Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Elam

Rencana

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 27 August 2020

Teks asal dalam Bahasa Inggeris: Ten Ancient Elam Facts You Need to Know

Elam, yang terletak di wilayah moden Ilam dan Khuzestan, Iran, merupakan salah sebuah tamadun paling mengagumkan yang pernah wujud di zaman purba. Tamadun ini bukanlah sebuah kerajaan atau entiti politik yang dibentuk berdasarkan kesatuan etnik, sebaliknya adalah sebuah federasi dari pelbagai suku berbeza yang mentadbir kota-kota seperti Susa, Anshan, dan Shimashki sebelum ia kemudian disatukan sebagai sebuah empayar secara sementara pada Zaman Pertengahan Elam. Nama Elam merupakan sebutan daripada tamadun-tamadun lain – iaitu tamadun Akkadia dan Sumeria yang berasal dari Mesopotamia – dan dipercayai ia merupakan variasi sebutan bagi panggilan masyarakat Elam terhadap tamaun mereka sendiri – iaitu Haltami (atau Haltamti) – yang membawa maksud “bangsa dari negara yang tinggi”. Atas sebab itu juga, perkataan 'Elam' kebiasaannya diterjemahkan sebagai “tanah tinggi” atau “negara tinggi” memandangkan tamadun tersebut terdiri daripada petempatan-petempatan yang dibangunkan di Dataran Tinggi Irani yang terbentang dari lembah-lembah landai di selatan hingga ke puncak Pergunungan Zagros. Sementara itu, Kitab Kejadian 10:22 mendakwa kononnya wilayah tamadun tersebut dinamakan bersempena Elam si putera Sam bin Nuh. Walau bagaimanapun, dakwaan ini tidak disokong oleh sebarang bukti melainkan naratif kitab Bible semata-mata.

Proto-Elamite Figure with Ibex Horns
Gambar Proto-Elamite dengan Tanduk Ibex
Metropolitan Museum of Art (Copyright)

Masyarakat Elam dipercayai sebagai penghuni asli di rantau tempat tamadun Elam membangun pada sekitar masa berlalunya Zaman Ubaid di Mesopotamia (c. 5000-4100 SM). Menjelang tahun 3200 SM sehingga penghujung Zaman Pra-Dinasti di Mesir (c. 6000-3150 SM), mereka telah pun membina kota Susa, salah sebuah kota tertua di dunia, berkurun-kurun lebih awal berbanding pembangunan piramid-piramid di Giza. Sejarahwan moden membahagikan sejarah tamadun Elam kepada empat zaman:

Sisihkan Iklan

Advertisement

  • Zaman Proto-Elam (c. 3200 – c. 2700 SM)
  • Zaman Elam Lama (c. 2700 – c. 1600 SM)
  • Zaman Pertengahan Elam (c. 1500 – c. 1100 SM)
  • Zaman Neo-Elam atau Zaman Elam Baru (c. 1100 – c. 539 SM)

Zaman-zaman tersebut menyaksikan perkembangan tamadun Elam sejak awal kewujudannya sehinggalah kemunduran dan pengasimilasiannya dengan tamadun lain. Bagaimanapun, sumbangan-sumbangannya yang signifikan terhadap ketamadunan di Timur Dekat secara khusus dan dunia silam secara umum seringkali dikesampingkan. Elam merupakan antara pemain utama dalam panggung sejarah Timur Dekat pada tempoh c. 3200 – c. 539 SM. Ia pernah memerangi tamadun Sumer, ditakluk oleh Empayar Akkadia, membentuk pakatan dengan Hammurabi dari Babylon lalu dikhianati olehnya, menubuhkan empayar tersendiri, terlibat dalam kempen menggulingkan Empayar Neo-Assyria, dan akhirnya diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Achaemenid sekitar tahun 539 SM, yang mana budayanya masih tetap memberikan pengaruh yang cukup besar dil wilayah serantau.

Tulisan linear masyarakat Elam, yang merekodkan sejarah mereka dari c. 3200-2700 SM, masih belum dapat difahami sehingga hari ini.

Keunggulan karyawan mereka pada awal Zaman Proto-Elam tiada tolok bandingan, kebebasan beragama dan hak kesaksamaan kaum wanita diamalkan, dan budaya tamadun-tamadun lain dihormati walau pada waktu mereka sedang saling berperang.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Berikut adalah sepuluh fakta penting tentang masyarakat Elam, yang mana walaupun mereka sudah pun lenyap sepenuhnya dari catatan sejarah sejurus selepas negara-bangsa terakhir mereka, iaitu Elymais, ditakluk oleh Empayar Sassanid pada 224 M, mereka tetap meninggalkan jejak dalam sejarah menerusi sumbangan-sumbangan yang diberikan kepada tamadun Parsi.

Sistem Tulisan Yang Masih Belum Difahami

Tulisan linear masyarakat Elam, yang merekodkan sejarah mereka dari c. 3200-2700 SM, masih belum dapat difahami sehingga hari ini. Hal ini kerana bahasa mereka wujud secara sendiri tanpa ada keluarga bahasa lain yang dapat dikaitkan dengannya (justeru ia dianggap sebagai sebuah bahasa terpencil). Malahan, tiada artifak seumpama Batu Rosetta yang dapat membantu memudahkan kerja-kerja penafsiran. Selepas masyarakat Elam menjalinkan interaksi yang lebih rapat dengan Sumer dan, seterusnya, Akkad, mereka mengamalkan sistem tulisan kuneiform bagi tujuan perekodan dan surat-menyurat. Penggunaan sistem tulisan kuneiform oleh tamadun Elam bermula sejak c. 2700 SM sehinggalah tahun kejatuhannya, c. 224 M. Ia kemudian digunakan oleh Empayar Achaemenid (c. 550-330 SM) dan Darius I (memerintah 522-486 M) memasukkan bahasa Elam sebagai salah sebuah dari tiga buah bahasa yang termuat dalam Prasasti Behistun-nya yang masyhur. Namun, selagimana sistem tulisan linear Elam belum dapat difahami, maka peristiwa-peristiwa sejarah mereka pada Zaman Proto-Elam akan terus kekal sebagai suatu pengetahuan misteri.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Proto-Elamite Tablets
Tablet Proto-Elamite
Osama Shukir Muhammed Amin (CC BY-NC-SA)

Perang Pertama dalam Rekod Sejarah

Antara contoh bagi menggambarkan bagaimana keadaannya jika sistem tulisan Elam terus gagal difahami adalah hubungan antara Elam dan Sumer pada zaman itu, serta peristiwa-peristiwa yang membawa kepada berlakunya peperangan pertama dalam rekod sejarah. Sekitar tahun 2700 SM, raja Sumeria yang bernama Enemebaragesi dari negara-kota Kish melancarkan sebuah kempen ketenteraan ke atas Elam. Dalam peperangan tersebut, mereka meraih kemenangan dan segala harta rampasan yang diperoleh kemudiannya dibawa pulang ke kota Sumer. Peristiwa ini hanya dapat diketahui menerusi rekod Senarai Raja Sumeria yang hanya memuatkan entri-entri ringkas sekaligus perincian tentang peperangan ini tidak dapat diketahui. Lantaran kalah dalam peperangan tersebut, masyarakat Elam tentunya tidak mempunyai keperluan untuk merekodkan semula peristiwa itu dalam rekod-rekod kuneiform pada masa-masa kemudian.

Hasil Seni Yang Unik

Hasil seni masyarakat Elam pada zaman-zaman awal juga tidak mempunyai sebarang rekod bertulis yang dapat menjelaskan asal-usulnya. Barangan seramik, perhiasan, lukisan, dan barangan logam hasilan masyarakat Elam pada Zaman Proto-Elam sama sekali tidak mempunyai kemiripan dengan mana-mana tamadun lain di rantaunya, atau bahkan, di dunia pada masa itu. Sejarahwan menjelaskan betapa tamadun-tamadun lain pada waktu itu – seperti Sumeria, Akkadia, Mesir, dll. – mengutamakan ciri manusia, atau setidak-tidaknya, haiwan-bercirikan-manusia dalam hasil seni mereka (sepertimana masyarakat Mesir sebagai contoh, menggabungkan kepala kucing dengan tubuh wanita untuk menggambarkan rupa paras dewa Bastet). Akan tetapi, masyarakat Elam pula lebih mengutamakan ciri haiwan. Haiwan, khususnya anjing, muncul dalam seni relif yang dijumpai di kota Susa. Antara hasil seni Elam yang paling masyhur dari zaman tersebut adalah sebuah ukiran patung yang dikenali sebagai Kerbau Melutut Sambil Menjunjung Balang yang dihasilkan sekitar tahun 3100-2900 SM. Patung tersebut berbentuk seekor kerbau perak yang berpostur duduk dan berpakaian jubah berhias, sambil memegang sebuah bekas yang dipercayai sebagai cawan. Selepas masyarakat Elam berinteraksi secara rapat dengan warga Sumer, hasil seni mereka mula menampakkan kelainan dan sentuhan aslinya kian hilang namun masih tetap menyerlahkan kemahiran seni peringkat tinggi.

Kneeling Bull Holding Vessel
Berlutut Bull Memegang Kapal
Metropolitan Museum of Art (Copyright)

Susa: Kota Purba

Masyarakat Elam bertanggungjawab membangunkan salah sebuah kota paling tua di dunia, iaitu Susa, yang berusia dari sekitar tahun 4200 SM. Bukti arkeologi mengesahkan kehadiran manusia di sana sejak tahun 7000 SM lagi dan ia terus dihuni sehingga tahun 4395 SM sebelum kemdiannya masyarakat setempat membangunkannya menjadi sebuah kota. Kota tersebut merupakan sebuah pusat perdagangan yang penting pada Zaman Proto-Elam dan masa-masa kegemilangannya berlangsung pada Zaman Pertengahan Elam. Pada tempoh itu juga, kota Susa diberikan perhatian yang khusus oleh dua orang raja teragung Elam, iaitu Untash-Napirisha (memerintah 1275-1240 SM) dan Shutruk-Nakhkunte (memerintah 1184-1155 SM) di mana Susa dijadikan sebagai ibu kota. Kota itu meraih kemasyhuran berkat kemajuannya dalam bidang pertanian, penghasilan barang seramik, penempaan logam, dan pengeluaran tekstil. Ia malah dijadikan sebagai salah sebuah kota penting Empayar Achamenid dan fungsinya sebagai pusat perdagangan, industri, dan seni terus berkekalan sehinggalah ia musnah dek Serangan Monggol pada tahun 1218 M.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Mengamalkan Agama Politeistik

Pantheon Elam mempunyai sehingga 200 dewa, yang diketuai oleh dewa tertinggi bernama Napirisha.

Agama anutan masyarakat Elam bersifat politeisme dan, sama seperti agama yang diamalkan oleh tamadun-tamadun silam yang lain, ia menumpu pada dewa-dewi yang mewakili kuasa semesta, keadaan serantau, dan fenonema alam. Perincian-perincian tentang ritual dan amalan keagamaan masyarakat Elam tidaklah diketahui, namun bangunan-bangunan keramatnya lazim didirikan di atas gunung-ganang, bukit-bukau, dan hutan-hutan suci. Ritual-ritual yang diamalkan pula – diketahui berdasarkan maklumat yang terkandung dalam prasasti-prasasti yang dijumpai di Susa – menumpu pada ajaran tentang keabadian hidup roh manusia dan kehidupan sesudah mati. Artifak-artifak keagamaan terawal dari tamadun Elam menuding kepada amalan pemujaan suatu Dewi Ibunda yang kemudiannya dikembangkan sebagai dewi Kiririsha, iaitu Ibu Dewa-Dewi merangkap isteri kepada dewa Insushinak dan Humban, yang masing-masing merupakan dewa pelindung kota Susa dan Anshan. Pantheon Elam mempunyai sehingga 200 dewa, yang setiap satunya diperintah oleh dewa tertinggi bernama Napirisha (Raja Bumi dan Raja Manusia). Masyarakat Elam juga menyerap masuk dewa-dewa Mesopotamia – khususnya dari Sumeria – ke dalam pantheon mereka dan turut memuja Ea, Enki, Ninhursag, Shamash, dan lain-lain.

Menggalakkan Toleransi Beragama

Dewa-dewi itu dipuja di seluruh wilayah naungan Elam, yang dalam hampir keseluruhan sejarahnya, merangkumi bahagian selatan Iran dan sebahagian Iraq moden. Namun, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa kelas pemerintah mewajibkan amalan pemujaan tersebut ke atas rakyat jelata, walau pada zaman Pertengahan Elam sekalipun, iaitu zaman di mana raja-rajanya berusaha melaksanakan dasar “elamisasi” dan menggalakkan pembentukan budaya dan agama yang seragam. Tiada juga sebarang catatan tentang berlakunya pertelingkahan agama, hukuman atas nama keagamaan, atau sebarang kekacauan sosial yang diakibatkan oleh perbezaan agama atau penumpuan pada satu dewa tunggal. Toleransi beragama sebegini dibuktikan secara jelas menerusi bangunan teragung Elam yang masih wujud pada hari ini: iaitu kompleks kuil Dur-Untash.

Dur-Untash: Kuil Agung

Antara raja yang paling masyhur dalam tamadun Elam ialah Untash-Napirisha yang berasal dari Dinasti Igihalkhid (c. 1400 – c. 1200 SM). Beliau memerintah pada Zaman Pertengahan Elam dan bertanggungjawab membina ziggurat dan kompleks kuil Dur-Untash (juga dikenali sebagai Chogha Zanbil). Dur-Untash boleh dimengertikan sebagai “Kubu Untash” (atau “Kota Untash”, “Bandar Untash”) dalam bahasa Assyria. Nama modennya pula – Chogha Zanbil – membawa maksud “gundukan bakul”, memandangkan rupa bentuknya seakan-akan sebuah bakul yang diterbalikkan. Bangunan tersebut pada asalnya adalah monumen khusus buat Insushinak si dewa pelindung kota Susa, di mana ia turut dilengkapi dengan sebuah ziggurat yang kemudiannya diruntuhkan demi melaksanakan sebuah projek yang lebih besar: iaitu pembinaan sebuah kompleks kuil buat kesemua dewa yang tentunya bakal menggamit kunjungan seluruh warga Elam. Kompleks tersebut terdiri daripada sebuah ziggurat besar sebagai pusat utama yang didedikasikan buat Insushinak, sambil diiringi oleh sebelas kuil untuk dewa-dewa lain. Kesemua bangunan itu kemudian dikelilingi oleh tembok-tembok kukuh dengan keseluruhan struktur kompleks tersebut dibangunkan setinggi lima tingkat dengan ukuran ketinggiannya mencecah 174 kaki (53 meter). Kuil binaan Untash-Napirisha ini berdiri megah sebagai simbol toleransi beragama dalam tamadun Elam dan ia masih dalam pembinaan sewaktu raja itu mangkat. Semenjak itu, kerja-kerja pembinaan dihentikan atas sebab yang tidak diketahui dan sejarahwan berpendapat ia masih belum pernah digunakan.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Chogha Zanbil Ziggurat [East Side], Iran
Chogha Zanbil Ziggurat [East Side], Iran
Carole Raddato (CC BY-NC-SA)

Kesaksamaan Kaum Wanita Dihormati

Dalam hasil seni tamadun Elam, kaum wanita digambarkan mempunyai kedudukan yang setaraf kaum lelaki. Relif-relif mereka menampilkan imej lelaki dan wanita pada saiz yang sama, di mana ianya merupakan satu kaedah artisan di zaman silam bagi menyampaikan konsep kesamarataan dan kesaksamaan antara jantina. Jika dibandingkan hasil seni Elam dengan relif atau patung Mesir, misalnya, kita akan dapati seni Mesir secara konsisten menitikberatkan status seseorang tokoh menerusi saiznya. Walaupun tiada rekod bertulis (seperti yang terdapat dalam tamadun Parsi) yang memberikan bukti langsung tentang kesamarataan kaum wanita dengan kaum lelaki, hasil seni Elam dengan jelas membuktikan bahawa ia berada pada tahap yang sama seperti dalam tamadun Mesir dan Parsi. Antara contoh terbaik bagi mengesahkan keadaan ini adalah patung ratu Napirasu, isteri kepada Untash-Napirisha, yang digambarkan memakai pakaian diraja sama seperti pemerintah lelaki. Meterai-meterai silinder Elam juga menampilkan watak lelaki dan wanita, yang biasanya suami dan isteri, berada pada taraf yang sama.

Menubuhkan Sebuah Empayar

Raja Shutruk-Nakhkunte dari Dinasti Sutrikid (c. 1200 – c. 1100 SM) memulakan pemerintahannya dengan menghidupkkan, memulihkan, dan memperindahkan kota-kotanya, terutama sekali kota Susa, demi memperagakan kemegahan dan kekuasaan Elam. Beliau kemudian mengadakan kempen ke Mesopotamia bagi merealisasikan impian tersebut. Bersama putera-puteranya yang nanti bakal menjadi pemerintah bagi kota masing-masing, Shutruk-Nakhkunte menubuhkan Empayar Elam. Beliau meraih kemasyhuran dalam sejarah Mesopotamia lantaran bertanggungjawab menakluki kota Sippar dan merampas tugu dewa Marduk – yang ketika itu dipinjam dari Babylon – lalu mara ke rantau Babylonia sambil menakluki setiap negara-kota yang dilaluinya. Kesemua harta rampasan yang diperoleh dalam kempen tersebut dihantar pulang ke Susa, di mana antaranya adalah artifak-artifak paling masyhur dalam sejarah Mesopotamia seperti Stele Kemenangan Naram-Sin yang memperingati kemenangan Akkadia ke atas Elam, dan stele Hammurabi dari Babylon yang mengandungi kod perundangannya. Walau bagaimanapun, empayar yang ditubuhkan oleh Shutruk-Nakhkunte ini hanya mampu berdiri sehingga era pemerintahan putera bongsunya berikutan berlaku percakaran sesama ahli keluarga diraja.

Pemeliharaan & Pengaruh Pada Budaya

Menerusi interaksi mereka dengan Sumer, Elam menyerap – dan kemudian memelihara – sebahagian aspek kebudayaan penting masyarakat Sumeria. Bermula pada Zaman Elam Lama, seniman-seniman Elam menerapkan motif dan teknik masyarakat Sumeria ke dalam hasil kerja mereka. Sebahagian dewa masyhur dalam pantheon Sumeria turut dipelihara oleh masyarakat Elam, termasuklah aspek-aspek ritual mereka. Namun, hal yang kedua itu hanyalah sekadar andaian semata-mata. Kepercayaan agama, dewa-dewi, dan ritual keagamaan masyarakat Elam dipercayai banyak dipengaruhi oleh Agama Irani Awal yang wujud di rantau itu sebelum kemunculan Zoroastrianism. Konsep kesucian di tanah-tanah tinggi dan dewa-dewi yang mewakili alam semesta atau kuasa alam merupakan antara aspek yang terkandung dalam agama Irani Awal mahupun Zoroastrianisme. Dalam Zoroastrianisme, kesemua dewa tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada unsur dewa Ahura Mazda, sementara dalam agama Irani pula, mereka dilihat berkongsi banyak persamaan dengan dewa-dewi tamadun Elam dan tamadun di Lembah Indus. Sewaktu Elam diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Achaemenid, budaya mereka beradaptsi dengan keperluan dan nilai-nilai Parsi dan ia terus berkembang dari c. 550 SM hingga 651 M di mana pada tahun tersebut Empayar Sassanid-Parsi tumbang di tangan Arab-Muslim. Bahkan sesudah itu, budaya Elam-Parsi masih terus dihargai dan disebarkan di seluruh Timur Dekat.

Kesimpulan

Walaupun tamadun dan sumbangan-sumbangan Elam sering dikesampingkan, mereka pada hakikatnya tampil secara konsisten sebagai pemain utama dalam peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Timur Dekat pada tempoh c. 2700 SM – 224 M. Pada era kegemilangannya, raja-raja Elam merupakan penguasa tertinggi di wilayah serantau. Hal ini diulas oleh sejarahwan Marc Van de Mieroop sebagaimana berikut:

[Raja-raja Elam] bertukar-tukar surat dengan Hammurabi dari Babylon, Zimri-Lim dari Mari, dan lain-lain. Kesemua raja itu menampilkan diri sebagai “putera-putera” raja Elam dan bukannya “saudara-saudara” beliau, sebagaimana yang lazim digunakan semasa mereka berutus surat antara satu sama lain. Bagi mereka, beliau adalah “raja Elam yang agung”. Pasukan tenteranya menebarkan pengaruh sehingga ke wilayah sejauh Shubat-Enlil di utara Syria dan berupaya mengangkat seseorang menjadi raja di kawasan tersebut. Kekuatan Elam banyak bersumber dari wilayahnya yang luas dan saiz tenaga kerja yang mampu dihimpunkannya. Keunggulannya juga disumbang oleh penguasaannya ke atas sungai Iran di barat sesudah berakhirnya [sistem sungai] Karum-Kanesh. Hal ini sangat penting bagi memastikan barangan gangsa dari Elam dapat tiba di Mediterranean melalui Mari. Elam juga menjalinkan hubungan rapat dengan Dilmun di Teluk Parsi, justeru ia mempunyai akses terhadap sumber-sumber dan laluan-laluan perdagangan asing. (102-103)

Walaupun mereka pernah ditakluki beberapa kali, tamadun Elam tetap terpelihara dan berupaya mengekalkan budaya dan warisan mereka. Bahkan, pengasimilasian masyarakat Elam ke dalam empayar Parsi berjaya melanjutkan lagi impian mereka, di mana nilai-nilai penting Elam dapat dipelihara dengan baik. Sebagaimana masyarakat Elam menyerap kesenian dan aspek-aspek lain dalam kebudayaan Sumeria lalu mengolahnya mengikut kepentingan mereka, maka begitulah juga yang dilakukan oleh masyarakat Parsi terhadap kebudayaan Elam.

Sisihkan Iklan

Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Sebutkan Karya Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2020, August 27). Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Elam [Ten Ancient Elam Facts You Need to Know]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperoleh dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1591/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-elam/

gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Elam." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubahsuai August 27, 2020. https://www.worldhistory.org/trans/ms/2-1591/sepuluh-fakta-yang-perlu-diketahui-tentang-elam/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Sepuluh Fakta Yang Perlu Diketahui Tentang Elam." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 27 Aug 2020. Web. 23 Oct 2021.