (sekitar 250-710 M) kerana pada masa ini, negeri atau wilayah Yamato yang dominan, sama ada hasil gabungan wilayah-wilayah saingan dengan domain sendiri ataupun, seperti dalam kes saingan utama Izumo, penaklukan melalui peperangan. Lokasi tepat Yamato tidak dapat dipastikan tetapi kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa Yamato terletak di kawasan Nara.

Dari abad ke-4 M, terdapat kemasukan ketara penduduk dari Semenanjung Korea, terutamanya dari Kerajaan Baekje (Paekche) dan Persekutuan Gaya (Kaya). Mereka ini mungkin pejuang berkuda menurut kontroversi 'teori pejuang berkuda' yang mendakwa bahawa Jepun telah ditakluki oleh orang Korea dan hanyalah sebuah negeri bawahan. Tidak mungkin penaklukan sepenuhnya berlaku (dan beberapa sumber yang menimbulkan pertikaian mengesyorkan bahawa Jepun sebaliknya telah menubuhkan koloni di selatan Korea), tetapi yang lebih pasti orang Korea menduduki jawatan tinggi dalam kerajaan Jepun, bahkan berketurunan diraja. Tidak kira apa jua hubungan politik antara Korea dan Jepun pada masa ini, terdapat kemasukan banyak barangan buatan Korea, bahan mentah seperti besi dan idea budaya melalui guru-guru, cendekiawan serta seniman Korea yang berkunjung ke Jepun. Mereka membawa unsur budaya China seperti penulisan, teks klasik Confucius, agama Buddha, tenunan dan pengairan di samping idea Korea dalam seni bina. Terdapat juga utusan ke China pada tahun 425 M, 478 M dan seterusnya 11 lagi utusan hingga tahun 502 M. Jepun Yamato telah mewujudkan hubungan diplomatik antarabangsa.

[ ![Shionjiyama Kofun](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/6578.jpg?v=1751960297) Kofun Shionjiyama Kansai explorer (CC BY) ](https://www.worldhistory.org/image/6578/shionjiyama-kofun/ "Shionjiyama Kofun")Gundukan kubur besar yang dikenali sebagai *kofun* ialah satu lagi hubungan dengan tanah besar Asia kerana dibina untuk golongan elit di pelbagai negeri Semenanjung Korea. Terdapat lebih daripada 20,000 gundukan di seluruh Jepun, dan lazimnya berbentuk kunci jika dilihat dari pandangan udara; contoh terbesar berukuran beberapa ratus meter dan dikelilingi oleh kubu parit. Kebanyakan daripada kubur ini mengandungi peralatan berkuda yang tidak pernah dilihat dalam pengebumian sebelum ini, yang memperkukuh bukti hubungan dengan tanah besar Asia. Ciri lain *kofun* ialah penempatan patung-patung terakota besar berbentuk manusia, haiwan dan bangunan yang dipanggil *haniwa* di sekitar dan di atas, mungkin berperanan sebagai penjaga.

*Kofun* yang dibina dengan skala lebih besar seiring dengan perjalanan masa menunjukkan bahawa pemerintah Yamato berdaya menguasai sumber yang hebat - manusia dan bahan. Memerintah dengan gabungan kekuatan dan perikatan dengan klan penting atau *uji* yang disatukan melalui perkahwinan campur, golongan elit Yamato berusaha untuk mencipta sebuah negara terpusat yang wajar. Yang diperlukan sekarang ialah contoh kerajaan lebih baik dengan jentera birokratik yang berfungsi sepenuhnya dan datang dari China.

### [Zaman Asuka](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15913/zaman-asuka/)

Zaman Asuka merangkumi tahun 538 hingga 710 M. Nama zaman ini berasal daripada ibu negara Jepun pada masa ini, Asuka, yang terletak di utara wilayah Nara. Pada tahun 645 M, ibu negara beralih ke Naniwa, dan antara tahun 694 dan 710 M, di Fujiwarakyo. Sekarang kita melihat dalam sejarah, maharaja pertama yang sebenar (berbeza dengan pemerintah legenda atau mitos), Maharaja Kimmei, yang ke-29 dalam susur-galur keturunan maharaja (memerintah dari tahun 531-539 M hingga 571 M). Pemerintah yang paling penting ialah Putera Shotoku yang menjadi pemangku raja sehingga kemangkatan baginda pada tahun 622 M. Shotoku dihargai kerana melakukan reformasi dan memusatkan kerajaan mengikut contoh China, seperti mencipta *Perlembagaan Tujuh Belas Artikel,* membanteras rasuah dan menggalakkan hubungan yang lebih kukuh dengan China.

[ ![Prince Shotoku Statue](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/6409.jpg?v=1701051243) Patung Putera Shotoku PHGCOM (CC BY-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6409/prince-shotoku-statue/ "Prince Shotoku Statue")Peristiwa politik kedua terbesar dalam zaman Asuka berlaku pada tahun 645 M apabila pengasas klan Fujiwara, Fujiwara no Kamatari, menggulingkan kuasa klan Soga yang dominan pada masa ini. Kerajaan baru ini dirombak, sekali lagi mengikut contoh China, dalam siri reformasi berterusan yang dikenali sebagai Reformasi Taika. Tanah dimiliknegarakan, cukai dibayar dalam bentuk barter bukan buruh, pangkat sosial dikategorikan semula, peperiksaan masuk perkhidmatan awam diperkenalkan, kod undang-undang ditulis dan kuasa mutlak empayar diwujudkan. Kamatari dilantik sebagai menteri kanan maharaja dan diberi nama keluarga Fujiwara. Inilah permulaan salah satu klan terkuat di Jepun yang menguasai kerajaan hingga abad ke-12 M.

Maharaja Temmu (memerintah dari tahun 672-686 M) menyusun semula keluarga diraja yang luas supaya hanya keturunan langsung boleh menuntut apa-apa hak terhadap takhta maharaja dalam satu langkah yang mencipta lebih banyak kumpulan klan saingan. Maharaja Temmu memilih Fujiwarakyo sebagai ibu negara Jepun pertama yang memiliki istana gaya China dan jalan dibina dalam grid yang teratur.

Mungkin perkembangan paling penting dalam Zaman Asuka bukanlah dari segi politik tetapi agama, iaitu pengenalan agama Buddha kepada Jepun pada kurun ke-6 M, secara tradisional pada tahun 552 M. Agama Buddha diterima secara rasmi oleh Maharaja Yomei dan seterusnya digalakkan oleh Putera Shotoku yang membina beberapa kuil yang mengagumkan seperti Horyuji. Agama Buddha secara umum diterima dengan baik oleh golongan elit Jepun kerana membantu meningkatkan status budaya Jepun sebagai sebuah negara yang maju pada mata jiran yang berkuasa, iaitu Korea dan China.

Putera Shotoku menghantar perwakilan rasmi ke mahkamah Sui di China dari sekitar tahun 607 M dan berterusan sepanjang kurun ke-7 M. Namun, hubungan Jepun dengan negara jiran tidak selalu mesra. [Kerajaan Silla](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15139/kerajaan-silla/) menakluki Baekje pada tahun 660 M dengan bantuan tentera laut Tang China secara besar-besaran. Pasukan Baekje yang memberontak, mendesak Jepun menghantar 800 angkatan kapal untuk membantu usaha mereka mendapatkan semula kerajaan mereka tetapi pasukan bersekutu ini dikalahkan dalam Pertempuran Baekgang pada tahun 663 M. Kejayaan Kerajaan Silla Bersatu mengakibatkan lagi gelombang imigran memasuki Jepun dari kerajaan Baekje dan Goguryeo yang telah tewas.

[ ![Central Gate & Pagoda, Horyuji Temple](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/6505.jpg?v=1772482452) Pintu Gerbang & Pagoda, Kuil Horyuji Horyuji Chumon Warizuka (CC BY-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6505/central-gate--pagoda-horyuji-temple/ "Central Gate & Pagoda, Horyuji Temple")Sementara itu, seni berkembang dengan pesat dan melahirkan nama alternatif, Zaman Suiko (552-645 M) bersempena Maharani Suiko (memerintah dari tahun 592-628 M). Kesusasteraan dan muzik mengikut contoh China digalakkan secara aktif oleh istana dan seniman diberikan pelepasan cukai.

### [Zaman Nara](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15915/zaman-nara/)

Zaman Nara merangkumi tahun 710 hingga 794 M dan dinamakan sedemikian kerana ibu negara Jepun berada di Nara (Heijokyo) pada masa ini dan kemudian berpindah seketika ke Nagaokakyo pada tahun 784 M. Ibu negara ini mencontoh ibu negara China, Chang-an pada zaman Tang, dengan susunan grid yang teratur dan bangunan awam seperti seni bina China. Heijo, istana diraja yang luas sekali dibina dan birokrasi negeri diperluaskan kepada kira-kira 7,000 orang pegawai awam. Penduduk Nara mungkin mencapai sehingga 200,000 orang menjelang akhir zaman ini.

Kawalan kerajaan pusat terhadap wilayah diperluas dengan kehadiran tentera yang lebih ketara di seluruh kepulauan Jepun dan agama Buddha terus disebarkan oleh Maharaja Shomu (memerintah dari tahun 724-749 M) melalui projek pembinaan kuil di setiap wilayah, lantaran meningkatkan cukai kepada tahap yang mencengkam. Kuil-kuil utama dibina di Nara, seperti Todaiji (752 M) dengan Dewan Buddha Besar, iaitu bangunan kayu terbesar di dunia yang mengandungi patung perunggu Buddha juga terbesar di dunia. Agama Shinto pula diwakili oleh kuil Kasuga Taisha dalam hutan di luar ibu negara (710 atau 768 M) dan kuil Fushimi Inari Taisha (711 M) berhampiran Kyoto.

Jepun juga mempunyai cita-cita tinggi di luar negara dan menjalin hubungan kukuh dengan [Balhae](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15287/balhae/) (Parhae), negara di utara Korea dan Manchuria. Jepun menghantar 13 utusan diplomatik dan Balhae menghantar 35 utusan sebagai balasan sepanjang beberapa dekad. Perdagangan bertambah maju dengan Jepun mengeksport tekstil serta bulu, sutera dan kain hem dari Balhae. Kedua-dua negara ini merancang serangan ke atas Kerajaan Silla Bersatu yang kini mengawal Semenanjung Korea dengan tentera bersama, dan menyerang pada tahun 733 M dengan melibatkan armada besar Jepun tetapi gagal. Sesudah itu, pencerobohan yang dirancang pada tahun 762 M tidak pernah tercapai.

Zaman Nara menerbitkan penulisan dua karya yang boleh dikatakan terkenal dan penting dalam sastera Jepun, iaitu buku sejarah *Kojiki* dan *Nihon Shoki* dengan mitos penciptaan, dewa-dewa Shinto dan salasilah diraja. Terdapat juga *Manyoshu*, antologi puisi pertama di Jepun yang dikumpulkan sekitar tahun 760 M.

[ ![Daibutsuden, Todaiji](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/6531.jpg?v=1748709545) Dewan Buddha Besar, Todaiji James Blake Wiener (CC BY-NC-SA) ](https://www.worldhistory.org/image/6531/daibutsuden-todaiji/ "Daibutsuden, Todaiji")Berbeza dengan seni, golongan marhaen tidak maju. Pertanian masih bergantung kepada alatan primitif, tanah untuk bercucuk tanam tidak mencukupi dan teknik pengairan tidak cukup untuk mengelakkan kekerapan tanaman gagal dan kebuluran. Oleh itu, kebanyakan petani lebih suka bekerja untuk golongan bangsawan yang memiliki tanah. Selain penderitaan ini, wabak cacar juga berlaku pada tahun 735 dan 737 M, yang menurut sejarawan, mengurangkan populasi negara sebanyak 25-35%.

Selain akibat bencana alam, istana kekurangan dana setelah terlalu banyak bangsawan dan kuil diberikan pengecualian cukai. Nara juga dihantui oleh konflik perebutan keistimewaan dan jawatan dalam kalangan golongan bangsawan dan politik secara tidak wajar dipengaruhi oleh kuil Buddha yang tersebar di sekitar bandar. Oleh itu, Maharaja Kammu (memerintah dari tahun 781-806 M) menukar ibu negara sekali lagi, menandakan permulaan Zaman Keemasan sejarah Jepun yang seterusnya.

### [Zaman Heian](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15937/zaman-heian/)

Zaman Heian merangkumi tahun 794 hingga 1185 M dan dinamakan sedemikian kerana ibu negara pada masa ini ialah Heiankyo yang dikenali sebagai Kyoto pada hari ini. Ibu negara baru ini dibina mengikut susunan grid yang teratur. Bandar ini mempunyai lebuh yang lebar, dan seperti Nara, mengambil contoh seni bina daripada China, sekurang-kurangnya untuk bangunan awam. Bandar ini mempunyai istana untuk golongan bangsawan dan taman hiburan besar di selatan istana diraja (Daidairi). Tiada bangunan Heian yang masih wujud hari ini kecuali Shishin-den (Auditorium) yang terbakar tetapi dibaik pulih dan Daigoku-den (Dewan Negeri) yang mengalami nasib yang sama dan dibina semula dalam skala yang lebih kecil di Kuil Heian. Mulai kurun ke-11 M, nama tidak rasmi bandar ini yang bermaksud hanya 'ibu negara' diiktiraf secara rasmi sebagai Kyoto. Bandar ini kekal sebagai ibu negara Jepun selama seribu tahun.

Kyoto ialah pusat kerajaan yang terdiri daripada maharaja, menteri-menteri kanan, majlis negeri dan lapan kementerian yang dibantu oleh birokrasi ekstensif untuk memerintah lebih kurang 7 juta orang merentasi 68 wilayah. Kebanyakan penduduk Jepun bekerja di ladang, sama ada milik sendiri atau orang lain. Terbeban oleh pencerobohan dan cukai yang berlebihan, pemberontakan bukanlah perkara luar biasa. Pada kurun ke-12 M, 50% daripada tanah ialah milik persendirian (*shoen*) dan kebanyakannya diberi pengecualian khas melalui pertolongan atau alasan keagamaan, tidak perlu membayar cukai, menyebabkan masalah serius dalam kewangan negara.

[ ![Izumi Shikibu](https://www.worldhistory.org/img/r/p/500x600/6664.png?v=1730091308) Penyair Izumi Shikibu Komatsuken (Public Domain) ](https://www.worldhistory.org/image/6664/izumi-shikibu/ "Izumi Shikibu")Di istana, walaupun maharaja masih dianggap sebagai dewa, baginda diketepikan oleh birokrat berkuasa yang berasal daripada sebuah keluarga iaitu klan Fujiwara. Hakikat bahawa banyak maharaja menduduki takhta ketika masih kanak-kanak dan diperintah oleh seorang pemangku (*Sessho*) yang biasanya diwakili oleh keluarga Fujiawara, lebih melemahkan kedudukan diraja. Apabila maharaja menjadi dewasa, baginda masih menerima nasihat daripada satu jawatan baru, iaitu *Kampaku* yang memastikan Fujiwara terus memegang kendali politik istana. Maharaja Shirakawa (memerintah dari tahun 1073-1087 M) cuba untuk merdeka daripada Fujiwara dengan turun takhta pada tahun 1087 M dan membenarkan anakanda baginda, Horikawa, memerintah dengan pengawasan baginda. Strategi 'kemerdekaan' ini pada hakikatnya mengekalkan pemerintahan dikenali sebagai 'kerajaan terkurung' (*insei*) kerana maharaja biasanya bersemayam di belakang pintu tertutup dalam sebuah biara. Ini menambah satu lagi roda kepada mesin kerajaan yang sedia rumit.

Agama Buddha terus mendominasi dengan bantuan ahli sarjana terkemuka seperti Kukai (774-835 M) dan Saicho (767-822 M) yang membawa idea dan teks dari China dan mewujudkan sekta Buddha Shingon dan Tendai. Pada masa yang sama, prinsip-prinsip Confucius dan Taoisme terus mempengaruhi kerajaan manakala agama Shinto dan animisme terus mempengaruhi rakyat.

Dalam hal-ehwal luar negeri, selepas tahun 838 M, Jepun menjadi pemencil tanpa perlu mempertahankan sempadan atau melakukan penaklukan wilayah. Walau bagaimanapun, perdagangan dan pertukaran budaya sekali-sekala masih dijalankan dengan China seperti sebelum ini. Barangan yang diimport dari China termasuk ubat-ubatan, kain sutera, buku, seramik, senjata dan alat muzik, manakala Jepun mengeksport mutiara, serbuk emas, ambar, sutera mentah dan perkakas lakuer bersadur emas. Sami, sarjana, pelajar, ahli muzik dan seniman dihantar untuk melihat perkara yang boleh dipelajari daripada budaya China yang lebih maju.

Zaman ini terkenal dengan pencapaian budaya termasuk penciptaan tulisan Jepun (*kana*) menggunakan karakter Cina, kebanyakannya secara fonetik yang membolehkan penghasilan novel pertama di dunia, *Tale of Genji* oleh Murasaki Shikibu (kira-kira 1020 M) dan beberapa catatan harian terkenal (*nikki*) yang ditulis oleh bangsawati istana termasuk *The Pillow Book* oleh Sei Shonagon (kira-kira 1002 M). Satu lagi karya penting ialah antologi puisi *Kokinshu* pada tahun 905 M.

[ ![Periods of Ancient Japanese History](https://www.worldhistory.org/img/r/p/750x750/16269.png?v=1756876085-1742451071) Zaman-zaman dalam Sejarah Jepun Purba Simeon Netchev (CC BY-NC-ND) ](https://www.worldhistory.org/image/16269/periods-of-ancient-japanese-history/ "Periods of Ancient Japanese History")Seni visual diwakili oleh lukisan skrin, tatal gulung dengan gambar dan teks (*e-maki*) serta kaligrafi yang halus. Pelukis dan pengukir terus menggunakan Buddha sebagai inspirasi mereka tetapi secara beransur-ansur, pendekatan yang lebih berunsur Jepun menjangkau subjek seni kepada orang biasa dan tempat. *Yamato-e*, seni lukis gaya Jepun, berkembang dan dapat dibezakan daripada karya China dengan ciri-ciri garisan yang lebih bersudut, warna yang lebih cerah dan lebih banyak hiasan.

Kesemua hasil seni di ibu negara sangat elok tetapi pemerintah baru mula muncul di kawasan wilayah. Dibiarkan berbuat sesuka hati dan disemarakkan dengan darah keturunan bangsawan kecil, dua kumpulan penting bangkit, iaitu klan Minamoto dan Taira. Dengan tentera samurai sendiri, mereka menjadi instrumen penting dalam tangan ahli klan Fujiwara yang bersaing antara satu sama lain dalam perebuatan kuasa yang meletus dalam Kekacauan Hogen 1156 M dan Kekacauan Heiji 1160 M.

Klan Taira akhirnya menyingkirkan Fujiwara dan semua saingan tetapi dalam Perang Genpei (1180-1185 Masihi), Minamoto kembali sebagai pemenang. Pada akhir perang tersebut, pemimpin klan Taira, Tomamori dan Maharaja Antoku yang masih muda telah membunuh diri. Pemimpin klan Minamoto, Yoritomo, tidak lama selepas itu diberikan gelaran shogun oleh maharaja. Maka bermulalah bab zaman pertengahan sejarah Jepun, [Zaman Kamakura](https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15865/zaman-kamakura/) (1185-1333 M) yang juga dikenali sebagai Keshogunan Kamakura, zaman kerajaan Jepun dikuasai oleh tentera.

 This content was made possible with generous support from the [Great Britain Sasakawa Foundation](http://www.gbsf.org.uk/?utm_source=ancient.eu&utm_medium=link&utm_campaign=ancient.eu).

#### Editorial Review

This human-authored definition has been reviewed by our editorial team before publication to ensure accuracy, reliability and adherence to academic standards in accordance with our [editorial policy](https://www.worldhistory.org/static/editorial-policy/).

## Daftar Pustaka

- [Beasley, W.G. *The Japanese Experience.* University of California Press, 2017.](https://www.worldhistory.org/books/B01JXR7D96/)
- [Cali, J. *Shinto Shrines.* Latitude 20, 2012.](https://www.worldhistory.org/books/0824837134/)
- [Dougill, J. *Japan's World Heritage Sites.* Tuttle Publishing, 2014.](https://www.worldhistory.org/books/4805312858/)
- [Ebrey, P.B. *Pre-Modern East Asia.* Wadsworth Publishing, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/1133606512/)
- [Henshall, K. *Historical Dictionary of Japan to 1945.* Scarecrow Press, 2013.](https://www.worldhistory.org/books/0810878712/)
- [Sansom, G. *A History of Japan to 1334 by George Sansom.* Stanford University Press, 2017.](https://www.worldhistory.org/books/B01N3QJ9QH/)
- [Tsuda, N. *A History of Japanese Art.* Tuttle Publishing, 2009.](https://www.worldhistory.org/books/4805310316/)
- [Whitney Hall, J. *The Cambridge History of Japan, Vol. 2.* Cambridge University Press, 1999.](https://www.worldhistory.org/books/0521223539/)

## Darihal Penulis

Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

## Garis masa

- **c. 14500 BCE - c. 300 BCE**: [Jomon Period](https://www.worldhistory.org/Jomon_Period/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **660 BCE - 585 BCE**: Traditional reign dates of Emperor Jimmu, [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s first emperor.
- **c. 300 BCE - c. 250 CE**: The [Yayoi Period](https://www.worldhistory.org/Yayoi_Period/) in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **97 BCE - 30 BCE**: Possible reign dates of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Emperor Sujin.
- **4 BCE**: Traditional founding date of the [Ise Grand Shrine](https://www.worldhistory.org/Ise_Grand_Shrine/) in honour of the [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) goddess [Amaterasu](https://www.worldhistory.org/Amaterasu/).
- **c. 82 CE**: Contact between [Han](https://www.worldhistory.org/Han_Dynasty/) [China](https://www.worldhistory.org/china/) and [Yayoi](https://www.worldhistory.org/Yayoi_Period/) [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 183 CE - 248 CE**: Life of [Queen Himiko](https://www.worldhistory.org/Queen_Himiko/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 189 CE - 248 CE**: The reign of [Queen Himiko](https://www.worldhistory.org/Queen_Himiko/).
- **238 CE**: [Queen Himiko](https://www.worldhistory.org/Queen_Himiko/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) sends a tribute delegation to [China](https://www.worldhistory.org/china/).
- **c. 250 CE - 538 CE**: The [Kofun Period](https://www.worldhistory.org/Kofun_Period/) in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **c. 250 CE - 710 CE**: The Yamato Period in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/), consisting of the [Kofun Period](https://www.worldhistory.org/Kofun_Period/) and [Asuka Period](https://www.worldhistory.org/Asuka_Period/).
- **c. 300 CE - c. 700 CE**: [Haniwa](https://www.worldhistory.org/Haniwa/) terracotta figurines are placed outside Japanese mound tombs or [kofun](https://www.worldhistory.org/Kofun/).
- **366 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) establishes diplomatic relations with [Korea](https://www.worldhistory.org/Korea/).
- **413 CE - 478 CE**: Japanese kings send ambassadors and tribute to [China](https://www.worldhistory.org/china/).
- **c. 531 CE - 571 CE**: Reign of Emperor Kimmei in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **535 CE - 539 CE**: Reign of Emperor Senka in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **538 CE**: Alternative date to 552 CE for the introduction of [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) to [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) from [Korea](https://www.worldhistory.org/Korea/).
- **538 CE - 710 CE**: The [Asuka Period](https://www.worldhistory.org/Asuka_Period/) in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **552 CE**: Traditional date for the introduction of [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) to [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) from [Korea](https://www.worldhistory.org/Korea/).
- **572 CE - 585 CE**: Reign of Emperor Bidatsu in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **585 CE - 587 CE**: Reign of Emperor Yomei in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **587 CE**: The Soga clan establish control of government in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **587 CE - 592 CE**: Reign of Emperor Sushun in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **592 CE - 628 CE**: Reign of Empress Suiko, [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s first empress.
- **593 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) Gango-ji [temple](https://www.worldhistory.org/temple/), the oldest in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/), is founded at Asuka.
- **593 CE**: The Shitennoji [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is built in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **594 CE - 622 CE**: Reign of [Prince Shotoku](https://www.worldhistory.org/Prince_Shotoku/) as regent for Japanese Empress Suiko.
- **596 CE**: The Hokoji [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is built in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **604 CE**: [Prince Shotoku](https://www.worldhistory.org/Prince_Shotoku/) draws up his Seventeen Article Constitution in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 607 CE**: [Prince Shotoku](https://www.worldhistory.org/Prince_Shotoku/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) sends the first of many official embassies to [Sui](https://www.worldhistory.org/Sui_Dynasty/) [China](https://www.worldhistory.org/china/).
- **607 CE**: The [Horyuji](https://www.worldhistory.org/Horyuji/) [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is built in [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/), [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) during the reign of Regent [Prince Shotoku](https://www.worldhistory.org/Prince_Shotoku/).
- **629 CE - 641 CE**: Reign of Emperor Jomei in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **642 CE - 645 CE**: Reign of Empress Kogyoku in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **645 CE**: The [Fujiwara clan](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) is founded by [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) no Kamatari.
- **645 CE**: The Japanese capital is moved from Asuka to Naniwa.
- **645 CE**: [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) no Kamatari leads a coup d'etat in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/), removing the Soga clan from power.
- **645 CE - 654 CE**: Reign of Emperor Kotoku in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **655 CE - 661 CE**: Reign of Empress Saimei in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **661 CE - 671 CE**: Reign of Emperor Tenji in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **671 CE - 672 CE**: Reign of Emperor Kobun in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **671 CE - 672 CE**: The Jinshin Incident in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) which establishes Temmu as emperor.
- **672 CE - 686 CE**: Reign of Emperor Temmu in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **680 CE**: [Yakushiji](https://www.worldhistory.org/Yakushiji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is founded in [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/)-kyo.
- **686 CE - 697 CE**: Reign of Empress Jito in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **694 CE - 710 CE**: Fujiwarakyo is made the Japanese capital.
- **697 CE - 707 CE**: Reign of Emperor Mommu in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **707 CE - 715 CE**: Reign of Empress Gemmei in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **708 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s first [coinage](https://www.worldhistory.org/coinage/), the Wado kaiho, is introduced.
- **710 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [Kofukuji](https://www.worldhistory.org/Kofukuji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is established at [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/), main temple of the Japanese [Fujiwara clan](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/).
- **710 CE**: The Japanese capital is moved from [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/)-kyo to [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/) (aka Heijokyo).
- **710 CE - 784 CE**: [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/) is the capital of [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **710 CE - 794 CE**: The [Nara Period](https://www.worldhistory.org/Nara_Period/) in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **711 CE**: The Fushimi [Inari](https://www.worldhistory.org/Inari/) shrine, dedicated to the [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) rice [god](https://www.worldhistory.org/God/) Inari, is founded near Kyoto.
- **712 CE**: The [Kojiki](https://www.worldhistory.org/Kojiki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **713 CE**: The Japanese Fudoki are composed and record local [kami](https://www.worldhistory.org/Kami/) and associated legends.
- **715 CE - 724 CE**: Reign of Empress Gensho in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **720 CE**: The [Nihon Shoki](https://www.worldhistory.org/Nihon_Shoki/) is written, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **724 CE - 749 CE**: Reign of Emperor Shomu in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **725 CE**: The Usa shrine is founded in northern Kyushu and dedicated to the [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) [god](https://www.worldhistory.org/God/) [Hachiman](https://www.worldhistory.org/Hachiman/).
- **735 CE - 737 CE**: [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) suffers two smallpox epidemics which kills 25-35% of the population.
- **740 CE**: A rebellion led by the [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) exile Hirotsugu is quashed by Emperor Shomu.
- **749 CE - 758 CE**: First reign of Empress Koken in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **751 CE**: The Kaifuso anthology of Japanese poems is compiled.
- **752 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [Todaiji](https://www.worldhistory.org/Todaiji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is founded at [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/), [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **758 CE - 764 CE**: Reign of emperor Junnin in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 759 CE**: The [Manyoshu](https://www.worldhistory.org/Manyoshu/) or 'Collection of 10,000 Leaves' is written, an important [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) source and classic of Japanese poetry.
- **764 CE - 770 CE**: Second reign of Empress Koken, now known as Shotoku, in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **767 CE - 822 CE**: Life of [Saicho](https://www.worldhistory.org/Saicho/), founder of Tendai [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **768 CE**: Official founding date of the [Kasuga Taisha](https://www.worldhistory.org/Kasuga_Taisha/) [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) shrine at [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/), [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **770 CE - 781 CE**: Reign of Emperor Konin in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **774 CE - 835 CE**: Life of the monk [Kukai](https://www.worldhistory.org/Kukai/) (aka Kobo Daishi), founder of Shingon [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **781 CE - 806 CE**: Reign of [Emperor Kammu](https://www.worldhistory.org/Emperor_Kammu/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **784 CE**: [Emperor Kammu](https://www.worldhistory.org/Emperor_Kammu/) moves the Japanese capital from [Nara](https://www.worldhistory.org/Nara/) to Nagaokakyo.
- **785 CE**: [Saicho](https://www.worldhistory.org/Saicho/) establishes the first [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) shrine at what would become the [Enryakuji](https://www.worldhistory.org/Enryakuji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) complex on Mt. Hiei, [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 793 CE - 864 CE**: Life of [Ennin](https://www.worldhistory.org/Ennin/), the [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) scholar-monk and abbot of [Enryakuji](https://www.worldhistory.org/Enryakuji/), who brought many esoteric teachings from [China](https://www.worldhistory.org/china/) to [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).n
- **794 CE**: Japanese [Emperor Kammu](https://www.worldhistory.org/Emperor_Kammu/) sends an expedition led by Otomo no Otomaro against the Emishi.
- **794 CE**: [Emperor Kammu](https://www.worldhistory.org/Emperor_Kammu/) builds the [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) Herano shrine at [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto).
- **794 CE - 1185 CE**: The [Heian Period](https://www.worldhistory.org/Heian_Period/) in [ancient Japan](https://www.worldhistory.org/Ancient_Japan/).
- **796 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [To-ji](https://www.worldhistory.org/To-ji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) near [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto), [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) is founded.
- **801 CE**: Japanese [Emperor Kammu](https://www.worldhistory.org/Emperor_Kammu/) sends an expedition led by Sakanoue no Tamuramaro against the Emishi.
- **806 CE**: The [Shinto](https://www.worldhistory.org/Shinto/) shrine of Fujisan Hongu Sengen Taisha is built on [Mount Fuji](https://www.worldhistory.org/Mount_Fuji/).
- **c. 807 CE**: Imibe-no-Hironari writes the Kogoshui, a collection of oral myths forming the basis of the [Shinto religion](https://www.worldhistory.org/collection/43/the-shinto-religion/).
- **819 CE**: [Kukai](https://www.worldhistory.org/Kukai/) (Kobo Daishi) establishes a monastery and headquarters for Shingon [Buddhism](https://www.worldhistory.org/buddhism/) on [Mount Koya](https://www.worldhistory.org/Mount_Koya/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **826 CE**: A five-storey pagoda is added to the [To-ji](https://www.worldhistory.org/To-ji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) complex in [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto).
- **838 CE**: Last Japanese embassy to [China](https://www.worldhistory.org/china/) during the [Heian Period](https://www.worldhistory.org/Heian_Period/).
- **845 CE - 903 CE**: Life of the deified scholar and court official Sugawara no Michizane, aka [Tenjin](https://www.worldhistory.org/Tenjin/).
- **866 CE**: [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) no Yoshifusa becomes the first Japanese regent not of royal blood.
- **874 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [Daigoji](https://www.worldhistory.org/Daigoji/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) is founded by Shobo at [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto).
- **897 CE - 930 CE**: Reign of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Emperor Daigo.
- **947 CE**: The Tenmangu Kitano shrine is founded in honour of Sugawara no Michizane, aka [Tenjin](https://www.worldhistory.org/Tenjin/).
- **995 CE**: [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) no Michinaga becomes the [Fujiwara clan](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) leader in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **c. 1002 CE**: Sei Shonagon completes [The Pillow Book](https://www.worldhistory.org/The_Pillow_Book/), a Japanese classic describing court life during the [Heian Period](https://www.worldhistory.org/Heian_Period/).
- **c. 1004 CE**: Japanese poet [Izumi Shikibu](https://www.worldhistory.org/Izumi_Shikibu/) writes her 'Izumi Shikibu Diary'.
- **c. 1020 CE**: The [Tale of Genji](https://www.worldhistory.org/Tale_of_Genji/) is completed by Murasaki Shikibu in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1042 CE - 1103 CE**: Life of the legendary Japanese warrior Minamoto no Yoshiie.
- **1046 CE**: Yorinobu claims [Hachiman](https://www.worldhistory.org/Hachiman/) patron [god](https://www.worldhistory.org/God/) and founder of the [Minamoto clan](https://www.worldhistory.org/Minamoto_Clan/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1052 CE**: The [Buddhist](https://www.worldhistory.org/buddhism/) [temple](https://www.worldhistory.org/temple/) site [Byodo-in](https://www.worldhistory.org/Byodo-in/) is founded in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) by [Fujiwara](https://www.worldhistory.org/Fujiwara_Clan/) no Yorimichi.
- **1073 CE - 1087 CE**: Reign of Emperor Shirakawa in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1073 CE - 1087 CE**: Reign of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/)'s Emperor Shirakawa.
- **1147 CE - 1199 CE**: Life of Minamoto no Yoritomo, clan leader of the Minamoto and first [shogun](https://www.worldhistory.org/Shogun/) of [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1156 CE**: Hogen Disturbance in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1160 CE**: Heiji Disturbance in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/).
- **1180 CE**: Taira forces defeat an army led by Minamoto no Yorimasa.
- **1180 CE - 1185 CE**: The [Genpei War](https://www.worldhistory.org/Genpei_War/) in [Japan](https://www.worldhistory.org/disambiguation/Japan/) between the Taira and Minamoto clans.
- **1181 CE**: Taira forces defeat an army led by Minamoto no Yukie.
- **1183 CE**: Kiso Yoshinaka defeats a large Taira army at Kurikara in Etchu and occupies the Japanese capital [Heiankyo](https://www.worldhistory.org/Heiankyo/) (Kyoto).

## Soalan &amp; Jawapan

### Apakah 5 fakta tentang Jepun purba?
5 fakta tentang Jepun purba: zaman sejarah pertama ialah Zaman Jomon, bermula kira-kira 14,500 SM dan dinamakan bersempena tembikar Jomon, loceng gangsa penting dalam upacara purba, Maharani Himiko yang terkenal memerintah dari tahun 189 hingga 248 M, orang-orang kenamaan dikebumikan di kawasan perkuburan yang dikenali sebagai kofun, dan agama Buddha diperkenal kepada Jepun pada abad ke-6 dengan kesan budaya yang penting.

### Adakah Jepun tamadun purba?
Jepun ialah tamadun purba kerana kebudayaan yang bertarikh jauh ke belakang pada zaman Jomon dalam milenium kedua SM.

### Siapakah manusia pertama di Jepun?
Menurut legenda, manusia pertama di Jepun telah dicipta oleh Dewa Izanami dan Dewa Izanagi. Pemerintah pertama ialah Ninigi, cucu Dewi Amaterasu.


## Pautan Luaran

- [Gyotaku: The ancient Japanese art of printing fish - K. Erica Dodge](http://ed.ted.com/lessons/gyotaku-the-ancient-japanese-art-of-printing-fish-k-erica-dodge)
- [List of Rulers of Japan | Lists of Rulers | Heilbrunn Timeline of Art History | The Metropolitan Museum of Art](https://www.metmuseum.org/toah/hd/jaru/hd_jaru.htm)

## Petik Karya Ini

### APA
Cartwright, M. (2023, October 06). Jepun Purba. (E. Shamsuddin, Penerjemah). *World History Encyclopedia*. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/>
### Chicago
Cartwright, Mark. "Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. *World History Encyclopedia*, October 06, 2023. <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/>.
### MLA
Cartwright, Mark. "Jepun Purba." Diterjemahkan oleh Ezlyna Shamsuddin. *World History Encyclopedia*, 06 Oct 2023, <https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-11132/jepun-purba/>.

## Lesen &amp; Hak Cipta

Dihantar oleh [Ezlyna Shamsuddin](https://www.worldhistory.org/user/ezlynashamsuddi/ "User Page: Ezlyna Shamsuddin"), disiarkan pada 06 October 2023. Sila semak sumber asal untuk maklumat hak cipta. Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang dipautkan dari halaman ini mungkin mempunyai terma lesen yang berbeza.

